KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20120322

Kekadang kita lupa untuk hargai isteri juga banyak bersyukur



Sama-samalah kita membantu Saudara Abil Fikri serta isteri beliau Fauziah menurut kemampuan kita. Kepada mereka yang mempunyai isteri dan anak-anak yang sihat, banyakkan bersyukur kepada Allah dan sentiasa berusaha dan berdoa agar seluruh ahli keluarga kita menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah.

Berhenti kerja jaga isteri derita saraf otak
22 Mac 2012

SEREMBAN: Seorang perunding kewangan sebuah bank di ibu negara sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya yang kini terlantar akibat saraf otak tidak berfungsi selepas diserang penyakit asma sejak Jun tahun lalu.

Abil Fikri Ahmad, 43, yang nekad mengambil keputusan itu tidak lagi mampu menanggung kos untuk mengupah pembantu bagi menjaga serta merawat isterinya, Fauziah Muhamad, 38, wanita yang dikahwini tiga tahun lalu.

“Walaupun kehilangan kerja, saya tidak menyesal mengambil keputusan itu kerana berasa puas dapat menjalankan tanggungjawab terhadap isteri.

“Lebih meruntun jiwa, doktor mengesahkan isteri tiada harapan pulih,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sri Putih, Rasah, di sini, semalam.

Menurutnya, dua tahun melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta, dia diuji dengan dugaan paling besar sebagai seorang suami apabila Fauziah diserang penyakit itu.

“Saya reda dan menganggap ujian ini sebagai satu amanah diberi Allah untuk menunaikan tanggungjawab menjaga isteri yang sakit.

“Kini, isteri hanya bergantung kepada susu untuk mengalas perutnya kerana tidak mampu menjamah makanan lain. Kadangkala hati jadi sebak melihat keadaannya hingga menitis air mata,” katanya.

Menurut Abil Fikri, kisah sedih mereka bermula apabila Fauziah diserang asma teruk pada Jun tahun lalu sehingga mengakibatkan denyutan jantungnya terhenti dan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, biarpun pada mulanya sukar menerima kenyataan itu, namun berkat sokongan ahli keluarga dan rakan dugaan itu ditempuh dengan reda.

“Isteri memang ada penyakit asma tetapi tidak kronik, pada Jun tahun lalu dia diserang asma teruk dan perkataan yang terakhir saya dengar dari mulutnya ‘panggil ambulans’ dan kini dia tidak mampu bercakap lagi.

“Saya rindukan isteri yang dulu sebagai tempat bermanja, penghibur dan peneman hidup saya dari kesunyian tetapi kini dia sudah tidak mampu bergerak dan bercakap lagi,” katanya.

Menurutnya, dia yang berhenti kerja sejak Julai tahun lalu kini terpaksa bergantung pada duit simpanannya yang semakin berkurangan untuk menampung kos membeli lampin pakai buang, susu dan kos rawatan Fauziah.

Malah, katanya, bagi mengurangkan beban tanggungan kos sara hidup dan ansuran pinjaman rumah, dia menjual rumah yang baru dibeli di Kuala Lumpur.

“Hidup saya benar-benar diuji kerana selain kos rawatan isteri yang tinggi, saya juga terpaksa meluangkan sepenuh masa dan perhatian untuk menguruskan dia yang terlantar di atas katil.

“Bukan hanya mendapatkan rawatan di hospital saja, malah saya juga sudah berikhtiar menggunakan kaedah rawatan Islam yang diperkenalkan beberapa kenalan, namun keadaan isteri masih tidak berubah dan bertambah teruk sejak 10 bulan lalu,” katanya. Sebarang bantuan boleh disalurkan dengan menghubungi Abil Fikri di 016-2634258 atau memberi sumbangan terus ke akaun bank CIMB milik Abil Fikri Ahmad 0506-0040577-52-1.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berhentikerjajagaisterideritasarafotak/Article/index_html

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

En abil fikri sudah ada blog utk update tentang rutin harian beliau dan isteri.. layari http://abil4fauziah.blogspot.com