Inilah kali pertama saya mendengar teks Khutbah Idil Fitri yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang begitu bersemangat, praktikal dan menyentuh realiti keadaan umat Islam serta orang Melayu di Malaysia sekarang ini. Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan serta kakitangan yang terlibat dalam menyediakan teks khutbah tersebut yang begitu menyentuh perasaan orang Melayu. Tahniah juga diucapkan kepada khatib yang membacanya, walaupun di usia lanjut, namun membacanya dengan begitu bersemangat dan berjiwa muda.
Apa yang ingin saya bicarakan disini ialah supaya teks Khutbah Idil Fitri 1426 H yang dikeluarkan oleh MAINS ini dijadikan panduan serta disediakan sebagai asas pelan bertindak bagaimana orang Islam di negeri ini dapat digerakkan dibawah satu ikatan ukhuwwah yang kukuh yang berteraskan kefahaman Islam yang mantap untuk membawa umat Islam di negeri ini keluar daripada belenggu hasad dengki, kemiskinan, masalah melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, masalah pengangguran dan yang paling utama ialah untuk memperkukuhkan akidah umat Islam di negeri ini dalam menangani segala permasalahan sosial dan jenayah.
Untuk menjayakan hasrat ini setiap kariah perlulah mempunyai ahli kariah yang bersatu padu serta jawatankuasa masjid serta surau yang mantap tanpa mengenal batas kedudukan pangkat dan fahaman politik. Jawatankuasa masjid perlulah terdiri daripada mereka yang bersungguh-sungguh untuk memakmurkan masjid dan juga masyarakat setempat. Suara-suara muda, para remaja haruslah terdapat dalam jawatankuasa tersebut. Apatah lagi sekarang ini ramai kedapatan anak muda yang menganggur, apa salahnya khidmat mereka ini disalurkan ke masjid.
Dalam pengamatan singkat saya pada Syawal dan Ramadhan ini, terdapat beberapa kelemahan diperingkat pengurusan masjid dan surau yang boleh diperbaiki. Antaranya ialah kefahaman ibadah yang asas dikalangan pihak jawatankuasa masjid dan surau. Sekiranya jawatankuasa masjid apatah lagi imam atau bilal melakukan kesilapan tanpa ditegur oleh orang lain, maka seluruh kariah ditempat tersebut akan mengikut amalan yang tidak sempurna.
Contohnya ialah apabila selesai Solat Sunat Idil Fitri, imam terus bertakbir raya sedangkan sepengetahuan saya takbir raya untuk Idil Fitri berakhir apabila Solat Sunat Idil Fitri dilaksanakan. Namun perkara sebegini tidak perlulah diperbesarkan kerana manusia ini bersifat pelupa, hanya sekadar teguran.
Dalam hal yang lain pula ketika saya mendengar Khutbah Solat Jumaat pada Hari Raya Kedua di salah sebuah masjid di Rembau saya perhatikan pula Bilal yang duduk dihadapan khatib yang sedang berkhutbah, bercakap kepada seorang jemaah dibelakangnya seolah-olah menegur anak kecil yang dibawa oleh ahli jemaah tadi supaya tidak membuat bising. Sedangkan kita dilarang untuk berkata-kata ketika khatib sedang bekhutbah Jumaat.
Di masjid yang sama juga , saya yang duduk beberapa saf dibelakang mendengar imam membaca surah selepas surah Al Fatihah teringgal satu ayat daripada surah tersebut tanpa teguran daripada makmum.
Dalam pada itu beberapa bulan lepas di Kg Astana Raja, Kota pula diceritakan bagaimana seorang pengurus jenazah wanita yang bertauliah telah tidak memandikan jenazah bayi perempuan sempurna yang berumur hampir satu tahun atas alasan bayi yang meninggal dunia akibat demam panas tadi adalah mati syahid.
Satu lagi kes yang diceritakan pada Ramadhan yang saya dengar, juga di sebuah masjid dalam daerah Rembau ialah bagaimana seorang imam Tarawih sukarela dipelawa untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Masjid dengan syarat dia perlulah mengisi borang keahlian UMNO terlebih dahulu, sedangkan perkara ini tidak berlaku sepengetahuan saya di masjid sekitar Senawang dan Seremban.
Justeru itu adalah disyorkan agar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dalam usaha untuk mencernakan apa yang disampaikan dalam Khutbah Idil Fitri 1426 H, agar membentuk serta melatih barisan pengurusan masjid yang mantap serta berjiwakan Islam tanpa mengenal batasan umur, pangkat dan fahaman politik. Jika tidak akan berlakulah “Wal Hasil Balik Asal”. Khutbah yang berkobar-kobar tadi yang seronok didengar , namun tidak dapat dipraktikkan untuk menyatu padukan umat Islam di negeri ini untuk menjadi umat Islam yang kuat, dihormati dan disegani.
Dan kesalahan-kesalahan kecil yang tidak diperbaiki jika sudah menjadi banyak, juga akan memudaratkan, seperti ikan bilis kalau seekor jatuh pada tapak kaki kita tidak akan terasa apa-apa, tapi kalau dua tiga guni ikan bilis jatuh atas kepala kita, mungkin ke liang lahad akhirnya.
Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS