Idil Fitri yang baru berlalu dalam kesibukan melayan tetamu yang berkunjung saya sempat menonton program di TV3 yang menyiarkan mengenai kesengsaraan yang dihadapi oleh pelarian Islam di Eritrea sejak bertahun-tahun lamanya akibat daripada kancah peperangan di negara tersebut. Syabas diucapkan kepada krew penerbitan TV3 yang memberi kesedaran kepada umat Islam di Malaysia ini yang sedang bergembira di Idil Fitri dengan pelbagai juadah, masih terdapat ramai umat Islam di seluruh dunia yang menyambut Idil Fitri hanya sekadar minum air kosong dan gandum, yang merupakan rutin makanan harian mereka.
Begitu menyayat hati terdapat ramai ibu-ibu tunggal Eritrea yang hanya menjadikan jagung yang mereka tanam dengan tulang empat kerat sebagai makanan sajian utama anak-anak mereka. Malah masjid serta surau di sana dalam keadaan yang begitu daif, hanya berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit.
Apa yang mengecewakan ialah kenyataan daripada salah seorang pegawai bantuan kemanusiaan disana seorang warga Itali yang menyatakan bahawa tidak banyak menerima bantuan kemanusiaan daripada negara-negara Islam. Menurut pegawai tadi kerajaan Arab Saudi ada memberi bantuan, tetapi hanyalah dalam bentuk buah kurma. Sedangkan pelarian disana amat memerlukan kewangan untuk perubatan, makanan, perlindungan dan pendidikan. Sumber kewangan menurut pegawai tersebut hanyalah diterima daripada Eropah dan Amerika Syarikat.
Malah dalam satu temuramah dengan wakil salah seorang pelarian Eritrea tersebut menyatakan beliau mengharapkan sangat agar pemimpin-pemimpin negara Islam datang sendiri ke sana dan melihat kesengsaraan yang sedang mereka hadapi serta menghulurkan bantuan kepada mereka di sana, kerana mereka juga adalah umat Islam yang bersaudara.
Saya cuba melayari internet untuk mencari jika ada Badan Kemanusiaan Islam yang mengendalikan bantuan kemanusiaan di Eritrea, sepertimana sebelum ini adanya Aman Malaysia, Misi Keamanan Sejagat, Yayasan Amal, Mercy Malaysia yang memberikan bantuan kemanusiaan di Acheh, Kemboja, Iran, Sri Lanka dan yang terkini di Pakistan dan Kashmir. Namun usaha saya tidak berjaya, yang dijumpai ialah Badan Kemanusiaan yang dikendalikan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Badan-Badan Kemanusiaan yang dikendalikan oleh orang bukan Islam.
Apakah Pertubuhan Negara-Negara Islam OIC tidak boleh bersepakat untuk menubuhkan sebuah Badan Kemanusiaan untuk membantu umat-umat Islam yang menderita akibat kemiskinan, kebuluran dan kedaifan diseluruh dunia ? Malaysia sebagai Pengerusi OIC sepatutnya mengambil peluang yang ada ini untuk menubuhkan Badan Kemanusiaan Sejagat dengan menggesa negara-negara dibawah OIC agar mengurangkan perbelanjaan pertahanan atau perbelanjaan lain yang kurang penting untuk disalurkan dalam penubuhan Badan Kemanusiaan Sejagat untuk membantu umat Islam yang dilanda kebuluran dan kemiskinan.
Sekiranya Pakistan baru-baru ini menangguhkan pembelian jet F 16 untuk membantu mangsa gempa bumi di negara mereka sendiri, apakah negara Islam lain tidak boleh menangguhkan pembelian senjata berjumlah berbillion-billion dollar ? Apakah dengan penangguhan pembelian jet F 16 tersebut Pakistan akan lebih terdedah kepada serangan berani mati Al Qaeda ? Malah Malaysia boleh mengambil inisiatif sebagai pemangkin penubuhan Badan Kemanusiaan Sejagat ini dengan menangguhkan pembelian senjata dan kelengkapan tercanggih yang tidak mampu menangkis serangan bom berani mati seperti apa yang berlaku di Iraq, Jordan dan Bali.
Dalam pada itu badan-badan kemanusiaan yang dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia ini haruslah mengambil inisiatif untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan baik dalam bentuk wang ringgit mahupun tenaga sukarela Badan-badan kemanusiaan di Malaysia ini juga harus dari masa ke semasa mengadakan permuafakatan agar bantuan yang dihulurkan akan menjadi lebih efektif dan efisien.
Namun yang paling utama ialah peranan media untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia ini agar sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan, serta tidak melakukan pembaziran akan tetapi sebaliknya sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang amat-amat memerlukan baik di dalam negara mahu pun di luar negara.
Teringat saya akan isu khutbah Idil Fitri yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang menyatakan adalah tidak patut seseorang itu pergi menunaikan haji berulang kali akan tetapi membiarkan jirannya atau saudaranya hidup susah.
Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS