KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081030

94 bayi luar nikah setiap hari

Itulah angkanya jika 257,411 bayi luar nikah dari 2000 hingga Julai 2008, bermakna 94 bayi luar nikah setiap hari. Setiap negeri purata 7 orang bayi luar nikah setiap hari. Setiap pihak mesti bertafakkur sebentar fikirkan perkara ini. Banyak tindakan boleh dilakukan baik di pihak kerajaan mahu pun individu. Semua harus bertindak.

Masjid-masjid mesti dipenuhkan dengan solat jemaah. Hiburan melampau di tempat awam, di media elektronik mesti dikawal. Aktiviti alternatif mesti disediakan. Perkahwinan harus dipermudahkan. Majlis perkahwinan yang eksklusif (grand) jangan dihebohkan. Rumah urut harus dikawal. Usaha dakwah mesti diperhebatkan. Akhir sekali semua kita mesti berdoa agar generasi kita diselamatkan dari bala dan musibah yang berterusan akibat maksiat yang semakin tidak terkawal.

*********************
257,411 bayi luar nikah
Kosmo 30 Oktober 2008
KUALA LUMPUR - Mengejutkan!

Sebanyak 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan rupa-rupanya tanpa dicatatkan nama bapa dari tahun 2000 hingga Julai lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan lisan R. Sivarasa (PKR-Subang) semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, data itu dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ekoran anak-anak yang dilahirkan itu tidak mempunyai sah taraf atau anak luar nikah.

"Pendaftar tidak boleh mencatat nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf atau luar nikah kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa.

"Ini selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 229," katanya.

Tambah Syed Hamid, di bawah peruntukan Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak untuk mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm