KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071230

Kereta udara alternatif penjimatan minyak

Pernah dengar kereta tidak menggunakan petrol sebagai bahanapi ? Baru-baru ini saya menonton satu rencana di televisyen mengenai kereta yang menggunakan kuasa tekanan udara.

Kereta yang menggunakan udara sebagai tenaga untuk menggerakkan enjinnya dipanggil “Air Car” atau Kereta Udara. Tekanan udara akan dibekalkan ke dalam enjin kereta yang akan dijadikan sebagai tenaga untuk menggerakkan enjin kereta tersebut. Dengan mengisi tekanan udara selama 2 minit sahaja, kereta udara ini boleh bergerak selama 2 jam. Bukan setakat ianya menjimatkan minyak , malah ianya tidak mencemarkan alam sekitar kerana tiada pelepasan gas karbon monoksida ke udara.

Kereta udara ini bukannya fiksyen sains atau khayalan semata-mata. Ianya telah dibangunkan oleh beberapa syarikat di Eropah sejak 1990an yang terdiri dari jurutera otomotif dari Perancis dan Itali.

Kemungkinan kereta udara ini boleh mengancam pasaran harga minyak serta komoditi berkaitan , maka ianya tidak mendapat sambutan dari sesetengah negara.

Bagaimanapun , syarikat otomotif terkemuka India iaitu Tata Motors telah menandatangani perjanjian dengan MDI of France pada Februari 2007 untuk membangunkan kereta udara ini di India. Tata Motors adalah merupakan syarikat pengeluar kereta yang terbesar di India dengan lebih 4 juta kenderaannya bergerak di atas jalanraya India. Tata Motors juga adalah pengeluar kenderaan berat ke 5 terbesar di dunia dan pengeluar bas ke 2 terbesar di dunia.

Adalah dijangkakan sebanyak 6000 kereta udara akan bergerak di atas jalanraya India pada tahun 2008.

Syarikat kereta di India ketika ini sentiasa memikirkan kereta yang sesuai untuk rakyat mereka. Dalam masa terdekat mereka akan mengeluarkan kereta 1 Lakh atau kereta pada harga 100,000 Rupee bersamaan dengan RM 8,500. Kereta yang mereka cipta untuk rakyat adalah untuk manafaat rakyat. Konsep kereta rakyat ini sebenarnya dipelopori oleh Volkswagen dimana “Volks” bermaksud Rakyat dan “Wagen” bermaksud Kereta.

Sementara itu sebuah syarikat di Perancis sedang membangunkan model kereta udara OneCAT pada harga sekitar 3,500 Euros atau RM 17,000.

Sekiranya kereta udara ini dapat dibangunkan dan dikeluarkan di Malaysia , sudah pasti ianya akan memberi manafaat yang begitu banyak kepada rakyat Malaysia, dimana ianya akan mengekang kenaikan harga minyak yang seterusnya akan mengekang kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga barangan dan lain-lain keperluan asas masyarakat. Bayangkan sebuah kereta yang boleh membawa 5 orang penumpang hanya memerlukan RM 7 untuk bergerak sejauh 200 km tanpa pencemaran udara.

Rujukan :
http://www.theaircar.com/
http://www.theaircar.com/tata_agreement.html
http://green.yahoo.com/blog/ecogeek/66/air-car-ready-for-mass-production.html
http://www.engineair.com.au/airmotor.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Air_car