KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081007

Keluhan Peniaga Melayu Bandar Seremban



Kompleks Bazaar MAINS (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan) mula beroperasi pada tahun 2005. Ianya terletak di tengah-tengah bandar Seremban iaitu di Jalan Dato Abdul Rahman. Kompleks Bazaar MAINS ini adalah merupakan bangunan dua tingkat terdiri dari 52 lot kedai yang menempatkan 31 lot kedai di tingkat atas dan 21 lot kedai di tingkat bawah.

Waktu perniagaan kompleks ini ialah 7 hari seminggu , bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Kebanyakan peniaga di sini ialah peniaga Melayu yang menjalankan perniagaan barang perhiasan , perkahwinan , kecantikan, kesihatan , pakaian dan sebagainya.

Beberapa peniaga di sini mengeluh akan sambutan pengunjung ke Bazaar MAINS ini. Antara beberapa faktor yang dikenal pasti menyebabkan kekurangan pengunjung ke kompleks ini ialah kurangnya promosi serta usaha bersepadu dari semua pihak untuk menggalakkan pengunjung terutama orang Melayu untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan di kompleks ini.

Walaupun Bazaar MAINS ini terletak di pusat bandar Seremban , namun ianya boleh dikatakan tidak strategik untuk peniaga Melayu atas beberapa faktor antaranya ialah ianya berada di kawasan kepadatan penduduk bukan Melayu , di kelilingi premis perniagaan bukan Melayu , tidak berhampiran dengan stesen bas , tempat letak kereta yang amat terhad terutamanya pada hari bekerja.

Justeru itu antara cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak pengurusan Bazaar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan kerajaan negeri untuk merancakkan Kompleks Kompleks Bazaar MAINS ini ialah:

1. Mewujudkan laman web khusus untuk Kompleks Bazaar MAINS. Laman web ini haruslah mempunyai maklumat seperti ; Direktori para peniaga dan jenis perniagaan yang ada di sini ; Bilangan premis yang masih kosong serta kadar sewanya ; Nama, e-mel dan nombor untuk dihubungi untuk disewa.
2. Hubungkan laman web ini dengan laman web kerajaan negeri, agensi kerajaan , Jabatan Agama , Majlis Agama , Dewan Perniagaan Melayu , Majlis Perbandaran Seremban dan sebagainya.
3. Mencetak direktori peniaga di Kompleks Bazaar MAINS dan edarkan di taman-taman perumahan , masjid-masjid , surau-surau , pejabat kerajaan , balairaya dan sebagainya.
4. Mengadakan lebih banyak pejabat urusan kepentingan orang ramai terutama di tingkat 1 , seperti permohonan bantuan Baitul Mal , khidmat kaunseling , bantuan pinjaman perniagaan MAINS dan sebagainya.
5. Mengadakan kursus, bengkel, seminar anjuran Jabatan Agama, Majlis Agama di Bazaar MAINS
6. Menggalakkan peniaga mengadakan promosi atau Majlis Agama mengadakan hari bersama pelanggan pada hari Sabtu dan Ahad kerana lebih mudah untuk mendapat tempat letak kereta pada hujung minggu di bandar Seremban.

Kalau bukan kita yang hendak membantu peniaga Melayu , siapa lagi ? Kalau bukan Majlis Agama yang hendak membantu peniaga Melayu , siapa lagi ? Kalau bukan kerajaan negeri yang hendak membantu peniaga Melayu , siapa lagi ? Kalau bukan Dewan Perniagaan Melayu yang hendak membantu peniaga Melayu , siapa lagi ? Kalau bukan media cetak Bahasa Melayu yang hendak membantu peniaga Melayu , siapa lagi ?

Banyak pihak yang ingin menjadi jagoan membela nasib orang Melayu , tetapi mereka tidak sedar Melayu di keliling mereka memerlukan bantuan.