KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100223

Pantai PD tak selamat sebab aktiviti sedut pasir

Berita sebelum ini mengenai 3 orang mati lemas di Port Dickson dalam tempoh tidak sampai sebulan di http://waghih.blogspot.com/2010/02/3-lemas-di-port-dickson-tak-sampai.html

**********************
Berita Harian 23 Feb 2010

Perangkap paluh

RAMAI pengunjung dari luar Negeri Sembilan tidak arif mengenai kawasan pantai Port Dickson.

PORT DICKSON: Pembangunan pesat dan sejarah aktiviti menyedut pasir suatu ketika dulu di sebahagian kawasan pantai di daerah ini menyebabkan wujudnya tebing tinggi yang didakwa menjadi punca kebanyakan kejadian lemas.

Tebing yang dikenali sebagai paluh di kalangan nelayan tempatan dikatakan wujud kira-kira 150 meter dari pantai dan menjadi lebih dekat ketika air surut, mengakibatkan sesiapa berada di kawasan itu panik jika tersedar menghampirinya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson, Abu Bakar Che Mat, berkata kebanyakan pantai di kawasan itu mempunyai paluh, namun jaraknya yang agak jauh iaitu kira-kira 150 dari pantai menjadikannya masih selamat untuk aktiviti riadah.

"Sebagai nelayan, kami tahu yang mana kawasan pantai bahaya dan yang mana selamat. Jadi untuk kebaikan semua, kita perlu memberi peringatan kepada pengunjung supaya tidak pergi jauh ke tengah menghampiri paluh tanpa disedari.

"Saya tidak kata pantai di Port Dickson tidak selamat, pengunjung masih boleh mandi seperti biasa tapi langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya mereka tahu bahaya menanti jika pergi terlalu jauh ke tengah (kira-kira 150 meter dari pantai)," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini.

Ahad dan Isnin minggu lalu, dua remaja lelaki yang bercuti bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina di Pantai Batu 1 di sini, lemas dalam dua kejadian berasingan ketika air pasang.

B Minot, 15, dari Sungai Ramal, Kajang, Selangor ditemui tersangkut di bawah pelantar memancing tidak jauh dari kawasan berkenaan selepas sembilan jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) manakala V Neetheya, 19, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur hanya ditemui selepas 24 jam SAR tidak jauh dari kawasan itu.

Mengulas mengenai kejadian itu, Abu Bakar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil langkah keselamatan, termasuk membina penanda kekal dan memasang bendera berwarna sebagai amaran kepada pengunjung.

Sementara itu, Pakar Penyelidik Hidupan Marin, Dr Razali Kemp Mohamad Rais, berkata kejadian lemas sering berlaku ketika air pasang kerana pengunjung leka atau tidak perasan ketika berlaku air pasang.

“Kebanyakan kejadian lemas yang berlaku ketika mangsa sedang mandi dan tidak sedar berlaku air pasang sekali gus menyebabkan mereka terperangkap dalam paluh," katanya.

Pelajar, Nurul Wardah Mohd Nor, 16, berkata papan tanda memaklumkan kawasan selamat atau sebaliknya perlu diletakkan di sepanjang pantai yang menjadi tarikan pengunjung luar kerana mereka tidak arif mengenai kawasan itu.

Pemandu pelancong, J Rasvinder Raj, 28, berkata PBT juga perlu meletakkan papan tanda menyatakan jenis aktiviti yang sesuai di sesuatu kawasan.

“Papan tanda itu harus memberi maklumat keadaan pantai di situ hanya sesuai untuk aktiviti mandi, berkelah atau memancing kerana

“Tidak semua pantai sesuai untuk semua aktiviti pada satu-satu masa," katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin, berkata pihaknya memastikan semua kawasan pantai dipasang papan tanda amaran dalam Bahasa Malaysia, Cina, Tamil dan Inggeris.

"Kita menasihatkan pengunjung supaya memilih kawasan yang mempunyai pengawal keselamatan pantai yang bersedia memberi bantuan kecemasan," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20100223014112/Article/index_html

Tiada ulasan: