KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051125

Serbuan Kedai Judi : Syabas Jabatan Agama N. Sembilan

Inilah yang lama dinanti-nantikan. Selama ini pelanggan Islam di Negeri Sembilan bermaharaja lela , tanpa segan silu membeli nombor ekor di siang hari di depan khalayak ramai.

Teruskan usaha ini, jangan gentar. InsyaAllah ramai yang menyokong usaha sebegini.

Edisi Tengah : Jains gempur kaki judi
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Friday/Setempat/20051125082605/Article/indexm_html
Oleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Gerak gempur Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) di kedai nombor ekor di negeri ini menahan 21 kaki judi termasuk seorang datuk berusia lebih 60 tahun sejak undang-undang judi dikuatkuasakan September lalu.

Pengarah Jains, Datuk Zaharuddin Mohd Sharif, berkata mereka yang ditahan itu membabitkan beberapa operasi yang dijalankan di sekitar daerah ini dan Kuala Pilah.

Beliau berkata, Jains mula mengedarkan peraturan melarang umat Islam memasuki premis dan membeli nombor empat angka itu pada Mac tahun ini selepas undang-undang berkaitan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selepas itu Jains menampal risalah peringatan itu di premis berkaitan dan di beberapa tempat tumpuan awam.

“Tindakan dan operasi menahan mereka yang memasuki premis dan membeli empat nombor ekor bermula sejak September lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zaharuddin berkata, pihaknya sudah mengambil segala maklumat dan butiran peribadi semua lelaki terbabit sebelum dihadapkan ke Mahkamah Syariah di sini, tidak lama lagi.

Menurutnya, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 79 (A), Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (pindaan 2003) di atas kesalahan berjudi atau berada di premis judi.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, Jains sedang merancang mengadakan operasi besar-besaran dalam tempoh terdekat ini dalam usaha menghalang masyarakat Islam terus melakukan perbuatan haram itu.

Katanya, tindakan menahan mereka yang melakukan kesalahan itu bertujuan mengajar supaya tidak mengulangi lagi perbuatan itu, tetapi masih ramai masyarakat Islam tidak memperdulikan larangan dikuatkuasakan.

“Jains tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ditahan kerana kesalahan itu, kerana setiap kelemahan akan menjejaskan kredibiliti jabatan,” katanya.

Zaharuddin mengingatkan individu terbabit supaya tidak terus terbabit dalam aktiviti haram itu demi menjaga maruah dan kredibiliti agama Islam itu sendiri.