KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071226

Negara memerlukan ambulan udara

Pada 25 Disember 2007 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi telah melakukan penerbangan ihsan membawa dua pesakit iaitu seorang anggotanya dan seorang awam, masing-masingnya dari Labuan dan Kuching, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan pesawat C130H.

Ini bukanlah kali pertama TUDM melakukan penerbangan ihsan, malah penerbangan ihsan sebelum ini turut menggunakan pesawat lain seperti helikopter Nuri juga pesawat Caribou serta beberapa pesawat lain seusia helikopter Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatannya.

Baru-baru ini juga semasa banjir besar melanda negeri Pahang, helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah turut digunakan untuk melakukan penerbangan ihsan.

Sudah sampai masanya negara Malaysia pada zaman aero angkasa serta zaman mengangkasakan bangsa mencari jalan terbaik untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan kesihatan untuk penduduknya

Justeru itu ambulan udara adalah amat perlu pada ketika ini. Di negara-negara maju ambulan udara sudah menjadi lumrah dalam perkhidmatan kesihatan mereka, samada yang dimilikki kerajaan mahupun yang dimilikki swasta, samada dari jenis helikopter mahupun kapalterbang.

Pesawat dari agensi lain seperti tentera adalah sebenarnya tidak sesuai untuk melakukan penerbangan ihsan kerana ianya tidak dilengkapi peralatan perubatan yang sesuai, melainkan ianya harus dipersiapkan oleh pihak hospital apabila hendak melakukan penerbangan ihsan.

Malah ianya adalah tidak kos efektif untuk menggunakan helikopter Mi-171 Jabatan Bomba dan Penyelamat yang besar dan pesawat pengangkut C130H TUDM untuk melakukan penerbangan ihsan.

Bukan itu sahaja, sekiranya negara dilanda musibah sudah pasti helikopter dan pesawat milik Jabatan Bomba dan Penyelamat dan TUDM akan digunakan sepenuhnya untuk tugas mencari dan menyelamat.

Sekiranya negara kita mampu membeli jet pejuang Sukhoi serta menghantar angkasawan menaiki Soyuz, mengapa tidak kita maju setapak lagi dengan menyediakan ambulan-ambulan udara samada dalam bentuk helikopter, pesawat ringan atau pesawat penumpang yang dapat memberikan perkhidmatan kesihatan setaraf negara maju ?