KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20121230

Premis judi internet tidak dapat dibendung hanya dengan serbuan


Semalam apabila saya membeli beberapa keperluan untuk membuat tiang gol untuk kegunaan remaja setempat saya berborak seketika dengan seorang lelaki Melayu yang bertugas sebagai Tonto merangkap Pengawal Keselamatan yang sedang menjaga kedai judi internet di sebelah kedai berkenaan.

Saya tanya pada lelaki tadi, jaga kedai ni ke, dia macam keberatan nak jawab. Saya kata pada dia serbuan semata-mata tak akan dapat selesaikan masalah kedai judi internet yang tumbuh macam cendawan ini. Pokoknya ialah diri sendiri, buatlah beberapa banyak serbuan sekali pun, ianya akan tumbuh semula macam cendawan, kerana semua pihak terlibat dalam judi internet ini.

Lelaki tadi dalam keberatan bersetuju bahawa ianya berbalik kepada hati, kepada iman. Malangnya penguatkuasa kita, polis kita, orang Melayu kita jarang diterapkan dengan iman, sebelum mula kerja tidak ramai ketua jabatan mengingatkan anak buah supaya menjaga solat, tidak mengambil rasuah, tidak menyalah guna kuasa dan sebagainya.

Justeru itu dalam usaha untuk membanteras judi internet ini apa kata kita tambah pendekatan baru di samping serbuan. Apa kata dalam tempoh sebulan pihak polis, pihak penguatkuasa PBT, pihak Majlis Agama pergi ke pusat-pusat judi ini bawa risalah keburukan judi dan beri ceramah dan kaunseling kepada pengunjung kedai judi internet ini. Katakan kepada mereka, mereka tidak akan kaya dengan judi, tidak akan bawa ketenangan dengan judi. Baliklah rumah jaga anak bini, dah tua nanti siapa nak jaga? Pergilah masjid selalu, dalam kubur nanti siapa nak jaga?

Berilah kebebasan kepada khatib untuk menyediakan teks khutbah mereka sendiri, kerana hanya khatib setempat yang tahu apa masalah di sekeliling mereka. Masalah sekeliling mereka ialah ramai lelaki abai tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bermain judi, tapi teks khutbah cerita pasal kebaikan mengurangkan gula dalam minuman.

Tiada ulasan: