KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20121211

Orang Rembau yang memelihara warisan kepahlawanan Melaka


Pagi tadi semasa sesi temuduga anak nak masuk Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Rembau, jumpa seorang aktivis sejarah, budaya dan adat di Negeri Sembilan yang kebetulan anaknya juga nak masuk Tingkatan 1 di situ, yang begitu prihatin mengenai warisan Melayu khususnya di Negeri Sembilan ini. Saya tanya dia saudara Zainal Johan di bawah ini yang merupakan orang Rembau, keturunan Bendahara Tun Perak sepatutnya diberi lebih banyak ruang di Negeri Sembilan ini , khususnya di Rembau untuk memberi kesedaran kepada anak bangsa betapa Rembau satu ketika dulu adalah salah satu kerajaan yang digeruni oleh penjajah Portugis dan Belanda selepas kejatuhan Melaka.

Sahabat saya tadi berilah beberapa pandangan dan komen. Mereka yang melaung-laungkan warisan Melayu, kehebatan bangsa Melayu khususnya dari Rembau, renung-renungkanlah komen sahabat saya tadi, yang tak perlu saya perincikan satu persatu kerana mereka kenal siapa aktivis tersebut atau boleh jumpa sendiri saudara Zainal Johan.

Khazanah untuk tatapan anak bangsa
Kosmo 10 Dis 2012

SUASANA Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur biasanya senyap sunyi lantaran kebanyakan pengunjung leka memberi tumpuan dengan bahan bacaan bertukar menjadi riuh-rendah.
Kebanyakan pengunjung yang pada asalnya datang untuk membaca buku kemudian tertarik untuk ke sebuah bilik pameran yang terletak di tingkat dua perpustakaan itu. Ini kerana di situ berlangsungnya Pameran Telusuri Kegemilangan Melayu Menerusi Naskhah Melayu Lama dan Artifak yang diadakan pada pertengahan bulan lalu.
Pameran yang berlangsung selama lima hari itu menghimpunkan 17 artifak yang digunakan oleh Laksamana Hang Tuah serta kelengkapan kebesaran sultan ketika era kegemilangan pemerintahan Melaka dan 11 naskhah manuskrip lama mengenai sejarah Melayu yang dipulihara oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu PNM.
“Melalui artifak dan manuskrip yang dipamerkan, ia menunjukkan bukti bahawa kegemilangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu bukan dongeng dan rekaan semata-mata dan ia merupakan sebuah sejarah yang harus dibanggakan oleh orang Melayu,” ujarnya.
Keris Tempa Melaka
Antara artifak yang dipamerkan sempena pameran itu ialah Keris Tempa Melaka (keris yang diperbuat daripada 21 jenis logam digunakan oleh Laksamana Hang Tuah), Rentaka (sejenis meriam kecil sepanjang satu hasta), Chi Pau Pen (alat muzik menggunakan air yang digunakan oleh Puteri Hang Li Po semasa dalam pelayaran ke Melaka) dan Pontoh (alat perhiasan diri para Pembesar Istana Melaka yang dipakai di lengan).
Kesemua artifak yang dipamerkan merupakan simpanan Penyimpan Setia Khazanah, Muzium Istana Raja Melewar, Negeri Sembilan iaitu Zainal Johan, 47, yang turut bekerjasama dengan pihak Kemuda dan PNM dalam pameran tersebut.

Menurut Zainal, 17 artifak yang dipamerkan itu hanya sebahagian daripada 200 koleksi artifak dalam simpanan muzium untuk dipertontonkan kepada umum.
“Melalui artifak-artifak ini, ia jelas menunjukkan bahawa bangsa Melayu pernah menjadi satu bangsa yang paling maju di seantero dunia sekitar tahun 1400 hingga 1511. Setiap artifak terutamanya keris, ia dihasilkan berdasarkan ilmu sains yang ada pada cendekiawan Melayu Melaka di zaman itu.
“Lihat sahaja Keris Tempa Melaka. Ia dihasilkan menerusi gabungan 21 jenis logam pada zaman itu. Sehingga kini, tiada senjata yang berkeupayaan seperti itu termasuk pedang yang dibanggakan oleh orang Jepun iaitu pedang samurai. Itu merupakan kehebatan bangsa Melayu,” ujarnya yang juga salah seorang daripada keturunan ke-12 Bendahara Melaka iaitu Tun Perak yang tersohor ketika era kegemilangan Melayu Melaka.
Lebih menarik, forum wacana ilmu diterajui oleh Zainal Johan, Timbalan Pengarah Bahagian Manuskrip PNM, Faizal Hilmi dan Pensyarah Bahagian Persuratan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Talib Samad turut membincangkan mengenai kesahihan artifak dan manuskrip yang masih kekal sehingga ke hari ini diadakan pada hari terakhir pameran tersebut.
“Rentaka ada disebut dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah dan ia merupakan bukti yang jelas bahawa meriam tersebut digunakan oleh Laksamana Hang Tuah seperti yang tertera dalam hikayat itu,” ujarnya ketika ditemui semasa pameran itu berlangsung baru-baru ini.
Tambahnya, PNM mempunyai kira-kira 4,600 naskhah manuskrip asal yang ditulis oleh orang Melayu yang rata-ratanya didapati dari negara luar.
“Manuskrip hasil tulisan orang Melayu telah bertebaran ke seluruh dunia ketika pelbagai penjajah seperti Portugis telah menakluki Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Tugas kami di PNM perlu menjejaki naskhah ini dan membawa pulang kembali ke tanah air,” jelasnya.
Tidak dinafikan bahawa empayar kegemilangan Melaka yang dibina sekitar tahun 1400 hingga 1511 di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka merupakan sebuah kerajaan yang amat disegani ketika era itu.
Ketika itu, bangsa Melayu mempunyai ilmu pengetahuan dalam penciptaan kelengkapan persenjataan sehingga menarik minat pihak Eropah untuk datang mendalami dan menceduk ilmu yang dihasilkan oleh orang Melayu di Melaka.

Selaku pengkaji sejarah Melayu, Zainal Johan juga berpendapat bahawa masyarakat Malaysia perlu mengambil contoh daripada setiap peristiwa dan catatan yang berlaku ketika era kegemilangan Melaka.
“Ketika itu, ilmu bangsa Melayu di Melaka amat berharga. Untuk menjadi sebuah bangsa dan negara yang maju, kita tidak perlu melihat negara-negara yang membangun. Artifak dan manuskrip lama ini jelas menunjukkan bukti serta formula bahawa kita mampu mengembalikan kegemilangan itu dalam konteks masa kini.
“Rakyat Malaysia perlukan sejarah kerana ia akan membangkitkan semangat cintakan tanah air. Jangan melihat perbezaan masa itu sebagai halangan kerana sejarah akan memberi kita kekuatan untuk menaikkan kembali semangat bangsa yang telah lama kita lupakan,” ujarnya.

Tiada ulasan: