KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051128

Sekolah Agama & Yayasan Amal N.Sembilan sedia hiburan alternatif

Seremban Sabtu 26 Nov – Sekolah Agama Rakyat Gedung Lalang 162, Seremban dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan malam tadi telah menyajikan penduduk setempat dengan hiburan alternatif Islam.

Konsert yang bertemakan Mencari Damai Abadi telah disampaikan secara solo oleh pendakwah yang tidak asing lagi di Lembah Klang iaitu Ustaz Dzulkarnain Hamzah. Gabungan empat dalam satu iaitu Tazkirah dan Dzikir Munajjat serta diselang selikan dengan alunan Nasyid serta pertunjukan Video Klip dan Multimedia telah memukau para hadirin yang hadir.

Mesej utama yang disampaikan melalui konsert ini ialah semua pihak bertanggungjawab untuk membangunkan masyarakat Islam di Malaysia ini dalam menangani gejala sosial dan gejala akidah yang semakin meruncing sekarang ini. Sikap menyalahkan orang lain serta tunjuk menunjuk antara satu sama lain haruslah dielakkan. Sebaliknya setiap individu muslim haruslah mengambil sikap memandang kelemahan diri sendiri dan bertanyakan kepada diri sendiri apakah sumbangan mereka untuk membangunkan masyarakat Islam kerana setiap orang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti daripada pemimpin negara, pemimpin daerah sehinggalah ke pemimpin keluarga.

Para pengunjung konsert telah juga berpeluang melawat pameran yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan serta pameran misi Yayasan Amal Malaysia antaranya membantu mangsa gempa bumi di Pakistan dan mangsa Tsunami di Acheh.

Malah kanak-kanak yang menghadiri konsert berkenaan telah turut terhibur dan terasa dihargai apabila mereka telah jemput naik ke pentas untuk mengalunkan Zikr Munajjat bersama Ustaz Dzulkarnain Hamzah serta mendendangkan salawat bersama Tn Hj Kassim Tahir , Pengerusi SARA Gedung Lalang 162 dan Sdr Sufian Ibrahim , Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan.

Ustaz Dzulkarnain Hamzah sekarang ini sedang giat menjalankan usaha dakwah melalui konsep hiburan, tazkirah , zikr dan multimedia dimana menurut beliau generasi sekarang kurang berminat untuk menghadiri kuliah-kuliah ilmu di masjid serta surau. Ustaz Dzulkarnain seorang hafiz Al Quran adalah merupakan bekas Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera pernah berkhidmat di Kemboja serta pernah berkhidmat di Istana Negara Kuala Lumpur.