KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071030

PDRM wajar contohi MPS tangani aduan awam

Kegiatan jenayah di negara kita akhir-akhir ini memerlukan penglibatan semua pihak untuk mengatasi dan mencegahnya daripada ianya menjadi tidak terkawal. Semua pihak harus menyumbang dalam mengurangkan kadar jenayah di sekitar kita. Tanggungjawab mencegah jenayah ini bukan hanya terletak di bahu PDRM, orang ramai dari segenap lapisan kaum, bangsa, agama dan peringkat umur harus mengambil bahagian.

Apabila longgarnya hubungan antara semua pihak samada di peringkat keluarga, kejiranan, persatuan dan sebagainya, maka yang akan menguasai tempat kita, kejiranan kita, kampung kita adalah para penjenayah. Mereka yang tinggal dalam sesuatu komuniti itu janganlah mengambil sikap berpeluk tubuh, tidak bercampur dengan masyarakat, tidak melibatkan diri dalam aktiviti setempat, yang akhirnya akan dikuasai oleh mereka yang berpeleseran, merempit, melepak, mat gian dan sebagainya.

Dalam usaha untuk mencegah jenayah ini, PDRM memerlukan maklumat terkini dan tepat dari orang ramai mengenai keadaan keselamatan di tempat mereka. Akan tetapi apa yang menyulitkan orang ramai pada ketika ini, ialah sistem penerimaan dan penyebaran maklumat terutama berkaitan jenayah kepada pihak polis yang masih menggunakan kaedah konvensional.

Sistem yang ada sekarang ini, ialah sebarang kegiatan jenayah yang berlaku perlu mengikut prosedurnya dilaporkan ke balai polis terdekat. Sekiranya balai polis tersebut terletak jauh dari tempat pengadu, sentiasa dipenuhi oleh orang ramai, mengambil masa yang lama untuk membuat laporan, maka sudah pasti orang ramai agak keberatan untuk membuat laporan polis, melainkan ianya melibatkan kerugian yang besar atau melibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa.

Sebagai contoh senario di Rembau, Negeri Sembilan. Kebelakangan ini begitu banyak kejadian pecah rumah berlaku, samada di siang atau pun di malam hari. Rata-rata mangsa enggan atau keberatan untuk membuat laporan polis kerana ianya akan mengambil masa yang lama untuk pergi ke balai polis serta agak sukar untuk polis menangkap penjenayah kecil pada tanggapan mereka. Sedangkan polis perlu mendapat seberapa banyak maklumat kejadian jenayah setempat, agar mereka dapat membuat perangkaan. Dan dari perangkaan ini , mereka boleh mengambil tindakan selanjutnya, samada menambah kadar rondaan, menambah bilangan anggota, meletakkan CCTV atau mungkin menambah helikopter.

Malah rumah ibu bapa saya sendiri di Kg. Bongek , Rembau telah dipecah masuk. Saya menyarankan ayah saya membuat laporan polis. Tetapi maklumlah pada usianya 70 tahun, dia sudah tidak larat hendak turun naik balai untuk membuat laporan.

Justeru itu PDRM haruslah mengambilkan pendekatan yang lebih realistik, yang lebih mesra rakyat untuk menerima aduan awam berkaitan dengan jenayah. Setelah lama saya menggunakan perkhidmatan on line agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri berkaitan dengan aduan awam, saya dapat sistem on line Majlis Perbandaran Seremban (MPS) adalah yang terbaik dan harus diberi pujian.

Ini adalah kerana setiap aduan yang dikemukakan kepada pihak MPS berkaitan dengan perkhidmatan mereka mendapat maklumbalas yang cepat dan tepat. Setiap aduan yang dilaporkan pihak MPS akan diberi jawapan samada dalam perhatian, dalam tindakan atau tidak perlu diambil tindakan. Malah mereka akan menghantar anggota mereka, penguatkuasa mereka sendiri untuk menyiasat aduan tersebut. Juga pengadu boleh menyemak status aduan yang dikemukakan dari masa ke semasa.

Sekiranya PDRM dapat melaksanakan sistem aduan orang awam seperti mana yang dilaksanakan oleh MPS, secara tidak langsung ianya akan membentuk masyarakat agar lebih prihatin untuk mencegah jenayah. Berbeza dengan Rakan Cop, sistem aduan on line ini akan memudahkan kedua-dua pihak , PDRM dan orang awam memantau keadaan keselamatan di sekeliling mereka. Ianya akan melatih orang awam memberikan maklumat yang cepat dan tepat untuk mencegah jenayah.

Kesimpulannya bukannya hanya PDRM sebenarnya yang sepatutnya mencontohi MPS, malah mana-mana agensi yang berkaitan dengan kepentingan orang awam haruslah mencontohi MPS agar pentadbiran kerajaan lebih telus dan cekap, antaranya Baitul Mal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan, Jabatan Kerja Raya untuk memantau jalan-jalan yang rosak, Jabatan Perhutanan untuk memantau pembalakan haram, JKKK, Wakil-wakil rakyat dan sebagainya. Tidak dinafikan hampir kesemua agensi dan jabatan kerajaan mempunyai laman web mereka sendiri. Tetapi tidak semua yang mempunyai sistem aduan yang cekap dan dikemaskini setiap hari.

Sebagai satu langkah ke hadapan lagi, setiap kenderaan peronda polis sebaiknya dilengkapkan dengan komputer on line, dengan ini akan lebih memudahkan orang ramai membuat aduan sekiranya mereka tiada kemudahan internet. Perkembangan teknologi terkini haruslah digunakan sebaik mungkin untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman damai.