KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100307

Pesara tentera ini cuma nak katil beroda

Pesara tentera di Negeri Sembilan di bawah ini yang terlantar sakit hanya mahukan katil beroda.

**************************
Sinar Harian 6 Mac 2010

Katil beroda harapan warga emas

SERI MENANTI – Mungkin agak pelik, tetapi itulah yang berlaku kepada seorang warga emas di Kampung Padang Biawas, di sini, apabila hanya dapat mandi seminggu sekali.

Ini kerana ketiadaan bekalan air bersih serta kemudahan peralatan mencukupi memandangkan warga emas berkenaan, Raja Zainuddin Raja Said, 74, juga terlantar sakit.

Bekas tentera Rejimen Askar Melayu itu berharap supaya satu hari nanti mempunyai kemudahan seperti katil beroda bagi memudahkan isterinya Tenku Khadimah Tenku Mahadi, 75, membantu membersihkan badannya, memandangkan hanya mereka berdua tinggal di rumah berkenaan.

Bagaimanapun, keupayaan Tenku Khadimah agak terhad kerana menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis selain keupayaan untuk mengangkat suaminya itu juga semakin berkurangan.

Difahamkan, Zainuddin tidak boleh menguruskan dirinya sendiri sejak jatuh di tandas kira-kira lapan bulan lalu, sehingga menyebabkan kakinya sakit dan kini hanya mampu terlantar di atas katil.

“Akibat jatuh di bilik mandi, saya tidak boleh berjalan dan kini terbaring. Minum dan makan juga tidak boleh. Saya makan bubur sahaja. Isterilah yang menemani saya sepanjang hari.

“Walaupun ada anak seramai tujuh orang, tetapi mereka sibuk bekerja di Seremban. Namun mereka tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Sentiasa datang melihat keadaan saya dan isteri walaupun seminggu sekali.

Menurutnya, anak-anaknya pernah berusaha membawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut berkenaan tulang belakang yang telah lari daripada kedudukan asal akibat terjatuh tetapi tiada perkembangan baik dan kekal seperti itu juga.

Menantu perem- puannya, Rabinah Anim Hamzah, 45, berkata, bapa mentuanya perlu diberi perhatian bukan saja penjagaan rapi, malah dari segi kasih sayang.

Beliau berkata, kos rawatan bapa mentuanya itu mencecah kira-kira RM500 sebulan.

Zainuddin berkata, dia hanya mohon sebuah katil memudahkan pergerakan di samping meringankan beban isterinya.

“Saya hanya mohon katil beroda kepada pihak berkaitan memandangkan keadaan saya yang terlantar. Tidak mampu bergerak hanya dibantu oleh anak-anak sahaja. Buat masa ini saya memiliki kerusi roda tetapi sukar untuk bergerak,” katanya yang tidak pernah mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6900816.asp

Tiada ulasan: