KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081001

Buat Surau guna duit sendiri , jangan harap sangat derma


Ini ialah gambar sebuah surau yang dalam pembinaan di sebuah kampung di Kuala Terengganu. Surau ini di bina oleh ahli keluarga dan sumbangan sesama ahli keluarga. Ianya dibina kerana tiada surau dibina dalam kawasan taman perumahan tersebut. Surau lain banyak berhampiran. Tetapi lebih selesa untuk membina surau yang berhampiran setiap taman. Surau ini dibina tanpa mengharapkan derma atau sumbangan kerajaan. Duit dikumpul di kalangan ahli keluarga , dan dibina sendiri. Orang Terengganu , boleh dikatakan setiap keluarga pandai buat rumah , jadi tak perlu upah orang buat rumah atau surau. Tak macam di Negeri Sembilan , susah untuk melahirkan tukang buat rumah atau kontraktor untuk setiap keluarga.

Berlainan dengan suasana di Negeri Sembilan , taman perumahan yang baru banyak , rumah canggih-canggih dan cantik , tetapi surau tak ada. Sedangkan surau amat penting untuk mendirikan solat jemaah setiap waktu. Bila taman-taman perumahan dan kampung-kampung didirikan solat jemaah akan turunlah banyak rahmat ALLAH di kawasan tersebut dan keberkatan.

Oleh itu mana-mana taman , kampung dan lain-lain tempat yang belum ada surau itu , menjadi tanggungjawab penduduk di taman dan kampung berkenaan untuk berkorban wang ringgit dan tenaga untuk mendirikan surau dengan tidak mengharapkan sumbangan dari jutawan , korporat dan kerajaan. Bagaimanapun sebarang sumbangan adalah dialu-alukan dari mereka semua. Tapi tak perlulah tunggu tabung pembinaan surau hingga ratusan ribu baru nak dirikan surau.

Kalau sebelum ini kerajaan menggalakkan setiap rumah melahirkan seorang professional , peguam , hafiz dan sebagainya. Kenapa tidak kerajaan Negeri Sembilan menggalakkan setiap rumah melahirkan seorang kontraktor atau tukang buat rumah. Dengan ini kita tidak perlu bergantung kepada pekerja asing serta akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan disamping menjimatkan kos.

Seperkara lagi di Terengganu ni , susah nak tengok orang hidup merempat , atau menyewa rumah orang, ini adalah kerana ibu bapa yang ada tanah akan membahagikan tanah mereka kepada semua anak-anak mereka untuk satu tapak rumah , dan mereka membina sendiri rumah , walaupun bukan rumah canggih , tetapi mereka tidak hidup merempat. Berbeza dengan kita di Negeri Sembilan , banyak tanah adat , tetapi tidak boleh dibahagi-bahagikan dikalangan adik beradik , akhirnya hidup merempat , menyewa rumah orang atau berebut-rebut mendapat rumah mesra rakyat atau dulu dipanggil rumah murah.