KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071029

NGO kempen 100 ribu tandatangan Bantah kezaliman Israel

28 Okt - Persidangan NGO Muslim di bawah Sekretariat Kongres Umat Islam SeMalaysia (Skima) baru-baru ini bersepakat melancarkan kempen menurunkan 100 ribu tandatangan di seluruh negara bagi membantah kezaliman Israel ke atas penduduk Gaza.

Pengerusi Skima Mohd Azmi Abdul Hamid dalam ucapan pembukaan kongres pagi tadi berkata sasaran 100 ribu tandatangan bertujuan bagi menunjukkan tuntutan padu umat Islam ke atas pendirian PBB yang tidak jelas terhadap kemelut Israel - Palestin.

"Bagaimanapun, saya tidak banyak menumpukan perhatian ke atas PBB, malah ia adalah peranan OIC sendiri untuk mengembangkan tuntutan umat Islam sejagat ke atas nasib saudara kita di sana," kata beliau ketika menjawab persoalan salah seorang peserta.

Mohd Azmi berkata, 100 ribu tandatangan itu akan terus diberikan kepada wakil PBB apabila telah selesai kegiatan kempen dilaksanakan nanti.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja berjudul 'Senario Umat dan Cabaran Semasa: Perspektif Nasional dan Serantau'.