Apakah penjara Malaysia ini bakal mewarisi penjara Abu Gharib atau penjara Guantanamo ? Atau apakah kes tahanan didera dengan arus elektrik, tahanan dibogelkan seperti yang dilaporkan dalam media akhir-akhir ini adalah merupakan kes terpencil sahaja ?
Walauapapun alasan yang diberikan, yang pasti nama baik Malaysia terutamanya agensi yang terlibat dengan hal-hal keselamatan seperti Kementerian Dalam Negeri, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen sudah tercemar disebabkan insiden yang terpencil ini. Ini adalah kerana agensi berkenaan terlibat dalam mengendalikan tahanan reman, banduan penjara, tahanan imigresen, tahanan ISA serta pelatih pusat Serenti.
Selaras dengan prinsip Islam Hadhari yang bertujuan untuk memartabatkan umat Islam di Malaysia ini yang berlandaskan tamaddun yang tinggi, maka adalah dicadangkan agar pihak yang bertanggungjawab untuk memberi pemahaman konsep Islam Hadhari ini memperluaskan skop mereka untuk memberikan penerangan mengenai tata cara melayan tahanan menurut prinsip Islam Hadhari.
Satu garis panduan serta perundangan yang khusus haruslah dikeluarkan serta dipatuhi oleh semua pihak yang berkaitan dalam mengendalikan tahanan-tahanan di Malaysia ini baik tahanan reman, banduan penjara, tahanan imigresen, tahanan ISA mahupun pelatih pusat Serenti.
Berikut ialah petikan fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulamak Saudi yang masyhur mengenai Layanan Terhadap Tahanan atau Banduan yang disiarkan dalam laman web Islamonline.net http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/FatwaE/FatwaE&cid=1119503547408
Antara yang diperjelaskan oleh beliau ialah LARANGAN untuk mengenakan tindakan berikut terhadap tahanan atau banduan :
1. Mencacatkan atau mencederakan. Adalah diharamkan untuk memotong atau mematahkan mana-mana bahagian badan atau tulang tahanan. Nabi Muhammad saw melarang mencacatkan tahanan perang dan berkata “Jangan mencacatkan” (Riwayat Muslim)
2. Memukul muka dan lain-lain tempat. Ini diharamkan kerana ianya melibatkan maruah. Juga dilarang meletak rantai pada leher tahanan atau membaringkan mereka atas lantai dan merotan mereka.
3. Hukuman dengan api, menjerut leher atau melemaskan dalam air.
4. Membiarkan tahanan kebuluran atau membiarkan mereka kesejukan, atau memberi mereka makan benda yang merbahaya ATAU TIDAK MEMBERI MEREKA PAKAIAN. Jika tahanan mereka mati disebabkan faktor diatas maka hukum Qisas boleh dikenakan kepada pihak berkuasa yang menyebabkan mereka mati sedemikian.
5. Menanggalkan pakaian tahanan. Ini dilarang kerana mendedahkan aurat tahanan dan mendedahkan mereka kepada tekanan saikologi dan menjejaskan kesihatan.
6. Menghalang tahanan untuk melakukan ibadah.
Berikut ialah contoh bagaimana Khalifah Islam melayan tahanan :
Khalifah Ali bin Abi Talib sentiasa memeriksa penjara, dan bertemu dengan tahanan dan bertanyakan hal ehwal mereka.
Khalifah `Umar ibn `Abdul-`Aziz, sentiasa mengutus surat kepada pekerjanya agar sentiasa mengambil berat terhadap tahanan dan merawat tahanan yang sakit.
Khalifah Al-Mu`tadid membelanjakan 1500 dinar sebulan untuk keperluan dan rawatan perubatan tahanan.
Apabila Khalifah Abassiyah Al-Muqtadir memenjarakan salah seorang menterinya, Ibn Muqlah, dan menteri tadi jatuh sakit, khalifah menghantar doktor yang terkenal ketika itu Thabit ibn Sinan ibn Thabit ibn Qurrah untuk merawatnya.
Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, N.Sembilan
waghih.blogspot.com