KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081028

Faktor Bazaar MAINS kurang pengunjung

Baru-baru ini saya berjumpa dengan seorang peniaga di Bazaar MAINS. Dia kata ada seorang pelanggan dari Senawang bukan main payah nak cari Bazaar MAINS , beberapa kali sesat tengah bandar Seremban nak cari Bazaar MAINS.

Tinjauan peribadi saya ketika turun padang ke Bazaar MAINS mendapati beberapa faktor yang menyumbang kepada kurangnya pengunjung ke Bazaar MAINS atau punca ramai orang Seremban sendiri tidak tahu kewujudan Bazaar MAINS ialah :

1. Jalan hadapan Bazaar MAINS ialah jalan sehala iaitu Jalan Dato Abdul Rahman. Sedangkan banyak jalan lain di Seremban ialah jalan dua hala. Ada baiknya pihak Majlis Perbandaran Seremban mempertimbangkan untuk menjadikan jalan ini dua hala , kerana tindakan menjadikan jalan ini sehala secara tidak langsung mematikan Bazaar MAINS. Jika alasan menjadikan jalan ini sehala untuk mengurangkan kesesakan jalan adalah tidak berapa logik kerana sekarang ini pun bandar Seremban begitu sesak , dan yang menyesakkan jalan Seremban ialah pemilik kenderaan yang meletak kenderaan sesuka hati di tengah jalan.

2. Faktor kedua ialah tiada langsung papan tanda dari mana-mana jalan utama yang menunjukkan Bazaar MAINS. Pihak Majlis Perbandaran Seremban dan JKR boleh memikirkan untuk meletak beberapa papan tanda untuk ke Bazaar MAINS. Bazaar MAINS yang terletak di tengah bandar Seremban ini ada potensi untuk dijadikan tempat tarikan pelancong seperti Pasar Seni , Pasar Budaya , Kedai Payang dan sebagainya.

3. Faktor ketiga ialah setiap malam jalan hadapan Bazaar MAINS ini iaitu Jalan Dato Abdul Rahman ini dijadikan tapak pasar malam , dimana sekitar jam 5 petang jalan ini akan ditutup. Ini juga secara tidak langsung bukan sahaja mematikan Bazaar MAINS malah boleh mengkuburkan terus Bazaar MAINS. Mungkin pihak Majlis Perbandaran Seremban boleh mempertimbangkan beberapa cadangan seperti menutup hanya separuh jalan sahaja , atau mengalihkan kedudukan pasar malam ini ke jalan lain , atau menghadkan setiap jalan di Seremban ini hanya satu malam sahaja di adakan pasar malam contoh hari Ahad di Jalan Dato Abdul Rahman , hari Isnin di Jalan Tunku Hassan , hari Selasa di jalan Dato Lee Fong Yee dan seterusnya. Barulah adil untuk semua peniaga di bandar Seremban.

4. Faktor keempat ialah memandangkan Bazaar MAINS ini kedudukannya ke dalam sikit dari jalan kerana ruang pejalan kaki yang luas , maka ianya tidak menggamit pengunjung. Kedai JUDI NOMBOR EKOR sebelah Bazaar MAINS ini lebih menonjol dan lebih kreatif kerana meletakkan papan tanda KEDAI JUDI yang lebih menonjol. Justeru itu MAINS Holding dicadangkan agar meletak papan tanda gergasi yang menonjol sikit yang boleh nampak dari Jalan Tunku Munawir dan Jalan Dato Bandar Tunggal untuk menyaingi papan tanda KEDAI JUDI sebelahnya (macam saya tulis huruf besar KEDAI JUDI ianya lebih menonjol dari bazaar mains )

5. Faktor kelima ialah kurangnya pejabat agensi kerajaan di Bazaar MAINS ini. Mungkin MAINS Holding boleh mempertimbangkan untuk meletakkan sebanyak mungkin pejabat agensi kerajaan di tingkat atas Bazaar MAINS seperti Kaunter Pusat Zakat , Kaunter Baitul Mal , Kaunter JKM , Klinik Baitul Mal , Pusat Kaunseling Baitul Mal dan sebagainya. Apabila ramai orang berurusan dengan agensi kerajaan di Bazaar MAINS secara tidak langsung mereka mengunjungi Bazaar MAINS.

6. Faktor keenam ialah tiadanya sistem siaraya yang berfungsi dengan sepenuhnya di Bazaar MAINS ini , tidak seperti di kebanyakkan pasaraya. Sistem siaraya dengan lagu nasyid, ceramah atau siaran Radio IKIM akan menggamatkan serta menyerikan suasana di Bazaar MAINS.

Saya percaya persatuan peniaga di Bazaar MAINS mempunyai banyak lagi cadangan yang mereka akan kemukakan kepada pihak berkaitan. Semoga Allah memudahkan usaha mereka dan memberi pahala serta ganjaran kepada pihak yang bertanggungjawab yang melaksanakannya.

Bukan Bazaar MAINS sahaja yang menghadapi masalah kurang sambutan. Seremban Plaza milik MARA dan Plaza Ampangan milik UDA juga mempunyai masalah lebih kurang serupa.

Kepada pengarah-pengarah, pak menteri, wakil rakyat , turunlah padang tengok apa masalah peniaga Melayu kita. Sama-sama kita bantu. Membina sebuah kompleks perniagaan adalah mudah dan menguntungkan tetapi untuk mempastikan kompleks perniagaan tersebut memberi menafaaat kepada para peniaga dan menguntungkan adalah satu tugas yang amat sukar tetapi tidak mustahil.

Sudi-sudi ziarah Blog Bazaar MAINS di http://bazaarmains.blogspot.com/