Sebelum ini saya enggan mengulas isu kilang Lynas atas dua faktor. Pertama sebab dah ramai yang mengulasnya, baik yang pro atau kontra, sokong atau bantah. Kedua sebab saya rasa amat terkilan kerana masalah berkaitan isu pencemaran alam sekitar di N.Sembilan tidak mendapat perhatian banyak pihak, baik Pakatan Rakyat apatah lagi BN seperti pembinaan kilang Coca Cola terbesar di rantau ini, tempat pemprosesan sisa toksik negara dan insinerator pusat toksik di Bukit Nenas, tidak jauh dari Seremban. Tapi bila PM kata sisa Lynas dibuang jauh, kenyataan ini amat-amat menggusarkan saya.
Adakah maksud jauh itu ke Bukit Nenas, Negeri Sembilan atau jauh ke hutan pendalaman atau jauh ke dalam laut?
Apa-apa industri pun di dunia ini ada risiko pencemaran dan sisa buangan berbahaya. Masalahnya di Malaysia ini ialah penyenggaraan, pemantauan dan penguatkkuasaan. Paling mudah tengok saja lori sampah yang setiap minggu datang depan rumah kita ambil sampah. Berapa banyak air sampah yang mengalir sepanjang jalan. Setiap kali lori sampah ini lalu, rutin saya ialah membasuh jalan depan rumah kerana tidak tahan bau dan amat toksik dan berbahaya.
Itu baru lori sampah. Bagaimana lori yang akan bawa sisa toksik ini, lori jenis macamana, jalan mana yang dibenarkan lori ini lalu, apa prosedur yang perlu dipatuhi oleh pemandu lori ini. Kenyataan PM kata akan buang jauh jelas menunjukkan tiada perancangan yang rapi untuk membuang sisa toksik Lynas ini.
Dan kenyataan PM ini dibuat kerana mendengar keluhan rakyat walaupun pakar saintis dah mengatakan sisa ini selamat dibuang ditempat asal. Ini bermakna PM lebih dengar cakar rakyat yang bukan pakar dan bukan saintis.
Jika jauh ke hutan pendalaman, adakah hutan pendalaman itu akan dibuat satu pusat pemprosesan sisa toksik seperti di Bukit Nenas? Kerana ini adalah lebih bahaya, di hutan pendalaman ialah sumber air untuk semua rakyat , termasuk warga kota.
Kepada mereka yang tak tahu mengenai isu pembinaan kilang Coca Cola terbesar di rantau ini , di Negeri Sembilan, sila baca sampai habis artikel ini.
Sisa Lynas dibuang jauh - PM
KOTA BHARU 2 Mac 2012 - Kerajaan meminta Lynas Malaysia Sdn. Bhd. memindahkan sisa atau buangan industri yang dihasilkan daripada perusahaannya ke lokasi yang jauh dari penempatan penduduk. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan prihatin dengan kebimbangan penduduk berdekatan walaupun saintis dan pakar tempatan serta antarabangsa mengesahkan operasi syarikat itu dan buangan industri yang dihasilkan adalah selamat.
ISU PEMBINAAN KILANG COCA COLA YANG TERBESAR DI RANTAU INI DI BANDAR ENSTEK, NILAI, N.SEMBILAN ADALAH ISU BESAR.
Isu kilang Coca Cola ini bukan berkaitan isu Palestin dan Israel semata-mata. Ianya ada isu rakyat keseluruhan, isu kesihatan, isu alam sekitar, isu hak asasi manusia, isu pekerja.
Ianya berkaitan isu masalah sumber air yang akan terjejas, pencemaran sisa buangan kilang, penyakit kencing manis, kegemukan dan sebagainya.
Kenapa begitu mudah diluluskan pembinaan kilang ini tanpa Laporan Kesan Alam Sekitar (EIA), sedangkan Coca Cola merahsiakan laporan EIA terhadap kilang mereka di India ? Kenapa ?
1.5 juta liter air sehari digunakan untuk kilang Coca Cola di India. Rakyat Malaysia khususnya di Negeri Sembilan bersedia untuk menghadapi catuan air yang lebih teruk ?
Gula yang digunakan untuk membuat air Coca Cola ini bukan gula tebu tetapi gula dari jagung iaitu High Fructose Corn Syrup yang lebih memudaratkan kesihatan. Adakah Coca Cola akan menggunakan gula tebu di Malaysia, kalau ya, adakah Coca Cola membeli gula tersebut pada harga subsidi ? Dan adakah ianya akan dijadikan alasan untuk menaikkan lagi harga gula di pasaran ?
Kenapa syarikat dibawah Tabung Haji begitu mudah menjual tanah milik mereka kepada syarikat yang banyak menyumbang untuk pembangunan Israel ? Mana maruah Tabung Haji dan umat Islam di Malaysia ? Berapa ekar yang dijual kepada Coca Cola ? 30 ekar, 60 ekar, 100 ekar ?
Isu Coca Cola bukan isu umat Islam, ianya isu rakyat 1Malaysia.
Adakah kita bersedia menghadapi pelbagai masalah yang timbul apabila kilang Coca Cola ini mula beroperasi ?
Atau kita sudah seronok mendengar pelaburan RM 1 Billion Coca Cola di Malaysia ? Orang Melayu boleh berniaga warung pisang goreng di luar kilang Coca Cola, itupun kalau gerai tak dirobohkan kerana mungkin tiada permit.
Dapatkan fakta-fakta Coca Cola selanjutnya di http://waghih.blogspot.com/2010/03/kilang-coca-cola-rakyat-perlu-bangkit.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan