KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081015

Laman web Majlis Agama perlu menarik , ceria

Internet mempunyai kebaikan dan kemudaratan. Terpulang kepada pengguna untuk mengendalikannya. Seperti pisau , boleh digunakan untuk kebaikan juga kejahatan. Pisau boleh digunakan untuk memotong sayur, pisau yang sama boleh digunakan untuk membunuh.

Begitu juga internet , boleh digunakan untuk menyeru manusia untuk melakukan kebaikan atau menggalakkan manusia melakukan kejahatan.

Oleh itu pihak yang ingin menyeru manusia melakukan kebaikan haruslah lebih kreatif dalam kaedah penyampaian mereka terutamanya di era siber ini. Mereka yang menyeru kepada kelalaian , fitnah , cerita sensasi begitu kreatif , tetapi mereka yang menyeru kepada kebaikan kurang kreatif , masih menggunakan kaedah lama.

Sebelum ini saya pernah menulis bagaimana JAKIM dan Jabatan Agama Negeri perlu ada kaunseling “online” di http://waghih.blogspot.com/2008/05/jakim-dan-jabatan-agama-negeri-perlu.html .

Tetapi bagaimana caranya menarik pelayar internet untuk melayari laman web JAKIM serta Majlis Agama Islam Negeri jika sekiranya ianya tidak sesuai dengan jiwa remaja , jiwa belia , jiwa anak muda , jiwa orang yang suka melepak , jiwa mereka yang suka bergossip ?

Jumlah pengunjung pada sesetengah blog ada kalanya jauh melebihi jumlah pengunjung ke laman web Majlis Agama atau Jabatan Agama. Walhal blog hanya dikendalikan oleh individu dengan mengeluarkan modal dan tenaga sendiri , sedangkan laman web yang dikendalikan oleh Majlis Agama dan Jabatan Agama sepatutnya mempunyai cukup kepakaran , tenaga dan kewangan seperti laman web JAKIM http://www.islam.gov.my
serta laman web Majlis Agama Islam Negeri Sembilan http://www.mains.gov.my sebagai contoh

Pujian harus diberikan kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan kerana mempunyai laman web yang agak kreatif , interaktif dan ceria di http://www.zakatns.com.my . Untuk menarik pelayar internet melayari laman web mereka , beberapa kuiz dan pertandingan diadakan. Ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha bijak untuk menarik pelayar internet melayari laman web , bukan menyiarkan cerita sensasi , gossip dan sebagainya.

Justeru itu kepada mereka yang ada sumber kewangan dan kepakaran , perlulah lebih kreatif untuk membimbing manusia ke arah kebaikan. Kami para blogger mempunyai kepakaran , masa , tenaga dan kewangan yang amat terhad , cuma daya pemikiran kami yang dipinjamkan oleh pencipta kita yang tidak terhad , insyaALLAH.