KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071025

Datuk Rejal Arbee: Kenapa masih ada yang daif tidak terbela?

Contributed by rejal on Wednesday, October 10 @ 20:01:36 MYT

Dalam masa dua tiga hari lagi ummat Islam akan merayakan Idulfitri menandakan berakhirnya kita mengerjakan ibadah puasa sepanjang Ramadhan. Dan dalam tempoh ini sudah menjadi lumrah ada saja cerita menyayat hati mengesahkan kedhaifan warga kita yang tidak dapat menyambut hari itu dengan kebahgiaan dan kegembiraan kerana dilanda kemiskinan.

Agak menghairankan bagaimana warga daif demikian terus dirundung malang tanpa pembelaan, walaupun kerajaan sudah mengadakan berbagai ajensi dan badan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat begini. Selain dari ujudnya baitulmal yang memungut zakat yang semakin meningkat kepada jutaan ringgit, yang sememangnya bertujuan menghulurkan bantuan kepada golongan daif dan miskin begini serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain dana bantuan, masih ada lagi yang terus tercicir dari menerima bantuan yang mereka amat perlukan.

Tentunya ada diantara kita tertanya-tanya bagaimana perkara begini boleh terus saja berlaku? Apakah hanya bila cerita sedih mereka dipaparkan di akhbar-akhbar saja maka barulah berbagai ajensi dan badan akan bertindak? Salahkah kalau diandaikan orang-orang yang diamanahkan memantau warga demikian ini kurang prihatin dengan tugas mereka?

Sebenarnya kalau di kampung warga yang terus daif hidup melarat tanpa siapa pun mengambil kisah tidak harus boleh berlaku. Ini adalah kerana kerajaan sudah menyediakan prasarana yang sepatutnya sudah cukup berkesan untuk menentukan mereka yang hidup melarat akan mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan kiranya orang yang diberikan amanah telah melakukan tanggungjawab mereka dengan penuh hemah.

Bagaimana tidak kalau kita lihat setiap kampung dan mukim mempunyai ketua kampung serta penghulu/penggawa. Selain itu JKKK juga diujudkan di merata. Demikian pula terdapat masjid dan surau diseluruh pelusuk kampung dan desa yang sepatutnya boleh memantau kedudukan semua penghuni yang berada dalam kariah mereka.

Tentunya orang-orang yang hidup melarat itu juga mempunyai jiran. Apakah jiran tidak boleh tolong memberitahu pihak berwajib adanya orang yang daif dikalangan mereka supaya bantuan boleh dihulurkan? Apakah hanya apabila kedhaifan seseorang itu dimuatkan di dada akhbar saja baru kita hendak bertindak?

Mungkin di bandar-bandar keadaan agak berbeda dimana pemantauan mungkin agak sukar sedikit. Orang-orang yang memerlukan perhatian ini mungkin tinggal bersendirian menyewa bilik atau tinggal di kawasan setinggan terpencil.

Apakah kehidupan demikian ini yang menimpa ibu tunggal Sumalia Embong yang kehilangan anak bongsnya berumur 17 bulan Mas Sarrimah Zulkifli dalam satu kebakaran Ahad lalu yang memusnahkan bilek sewa mereka di rumah kedai di Jalan Gadek Kuala Lumpur.

Dia yang bercerai setahun lalu terpaksa tinggalkan tiga orang anaknya bersendirian dalam bilek sewaannya itu yang dikuncinya apabila keluar mencari nafkah sebagai seorang pembantu kedai. Dua lagi anaknya berumur 3 dan 5 tahun telah dapat diselamatkan kerana berjaya keluar dari bilek itu melalui lubang bekas pendingin udara di dinding bilik itu.

Banyak persoalan yang timbul. Apakah ketika bercerai Mahkamah Syariah yang menjatuhi penceraiannya itu tidak tetapkan nafkah yang harus diberikan bekas suami? Kiranya ketetapan nafkah itu tidak pula dihiraukan, tidakkah ada usaha menentukan bayaran nafkah anak diberikan oleh bekas suaminya?

Apa yang boleh disimpulkan ibu tunggal itu tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan anak-anak bersendirian kerana tidak mampu mencari pengasuh untuk menjaga anak-anak ketika keluar bekerja. Tidak pula diketahui apakah dia sudah mencuba mendapatkan bantuan menjaga anak-anak.

Mungkin sudah tiba masanya pihak berwajib memikir untuk menyediakan tempat jagaan anak untuk ibu tunggal yang menghadapi masaalah seperti Sumalia yang terpaksa meninggalkan anak-anak bersendirian kerana keluar rumah mencari nafkah. Malang sungguh bagi wanita ini yang walau pun sudah ditimpa tragedi menyayatkan ini, dia mungkin pula disiasat polis kerana mengabaikan anak-anak.

Demikian pula dua hari lalu Harian Metro melaporkan bagaimana lapan orang beradik hidup melarat dengan hanya bergantung kepada simpati orang ramai di Kampung Seri Mahkota, Jalan Gambang, dekat Kuantan. Mereka ini tidak berkemampuan membeli pakaian dan kuih untuk merayakan Idulfitri.

Ibu mereka Shaudah Mat Ali, 39, juga seorang ibu tunggal setelah bercerai dua tahun lalu hanya mengharapkan sumbangan orang ramai untuk memenuhi keperluan harian dan dikhuatiri anak-anak kecil pula menghadapi risiko penyakit kerana kekurangan zat makanan.

Mengikut laporan itu tanpa sebarang sumber pendapatan tetap, Shaudah berusaha melakukan kerja sambilan termasuk sebagai pencuci pejabat dan pemungut sampah tetapi telah tidak dapat meneruskan kerja kerana perlu jaga anak yang bongsu di rumah. Enam orang daripada anak-anaknya itu masih bersekolah.

Mungkin masanya sudah tiba bagi pihak kerajaan memikirkan usaha menyediakan tempat jagaan anak kecil untuk ibu tunggal seperti Shaudah.

Demikian pula seorang nenek berumur 72 tahun, Bidah Awang Padang turut menanggung keperitan hidup berikutan dengan kematian suaminya beberapa tahun lalu. Berita kesengsaraan Bidah atau lebih dikenali sebagai Mok Doh juga dilaporkan Harian Metro. Mok Doh dilaporkan tinggal seorang diri di rumah pusaka yang sudah usang di Kampung Bukit Kechik, Banggu Bukit Marak, Kota Bharu Kelantan.

Beliau dikatakan setiap hari mengayuh basikal, peninggalan arwah suaminya, hingga sejauh lima km mencari botol terpakai untuk dijual kepada pemborong. Walaupun mempunyai tiga orang anak tetapi mereka itu juga hidup melarat.

Sejak tiga bulan lalu berikutan dengan dia terjatuh basikal, cucunya seorang pemandu lori tinggal bersamanya. Bagaimana pun cucunya itu yang sudah beristeri and mempunyai anak tidak mampu menyara neneknya.

Diberitakan bahawa dia pernah dikunjungi pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun lalu tetapi hingga kini beliau tidak pernah menerima sebarang berita dari jabatan itu usahkan bantuan.

Sungguh menghairankan bagaimana mereka ini yang sepatutnya sudah boleh mendapat bantuan baik dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, zakat atau lain-lain dana bantuan terus tercicir dari sinarai penerima bantuan.

Apakah yang tidak kena dengan badan/ajensi itu hingga saban tahun ada saja berita menyayat hati disiarkan akhbar? Agak menghairankan bagaimana akhbar pula boleh mengesan orang-orang daif begini tetapi kepahitan hidup mereka itu tidak pula diketahui jabatan/ajensi kerajaan yang bertanggung jawab menghulurkan bantuan.

Selamat Hari Raya IdulFitri Maaf Zahir Batin

Rejal Arbee
10 Okt 2007
http://www.beritakmu.net/modules.php?name=News&file=article&sid=6035