KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20111023

Keluhan peniaga Pasar Ampangan lepas kunjungan TPM


Pada 15 Oktober 2011 yang lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan lawatan rasmi ke Negeri Sembilan. Salah satu tempat yang dilawatinya ialah Pasar Ampangan di Ampangan, Seremban. Hampir setiap minggu saya dan isteri mengunjungi Pasar Ampangan ini kerana terdapat pelbagai jenis makanan basah dan kering. Dan salah satu penyeri Pasar Ampangan ini ialah para peniaga yang menjual pelbagai juadah untuk sarapan di perkarangan luar pasar ini.

Sehari selepas kunjungan TPM ke Pasar Ampangan, saya membeli belah di pasar tersebut. Para peniaga merungut mengenai kedatangan TPM. Mereka bukan merungut kepada TPM, tetapi mereka merungut kepada penganjur. Penganjur telah menutup banyak jalan masuk ke pasar pada pagi tersebut, menyebabkan kurang pembeli datang pada hari tersebut, lalu perniagaan mereka merosot.

Memang mereka hargai kunjungan TPM, tetapi pengiring-pengiring serta juak-juak yang terlalu ramai yang mengiringi TPM menyebabkan ramai pembeli pada hari tersebut beralih arah.

Yang kedua ialah mengenai pengumuman TPM peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf Pasar Ampangan. Semalam saya berjumpa para peniaga makanan di perkarangan pasar tersebut. Salah seorangnya saya kenali sudah lebih 10 tahun. Dari dulu dia berniaga sehinggalah sekarang, hanyalah menggunakan meja buruk dan payung.

Saya kata lepas selepas pengumuman TPM, mungkin kawasan para peniaga ini akan ada gerai tetap, bersimen dan berbumbung. Para peniaga tadi kata elok apa, mereka akan naik taraf Pasar Ampangan menjadi bangunan 2 tingkat. Para peniaga makanan akan berniaga di tingkat 2.

Tergamam dan terkedu saya mendengar apa yang dikatakan peniaga tadi. Betul ke Pasar Ampangan akan dibuat 2 tingkat. Sudah berapa banyak premis perniagaan yang 2 tingkat yang tak laku di bandar ini, yang amat menjejaskan pendapatan para peniaga yang rata-ratanya orang Melayu.

Tengok saja yang dekat dengan Pasar Ampangan, iaitu Plaza UDA Ampangan. Kalau tiada Pasaraya Giant di Plaza UDA, tiadalah penyeri plaza tersebut. Itu pun yang meriah hanya di tingkat bawah. Begitu juga dengan Plaza MARA Seremban dan Bazaar MAINS di tengah kesesakan bandar Seremban.

Apakah penaiktarafan Pasar Ampangan ini hanya akan memberi keuntungan kepada sesetengah pihak sahaja terutama pihak kontraktor? Apakah tingkat 2 Pasar Ampangan nanti akan lesu seperti Plaza Ampangan dan Bazaar MAINS? Apakah para peniaga sedia ada akan berniaga di tepi-tepi jalan seperti biasa selepas Pasar Ampangan dinaiktaraf?

Artikel saya sebelum ini mengenai kelesuan Plaza UDA Ampangan, Plaza MARA Seremban dan Bazaar MAINS di http://waghih.blogspot.com/2008/10/faktor-bazaar-mains-kurang-pengunjung.html


Tiada ulasan: