KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110409

Senawang, Pusat Pembuangan Sampah Sisa Binaan, MPS Lemah

Gambar penghadang yang dipasang oleh penduduk sendiri baru-baru ini tanpa bantuan MPS

Sebelum ini saya ada menulis mengenai masalah pembuangan sampah dan sisa binaan oleh pihak tidak bertanggungjawab berhampiran Surau Taman Alamanda, Senawang. Walaupun berulang kali dibuat aduan ke Majlis Perbandaran Seremban, tiada tindakan yang konkrit oleh MPS. Akhirnya penduduk taman tersebut mengambil tindakan sendiri dengan meletakkan penghadang yang dapat mencegah terus perbuatan pembuangan sampah dan sisa binaan.

Nampaknya bukan di Taman Alamanda saja perkara ini berlaku. Utusan Malaysia 9 April 2011 melaporkan masalah pembuangan sampah dan bahan binaan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini lebih serius berlaku di Taman Senawang Jaya.

Gambar sebelum penghadang ada di Taman Alamanda di http://waghih.blogspot.com/2011/03/majlis-perbandaran-seremban-tak-boleh.html

TAPAK RUMAH TERBENGKALAI JADI TEMPAT BUANG SAMPAH, SISA TOKSIK

Utusan Malaysia 9 April 2011

SEREMBAN 8 April - Pekerja kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Senawang dekat sini mendakwa lokasi tapak rumah terbengkalai berhampiran kilang berkenaan kini menjadi tumpuan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah serta sisa toksik.

Tindakan itu menjadi punca dan masalah bau busuk kepada pekerja kilang berkenaan termasuk penduduk di sekitar kawasan tersebut berikutan bau sisa berkenaan boleh dihidu dari jarak satu kilometer.

Pengurus Hal Ehwal Alam Sekitar kilang terbabit, Ismail Mohd. Yunus berkata, pihak syarikat telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengawal keselamatan bertugas.

"Sampah berupa sisa toksik ini dipercayai dibuang di kawasan ini sejak tiga hari lalu, selain bau busuk kita bimbang sisa toksik ini boleh memudaratkan kesihatan pekerja.

"Saya dimaklumkan bahawa pada Isnin lalu terdapat dua buah lori persendirian membuang sampah tersebut di kawasan ini kira-kira pukul 10.50 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail berkata, sampah itu mendatangkan bau yang tidak menyenangkan sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan pekerja kilang.

"Bau busuk sampah ini sangat kuat sehingga menyebabkan ramai pekerja berasa mual dan pening kepala setiap hari.

"Orang ramai yang melalui kawasan ini dan penduduk di Taman Senawang Jaya dekat sini juga diyakini berhadapan dengan masalah yang sama," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

Tiada ulasan: