Sinar Harian 9 Oktober 2008
TAMAN SELASIH, PORT DICKSON - Pusat Pendidikan al-Quran Tohiriah menempatkan hampir 30 pelajar tahfiz yang rata-ratanya diambil daripada golongan anak yatim dan keluarga yang berpendapatan rendah.
Menurut Pengasas dan Mudir Pusat Pendidikan al-Quran Tohiriah, Hassan Alias, anak tahfiz ini diajar dengan pendidikan agama Islam dan lebih menjurus kepada ilmu menghafaz al-Quran dan selebihnya mata pelajaran asas sekolah biasa.
Katanya, subjek pengajian mengikut mata pelajaran kolej Islam yang diiktiraf.
Oleh sebab itu, tidak timbul isu pelajar ini diabaikan daripada segi keperluan ilmu lain selain ajaran agama.
Difahamkan, pusat pengajian Islam itu memberi pendidikan secara percuma kepada anak yatim dan anak orang miskin, dan pada masa sama ia juga terbuka kepada anak-anak yang ingin mendalami ilmu agama.
“Terdapat juga ibu bapa sendiri yang menghantar anak mereka untuk belajar di sini. Ada di antara mereka tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah biasa dan menghantar anak mereka ke sini, jadi kami hanya meminta bayaran sekadar yang mampu sahaja.
“Tetapi bagi yang berkemampuan lebih kami akan kenakan bayaran RM230 sebulan dan bayaran itu merangkumi yuran untuk asrama, makan, minum dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Katanya, sekolah tahfiz tersebut mengalu-alukan pelajar lain datang belajar di sini, terutama bagi golongan miskin kerana ilmu seumpama ini tidak dapat dicari di sekolah awam.
“Masih banyak alternatif lain untuk belajar bagi golongan kurang berkemampuan. Namun kami hanya menerima pelajar lelaki yang berumur 15 tahun. Setakat ini, kami ingin mencari ramai pelajar yang kurang berkemampuan untuk diberi didikan agama yang secukupnya,” katanya.
Dalam pada itu, Pusat Pendidikan Al Quran Tohiriah juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tenaga pengajar yang bertauliah, pembantu tadbir dan juga pekerja sokongan.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2034620.asp
Nota : Ustaz Hassan Alias boleh dihubungi di talian 016-6166266 , 019-3597540