KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081027

Taman kanak-kanak tempat pesta arak di Senawang

Sekitar taman perumahan di Seremban , di Negeri Sembilan dan seluruh Malaysia ini pada amnya terdapat pondok atau wakaf samada yang dibina oleh Pihak Berkuasa Tempatan , sumbangan korporat individu dan sebagainya. Taman Alamanda , Senawang juga terdapat taman permainan kanak-kanak yang ada buaian , gelongsor , jongkang jongkit dan juga wakaf yang dibina oleh Majlis Perbandaran Seremban.

Akhir-akhir ini di wakaf tersebut telah dijadikan tempat minum arak oleh remaja bermotosikal yang dipercayai dari luar taman. Setiap pagi banyak botol arak bertaburan di sekitar wakaf tersebut

Saya telah menghubungi pihak polis di Balai Polis Bandar Baru Senawang mengenai perkara ini. Saya juga akan menghubungi pihak Majlis Perbandaran Seremban untuk merobohkan wakaf ini sebagai langkah terakhir sekiranya aktiviti mini pesta arak ini tidak dapat dibendung. Adalah lebih baik wakaf ini dirobohkan sekiranya ianya lebih banyak mendatangkan kemudaratan dari kebaikan.

Saya juga percaya perkara ini bukan sahaja berlaku di Taman Alamanda , Senawang bahkan banyak tempat awam , tempat riadah , tempat bersantai untuk keluarga di seluruh Malaysia.

Setiap daripada kita harus memainkan peranan untuk membendung gejala ini dari terus merosakkan masyarakat kita. Jangan lepas tangan atau buat tak tahu. Jangan serahkan semata-mata pada pihak polis , Jabatan Agama Islam , AJK Masjid atau Surau. Sama-sama kita bantu semua agensi yang berkaitan. Kalau kita buat hal kita sendiri , tak mahu jadi penyibuk , tunggulah masanya masyarakat kita akan hancur.

Kita ada kemudahan SMS , telefon , internet. Gunakan semua kemudahan ini untuk membantu diri kita dan masyarakat. Ingat di akhirat nanti kita akan ditanya apa peranan kita apabila kita melihat maksiat. Yakinlah kita sendiri akan ditanya , walaupun pemerintah akan ditanya , Jabatan Agama Islam akan ditanya , polis akan ditanya , kastam yang meluluskan lesen penjualan arak akan ditanya , AJK masjid dan surau pun akan ditanya apa peranan kita untuk membendung masalah pengambilan arak oleh umat Islam.

Kita juga harus membantah sebarang pembaharuan lesen menjual arak di tempat kita , sekiranya tempat kita itu majoritinya adalah orang Islam. Kedai 24 jam mestilah tidak menjual arak , kerana ini hanya memudahkan mereka yang ingin membeli arak terutamanya para remaja yang berpeleseran tanpa tujuan.

Disamping itu sembahyang jemaah 5 waktu di masjid dan surau di tempat kediaman kita haruslah disemarakkan dan dihidupkan. Peminum-peminum arak , penagih-penagih dadah , penagih-penagih kedai judi akan merasa segan apabila di taman perumahan mereka masjid dan surau dipenuhi dengan orang bersembahyang jemaah. Jangan harapkan imam , bilal , siak dan AJK untuk memenuhkan surau dan masjid. Kita juga mesti memenuhkan masjid , untuk kebaikan diri kita sendiri dan masyarakat.

Yakinlah kita akan ditanya diakhirat nanti adakah kita terlalu sibuk hingga jarang dapat berjemaah di masjid , bukan hanya nazir akan ditanya, imam akan ditanya, bilal akan ditanya, kita juga akan ditanya.

Akhir sekali simpanlah nombor telefon yang penting untuk kita melaporkan sebarang kegiatan yang merosakkan masyarakat di tempat kita seperti contoh di bawah :

LAPORKAN MAKSIAT DI TEMPAT KITA
Hubungi Hotline 24 Jam Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembiln
06-7672756 , 06-7672757

LAPORKAN JENAYAH DI TEMPAT KITA
Hubungi Polis Di Raja Malaysia
Balai Polis Bandar Baru Senawang 06-6792222
IPK NS 06-7622222
Peronda Polis 06-6033477 (selepas jam 12 tgh malam)