Baru-baru ini saya bersama beberapa wakil penduduk taman-taman perumahan sekitar Senawang telah berkesempatan menghadiri satu taklimat pencegahan jenayah di Balai Polis Senawang. Kerjasama antara orang ramai dan polis adalah amat penting dalam usaha mencegah jenayah di persekitaran kita tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Usaha pencegahan jenayah ini disulitkan lagi dengan kekurangan anggota polis , jawatan kosong yang belum diisi serta nisbah polis kepada penduduk yang agak tinggi.
Justeru itu semua pihak harus memahami bahawa usaha pencegahan jenayah ini tidak akan berjaya tanpa persefahaman dan kerjasama erat antara polis dan orang awam.
Apa yang menarik perhatian ialah kenyataan Ketua Balai Polis Senawang yang mengatakan dia datang dari sebuah kampung di Selangor. Di kampungnya tiada sebarang kes jenayah. Ini adalah kerana semua penduduk di kampung tersebut menjadikan surau sebagai pusat komuniti mereka dan mereka kenal antara satu sama lain di setiap kampung.
Bagaimana dengan kita , adakah kita kenal jiran-jiran kita , kita kenal anak-anak jiran kita , kita menjadikan surau atau masjid sebagai pusat komuniti ?
Banyak maklumat mengenai kejadian jenayah setempat akan diperolehi jika kita mempunyai hubungan yang erat antara polis dan orang awam , hubungan yang erat antara penduduk dan jawatankuasa penduduk.
Kejadian jenayah kecurian motosikal akan bertambah menjelang Sambutan Kemerdekaan , Sambutan Krismas dan Sambutan Tahun Baru. Kerana motosikal yang dicuri ini akan digunakan untuk tujuan lumba haram.
Antara kecuaian di pihak orang awam dalam usaha pencegahan jenayah ialah :
1. Tidak membuat laporan polis kejadian jenayah yang dianggap kecil seperti kecurian tong gas , pecah rumah tanpa barang berharga hilang dan sebagainya.
2. Tidak mencatat nombor plet kenderaan serta butiran lain mereka yang diragui masuk ke kawasan taman perumahan dan tidak menghubungi polis apabila nampak mereka yang mencurigakan.
3. Membiarkan anak-anak membawa kenderaan tanpa lesen
4. Tidak menghubungi terus balai polis terdekat dengan tidak menggunakan talian 999. Talian 999 akan mengambil masa lebih lama untuk tindakan polis.
5. Tidak mengenali Pengerusi Rukun Tetangga , Pengerusi Taman , Pengerusi Persatuan Penduduk untuk sebarang masalah berkaitan jenayah untuk mendapatkan kerjasama polis.
6. Tidak memasang kunci tambahan pada kenderaan dan rumah.
7. Membiarkan kunci tinggal di kenderaan apabila membuka pagar rumah , pintu rumah atau ke kedai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan