KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110421

Renungan untuk orang Negeri Sembilan



Sebenarnya bukan untuk orang Negeri Sembilan sahaja, tapi untuk semua manusia. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, yang paling utama nikmat iman, kemudian nikmat mulut, mata, rambut dan sebagainya, tak terkira nikmat yang ada. Kalau nak cantik lagi, ada yang memerlukan bantuan, kita hulurkanlah, bukan hanya untuk mereka, tetapi sebagai tanda syukur kita.

Kanser ragut bahagia
Harian Metro 21 April 2011

SEREMBAN: Seorang lelaki yang juga bapa kepada empat anak berusia antara tiga dan 15 tahun berdepan kesukaran untuk meniti masa depannya kerana menghidap kanser usus besar menyebabkannya tidak boleh bekerja untuk menyara keluarga.

Amir Ansah, 45, dari Taman Cempaka berkata, penyakitnya itu mula dikesan pada awal tahun lalu selepas mengadu sakit di perut dan sebaik membuat pemeriksaan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) September lalu, doktor mengesahkan penyakitnya itu berada pada tahap kritikal.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori kontena di sebuah kilang di Senawang berkata, beliau menjalani pembedahan perut November lalu dan doktor memasukkan sejenis alat khas dikenali ‘Chemopot’ di dada bagi tujuan rawatan.

“Selepas pembedahan dan atas nasihat doktor, saya tidak boleh lagi membuat kerja berat dan terpaksa mengambil cuti. Majikan saya hanya membayar gaji asas RM400 sebulan sejak November lalu sehingga Jun ini dan selepas itu kedudukan pekerjaan saya bergantung kepada laporan perubatan sama ada boleh meneruskan kerja atau tidak.

“Bagaimanapun berdasarkan nasihat doktor, ada kemungkinan penyakit yang saya hadapi ini sukar untuk dipulihkan,” katanya, semalam.

Menurut Amir, dia bingung memikirkan keadaan dirinya terutama keperluan keluarga lebih-lebih lagi tiga anaknya yang masih bersekolah iaitu dua di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi dan seorang di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Pagi Senawang.

Isterinya, Saadiah Darun, 39, yang sebelum ini seorang suri rumah, kini bekerja sejak dua bulan lalu bagi menampung keperluan keluarga dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan.

Amir yang juga bekas anggota tentera tidak berpencen berkata, pendapatan sekarang menyukarkannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga apatah lagi memikirkan masa depan anak-anak.

“Saya sudah membuat permohonan bantuan dengan beberapa pihak, termasuk Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang sudi menghulurkan bantuan RM1,500 bagi membiayai kos rawatan,” katanya.

Amir berkata, dia perlu menjalani rawatan ulangan lima kali sebulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kanserragutbahagia/Article/index_html

Tiada ulasan: