KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20111004

Tak mampu beli susu anak OKU, kenapa sampai begini?



Jabatan Kebajikan dan Baitulmal telah memainkan peranan mereka masing-masing dalam kes di bawah ini. Apa pula peranan yang dimainkan oleh adik beradik, sanak saudara dan jiran tetangga juga mereka sebangsa?

Semalam rakan saya memberitahu di kawasan perumahannya ada seorang ibu tunggal yang mempunyai 6 orang anak. Kawasan perumahannya boleh dikatakan kawasan perumahan elit di Seremban ini. Selepas kematian suaminya, ibu tunggal tadi terpaksa menjual kenderaannya untuk menampung perbelanjaan harian. Kini ibu tunggal tersebut bekerja sebagai pembantu restoran.

Rakan saya bertanya kepada ibu tunggal tadi, tak ada minta bantuan JKM dan Baitulmal ke? Ibu tunggal tadi tak tahu pun ada bantuan sebegitu dan tidak tahu caranya. Lalu rakan saya pun kutuklah semua jiran setamannya termasuk diri dia sendiri, kita duduk di taman perumahan yang gah , tetapi tidak dapat membantu ahli taman yang kesusahan.

Saya kata pada kawan saya, itulah budaya Melayu sekarang ini. Semua nak lepas tanggungjawab. Kalau ada orang susah mereka akan suruh rujuk pada JKM dan Baitulmal dulu. Kalau jumpa wakil rakyat, sudah dibiasakan untuk mendapat wang ringgit. Sedangkan wakil rakyat cuma tandatangan borang permohonan bukan keluar duit dari poket dia sendiri.

Tulah kata rakan saya, taman perumahan dia ada 2-3 orang bekas wakil rakyat tetapi tidak boleh nak bantu. Saya kata pada dia, jangan salahkan bekas wakil rakyat tadi semata-mata, kalau mereka ini turun bertanya khabar orang akan pandang serong kalau tak hulur wang ringgit, kerana politik di Malaysia terutama orang Melayu mesti dikaitkan dengan duit dan projek.

Jadi berbalik kepada ibu tunggal dibawah ini, kalau ada sanak saudara , jiran tetangga yang mampu, hulurkanlah bantuan. Kita nak bantu, tak ada pula dinyatakan no akaun bank dalam laporan di bawah ini. Kalau seorang beri RM10, 1000 orang baca artikel ini, dapat juga RM 10,000.00.

Apakah Melayu sekadar juara tumbuk menumbuk, tolak menolak, baling membaling batu di Jalan Jelebu, sebelah Masjid Jamek Ampangan? Kita tunggu 6 Oktober ini pula di Kg Batu , Rembau.

Tak mampu beli susu anak OKU
Harian Metro 4 Okt 2011

SEREMBAN: Seorang ibu tunggal terpaksa memberikan anaknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), minum air bercampur susu cair bagi menggantikan susu formula akibat kemiskinan hidup.

Laila Wati Omar, 44, berkata anaknya, Nurul Nur Iqmazatul Iqma Abd Manap, 13, yang mengalami kecacatan sejak lahir terpaksa minum air yang dicampur dengan susu cair kerana kekangan hidup dialaminya.


“Saya mengakui mendapat bantuan sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi kerana saya tidak mampu bekerja selepas terbabit dalam kemalangan dua bulan lalu. “Hati ini sedih melihat Nurul Nur Iqmazatul Iqma terpaksa minum air dicampur susu cair walaupun sepatutnya dia diberikan susu formula, namun hanya itu yang mampu saya lakukan,” katanya yang juga ibu kepada enam anak berusia antara tujuh hingga 22 tahun ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Jalan Jelebu, Ampangan, di sini, semalam.

Menurutnya, Iqmazatul cacat sejak dilahirkan dan mengalami kekejangan urat saraf menyebabkan dia tidak mampu berjalan atau duduk serta hanya mampu minum susu atau bubur yang dimasukkan ke dalam botol susu.

Laila berkata, dia yang dulunya menampung keluarga dengan membuat kuih terpaksa berhenti kerana tidak mampu melakukan sebarang kerja selepas terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan tangan sebelah kirinya tidak berfungsi dengan baik.

“Saya pernah cuba untuk bekerja dengan melakukan tugas ringan tetapi ternyata tidak mampu akibat dari kesan kemalangan dua tahun lalu dan kini hanya duduk di rumah, tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TakmampubelisusuanakOKU/Article/index_html

Tiada ulasan: