KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051110

Fakta Arak Rejimen Askar Melayu DiRaja

Sebelum tahun 1980an, arak adalah merupakan satu kemestian terdapat di mes-mes pegawai di mana-mana kem Angkatan Tentera Malaysia. Ianya adalah peninggalan budaya tentera British. Malah batallion yang seratus peratus anggotanya Melayu beragama Islam pun mesti terdapat arak-arak dalam mes-mes pegawai iaitu didalam Rejiman Askar Melayu DiRaja.

Pada lewat 1970an, seorang pegawai Melayu yang baru dinaikkan pangkat telah diberi kuasa untuk memerintah satu Rejimen Askar Melayu DiRaja. Beliau berbincang dengan pegawai-pegawai bawahannya dan berkata “Kita semua ni Rejimen Askar Melayu, semua orang Melayu Islam, mengapa perlu kita ada arak-arak dalam kem ini, saya beri masa kamu semua seminggu untuk buat keputusan samada hendak meneruskan hidangan arak di kem ini”. Selepas seminggu semua pegawai di kem berkenaan bersetuju untuk tidak menghidangkan arak dalam kem berkenaan, lalu dipecahkan semua botol-botol arak dalam mes berkenaan. Rejimen Askar Melayu berkenaan telah memecah tradisi Angkatan Tentera Malaysia yang selama ini menjadi kemestian adanya arak-arak dijual di mes-mes.

Tak sampai seminggu berita berkenaan sampailah ke pengetahuan pemerintah tertinggi tentera ketika itu di Kementerian Pertahanan (MINDEF). Lalu pegawai memerintah Rejimen Askar Melayu berkenaan dipanggil mengadap Jeneral berkenaan. Jeneral (Melayu) berkenaan menyuruh supaya diletakkan semula arak dalam kem berkenaan. Pegawai tadi kata dia tidak akan meletakkan semula arak, kalau Jeneral hendak dia kena letak sendiri.

Selepas daripada peristiwa itu bermulalah beransur-ansur mes-mes ATM tidak lagi menghidangkan arak. Jeneral dan pegawai memerintah tadi terus melakukan tugas masing-masing tanpa insiden yang tidak diingini.

Kesimpulannya di sini ialah , orang Melayu untuk bangkit semula, mereka mestilah berani untuk menyuarakan kebenaran tidak kira dimana mereka berada. Menyuarakan kebenaran tidak semestinya dengan kekerasan, ianya adalah dengan diplomasi dan bijaksana.

Dan yang memegang amanah ialah mereka yang dilantik menjadi pemimpin, baik pemimpin di dalam setiap jabatan, pemimpin di peringkat kementerian mahu pun pemimpin parti politik pemerintah mahu pun pembangkang. Sekiranya mereka takut hendak bersuara dan bertindak maka orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang bacul. Rasuah, jenayah, pecah amanah, maksiat akan berleluasa dan bermaharaja lela dalam umat bangsa Melayu.