KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110829

Alat permainan merbahaya di stesen keretapi?

Satu siasatan segera oleh pihak berkaitan harus dilakukan untuk kejadian di bawah ini dimana seorang kanak-kanak cedera parah terkena renjatan elektrik ketika bermain kereta kawalan jauh di stesen keretapi Sg Gadut, Seremban. Adakah alat kawalan jauh atau sebarang alat yang mempunyai gelombang seperti radio dan telefon bimbit merbahaya digunakan berhampiran landasan keretapi elektrik?

Atau kanak-kanak tadi dipanah petir? Pengetahuan asas bahaya petir di kalangan kita masih lagi rendah, sedangkan Malaysia adalah salah sebuah negara tertinggi di dunia kejadian petir. Blog mengenai bahaya petir di Malaysia di http://kilatmalaysia.blogspot.com


*****************
Budak cedera terkena renjatan elektrik

SEREMBAN 28 Ogos 2011 – Seorang ibu tergamam setelah melihat anak lelakinya terbaring dengan tubuh berasap selepas terkena renjatan elektrik kabel bervoltan tinggi ketika sedang bermain kereta mainan dengan alat kawalan jauh di Stesen Komuter Sungai Gadut dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.35 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd. Shafiq Mat Isa, 10, mengalami kecederaan parah di kedua-dua belah tangan, kaki kiri dan sebahagian badan melecur akibat terkena arus elektrik bervoltan tinggi.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu mengikut ibunya bekerja sebagai pekerja pembersihan di stesen berkenaan.

Ibunya, Norashahin Ujang, 52, memberitahu, ketika kejadian dia sedang membersihkan sebuah gerabak, manakala anaknya itu bermain kereta mainan dengan dengan memegang sebuah alat kawalan jauh di luar gerabak berkenaan.

“Tiba-tiba saya terdengar satu bunyi dentuman yang kuat dan apabila menjenguk keluar tingkap gerabak berkenaan saya terkejut apabila melihat anak saya sudah terbaring di atas lantai dengan tubuhnya berasap.

“Saya terus keluar dan memeluk anak saya tetapi dia tidak bergerak malah saya melihat sebahagian baju serta seluarnya mempunyai kesan terbakar seperti disambar api.

“Pada masa yang sama saya juga melihat alat kawalan jauh yang dipegang Mohd. Shafiq sudah terbakar dan berada tidak jauh dari anak saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja‘afar (HTJ) di sini, hari ini.

Tambahnya, dia tidak sangka alat kawalan kawalan jauh yang dipegang Mohd. Shafiq boleh menyebabkan anaknya itu terkena renjatan elektrik dari kabel yang terletak kira-kira dua meter dari mangsa.

“Saya bersyukur kerana nyawa anak saya masih panjang walaupun arus yang mengalir dalam tubuhnya itu sangat tinggi sehingga menyebabkan simen di mana anak saya berdiri turut berlubang,” katanya sedih.

Sementara itu, Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Fadzil Ismail memberitahu, pihaknya akan menyiasat perkara itu kerana ini kejadian pertama berlaku membabitkan alat kawalan jauh dari sebuah kereta mainan.

“Buat masa ini kita akan menyiasat perkara itu termasuk membuat kajian berhubung bahaya menggunakan permainan kawalan jauh berhampiran kabel bervoltan tinggi.

“Kita melahirkan rasa simpati dengan apa yang menimpa kanak-kanak itu dan pihak kami akan membuat susulan terhadap kesihatan mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan tersebut untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_05.htm


Tiada ulasan: