KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110428

Rayu bantuan anak sakit



Sinar Harian 28 April 2011

SEREMBAN - Seorang suri rumah merayu bantuan orang ramai untuk meringankan beban kos perubatan anak lelaki keduanya yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Roznie Akma Mohd Rozi, 24, berkata, penyakit itu ditanggung anaknya, Mohd Danish Arfan Sufi, 2, sejak dia dilahirkan.

“Saya perlu membawa Mohd Danish Arfan untuk pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) setiap tiga bulan sekali.

“Disebabkan suami, Sufi Omar, 27, tidak mempunyai kereta, saya terpaksa menyewa teksi ke sana,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah Pangsa Kos Rendah Nilai Perdana, Nilai, dekat sini, semalam.

Selain itu menurutnya, dia perlu mengeluarkan wang untuk membeli ubat Mohd Danish Arfan yang turut mengidap lelah, lebih-lebih lagi jika cuaca terlalu panas atau sejuk.

“Anak lelaki sulung, Mohd Shafik Arfat,5, turut menghidap penyakit lelah.

“Doktor kata anak kedua saya mempunyai peluang sembuh sekiranya dia menjalani pembedahan dengan anggaran kos RM40,000,” katanya.

Roznie Akma berkata, walaupun Mohd Danish Arfan hanya boleh dibedah selepas mencapai umur 4 tahun, namun mereka perlu mengumpul wang mulai sekarang.

Menurutnya, pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sekitar RM750 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sebanyak RM200 sebulan kadangkala tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Sebahagian besar pendapatan bulanan digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM250 dan ansuran motosikal dengan jumlah sama.

“Soal makanan pula kami tidak boleh memilih. Jika tiada lauk, cukup sekadar makan bubur nasi sahaja,” katanya.

Menurutnya, anak pula jarang dapat minum susu tepung dan biasanya dia hanya beri mereka minum air bancuhan susu pekat.

“Saya pernah bekerja sebagai pembantu jualan di kedai menjual kain sekitar Nilai 3 tetapi terpaksa berhenti untuk menjaga anak.

“Kami amat berharap ada pihak yang sudi tampil membantu sekurang-kurangnya untuk kurangkan beban membiayai kos perubatan Mohd Danish Arfan,” katanya.

Sumbangan boleh dihulurkan secara terus kepada Roznie Akma menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 11116-29-00002457-9 atau menghubunginya menerusi talian 010-527 7802 untuk maklumat lanjut.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9023298.asp

1 ulasan:

Dr Aziz Sabran ( Aziz Rantissi) berkata...

jom kita ziarah pesakit ini. ana free esok. kalau ada 2-3 orang Yayasan Amal NS pun ok.