KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071213

Bot amfibia elok digunakan semasa banjir

Apabila banjir berlaku di kawasan yang luas, tugas yang paling sukar untuk pasukan menyelamat dan membantu mangsa banjir ialah mengadakan pengangkutan yang sesuai untuk sampai ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

Bot-bot hanya sesuai digunakan apabila keseluruhan kawasan dilanda banjir. Kesulitan berlaku untuk sampai ke kawasan yang beralun, di mana ada tempat yang dilanda banjir , ada tempat yang tidak digenangi air. Kawasan seperti ini hanya boleh dilalui dengan menggunakan helikopter , atau anggota penyelamat perlu memikul bot-bot tersebut apabila melalui kawasan yang tidak dilanda banjir.

Oleh itu kenderaan yang paling sesuai dalam situasi begini ialah bot amfibia. Beberapa negara telah mula memperkenalkan bot amfibia khusus untuk misi menyelamat dan membantu mangsa banjir. Sebuah syarikat di Jerman yang menyedari hakikat ini telah mencipta bot amfibia khusus untuk misi semasa banjir , selepas negara tersebut dilanda banjir besar. New Zealand pula telah menghasilkan bot amfibia secara komersil pada kos sekitar NZ$98,000 (US$77,600).

Memandangkan negara kita Malaysia kerap dilanda banjir serta mempunyai permukaan muka bumi yang beralun juga ianya tidak memerlukan kepakaran yang berteknologi tinggi untuk menghasilkan bot amfibia ini, adalah disarankan supaya kerajaan memikirkan alternatif untuk membina sendiri bot amfibia ini samada melalui cawangan kejuruteraan ATM, PDRM, IKM, Bomba dengan kerjasama kepakaran universiti tempatan dan jurutera otomotif negara.

Bot amfibia ini bukan sahaja mempunyai fungsi pelbagai guna , malah ianya adalah lebih murah jika dibandingkan dengan menggunakan helikopter untuk sampai ke tempat-tempat yang teruk dilanda banjir.

Rujukan :
http://www.autoblog.com/2007/05/16/edag-develops-amphibious-vehicle-for-flood-rescues/
http://www.amphibiousboat.com/