KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081205

Apabila poster Rokok Haram tampal di surau

Surau Taman Alamanda , Senawang terletak di tepi jalan berhampiran padang bola. Taman Alamanda pula adalah merupakan laluan utama antara Taman Desa Dahlia, Taman Satria dan Taman Desa Melor. Lalu Surau Alamanda sering dijadikan tempat persinggahan mereka yang ke tandas , berehat , mandi lepas main di padang.

Boleh dikatakan orang Melayu Islam yang menggunakan surau sekadar untuk menggunakan tandas , menukar lampin bayi , berehat , tidur , mandi , basuh kaki , basuh tangan bahkan basuh basikal oleh kanak-kanak keempat-empat taman tadi , lebih ramai daripada mereka yang datang semata-mata untuk solat jemaah.

Lebih buruk lagi ruang solat bahagian wanita digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk tidur , berehat dan MENGHISAP ROKOK apabila tiada jemaah di surau.

Ini terbukti setiap kali datang ke surau ini ada bau rokok , ada saja abuk dan puntung rokok. Bahkan gelas yang digunakan untuk diberi penceramah minum digunakan sebagai tempat abuk rokok.

Puas sudah dinasihat, puas sudah letak poster jaga kebersihan dan sebagainya.

Namun yang masih KURANG AJAR yang tak HORMAT surau ialah orang MELAYU yang beragama Islam. Yang menghina tempat suci Islam ialah orang Melayu sendiri. Tak pernah saya nampak orang Cina , orang India datang ke surau ini untuk melepak.

Macamana kita nak penganut agama lain hormat Islam kalau orang Melayu yang beragama Islam sendiri yang kurang ajar ? Macamana kita hendak menyeru umat Islam menegakkan Islam kalau mereka yang perjuangkan Islam menghisap rokok ?

Setelah puas berikhtiar akhirnya gunakanlah cara terakhir dengan menampal POSTER yang dibuat sendiri yang bertulis MEROKOK ADALAH HARAM dan disertakan Fatwa-Fatwa Majlis Agama Islam Negeri. ( Rujukan : http://pasns.blogspot.com/2008/11/yoga-dan-merokok-dua-dua-haram.html ). Poster-poster ini ditampal dibanyak bahagian di surau.

Alhamdulillah selepas 1-2 minggu , tiada lagi nampak abuk rokok , puntung rokok di dalam surau dan persekitaran. Tiada lagi bau rokok apabila masuk surau.

Nampaknya inilah satu-satunya cara untuk mengelakkan generasi muda , kanak-kanak sekolah , remaja perempuan untuk menjauhkan diri dari najis rokok.

Kepada mereka yang sudah ketagih rokok , usahakanlah cara untuk berhenti merokok, DEMI anak-anak kita sendiri. Nak tak kita tengok semua anak-anak kita yang sekolah rendah termasuk yang perempuan sudah mula berjinak-jinak dengan rokok ?

Kepada mereka yang sukar untuk berhenti rokok , elakkanlah merokok di hadapan remaja dan kanak-kanak.

Ayah saya sendiri merupakan perokok tegar walaupun pelbagai cara dilakukan untuk berhenti merokok. Saya hanya mampu berdoa dan berusaha , ALLAH yang menentukan segala-galanya.

1 ulasan:

putra revolusi berkata...

Berdasarkan pemerhatian saya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ini telah dipersetujui oleh beberapa majlis fatwa negeri seperti Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak. Ertinya keputusan telah dibuat di negeri-negeri berkenaan bahawa merokok diharamkan kepada penganut-penganut Islam. Walaupun ada keputusan sedemikian di peringkat negeri, cubalah kita perhatikan situasi di negeri-negeri tersebut, adakah semua penganut Islam menghormatinya?. Sekarang ini musim kenduri kahwin, cubalah bilang berapa tinggi kepulan asap yang dihisap oleh penganut-penganut Islam di negeri-negeri yang telah difatwakan merokok haram itu. Mengapa fatwa yang ada itu tidak dihormati oleh masyarakat Islam kita?

Di negeri saya, Kedah, walaupun ada fatwa seumpama itu di negeri ini, tetapi ia setakat fatwa sahaja. Asap rokok masih berkepul-kepul di mana-mana sahaja tidak kira tempat private atau tampat awam.Mungkinkah penganut Islam di negeri-negeri yang ada fatwa merokok itu haram masih gila merokok kerana tidak menyedari adanya fatwa itu, ertinya fatwa yang ada tidak disebarkan secara meluas menyebabkan ramai yang tidak menyedarinya? Saya tidak ingin pergi jauh, cukup sekadar mengambil contoh kawasan perumahan tempat saya tinggal di Alor Star ini sahaja.

Di dinding surau kami ada pelekat berbunyi, "Merokok Diharamkan Oleh Islam" yang telah hampir 2 tahun berada di situ, sesuai dengan fatwa yang dipersetujui oleh majlis fatwa negeri Kedah. Tetapi ramai yang tidak mengindahkan pelekat itu. Di dalam surau memanglah tidak ada yg merokok, tetapi di luar surau? Minggu hadapan perkarangan surau saya itu akan dipenuhi ramai orang kerana ada majlis korban sempena Aidil Adha. Seperti pada tahun lepas saya percaya ramai yang akan merokok sambil melapah lembu di perkarangan surau. Pelekat pengharaman merokok yang ada di hadapan mereka akan kekal sebagai perhiasan sahaja.......

http://putrarevolusiblogspotcom.blogspot.com/