Malam tadi selepas selesai solat jemaah maghrib di Surau Alamanda, ketika sedang berwirid, tiba-tiba datang seorang India beragama Hindu masuk surau. Beliau kelihatan cemas dan berkata “Bang , minta tolong. Sini Tuhan Allah tolong, ada orang mahu pukul saya”. Mulanya jemaah tak ambil kisah, sebab nampak macam dia tak berapa betul. Tapi dia berulang-ulang cakap perkara yang sama, kami jadi cuak, lalu bertanya pada orang India tadi.
Dia kata ada orang nak pukul dia kat luar sana, dia upah gangster. Tak lama lepas tu muncul seorang lagi India di luar pintu pagar, saya cam orang tadi, selalu nampak di taman berhampiran. Lalu orang yang datang tadi kata, yang mula-mula datang tu abang ipar, dia. Dia mabuk, ada masalah keluarga sedikit dan beberapa cerita lain. Kemudian datang lagi seorang India.
Orang yang mula tadi kata “Ini bulan Ramadhan baru lalu, sekarang bulan Syawal baik punya bulan. Ini Tuhan Allah tolong”
Lalu saya kata pada orang pertama tadi, baliklah rumah, ada anak bini, jagalah mereka baik-baik. Lalu mereka pun setuju untuk balik dengan aman.
Macam-macam dugaan. Kami semua tersenyum.
Alangkah baiknya masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia ini dapat hidup dengan aman damai. Tolong menolong antara satu sama lain, terutama di saat negara menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, rakyat hidup susah dengan kos sara hidup yang meningkat, masalah sosial dan jenayah yang semakin membimbangkan.