Kepantang orang tua-tua kalau tak ada parang. Parang ni penting masa gotong royong dan kenduri kendara. Kepantang orang tua-tua juga, kalau ada parang tapi tumpul, orang N.Sembilan kata Maja. Industri parang sepatutnya dimajukan sepenuhnya. Ianya boleh menjadi industri seni dan kraf yang ada potensi. Semua pihak sepatutnya memberi sokongan dalam industri ini.
Majlis Agama juga boleh memainkan peranan. Kerana parang adalah penting untuk menyembelih. Parang yang baik kualiti tak perlu diasah untuk sembelih berpuluh ekor lembu. Bukankah itu yang dianjurkan Nabi, parang hendaklah paling tajam kalau nak sembelih binatang ?
Sebelum ni saya terjumpa blog pembuat parang di Jelebu iaitu di http://zamri-tukangparang.blogspot.com/
Rupanya ada lagi anak Melayu Negeri Sembilan yang boleh menghasilkan parang yang berkualiti dengan seni yang cantik.
Ada sesiapa tahu maklumat, no telefon En Anizam Mohd. Deris, pembuat parang di Kuala Pilah ?
Puas saya cari dalam laman web tak ada. Dalam laman web MARA tak ada, laman web KEMAS tak ada, laman web Kementerian Kesenian tak ada, laman web Menteri Besar Negeri Sembilan tak ada, laman web Majlis Agama Islam Negeri Sembilan tak ada.
*******************
Anizam tukang parang
Utusan Malaysia
Majlis Agama juga boleh memainkan peranan. Kerana parang adalah penting untuk menyembelih. Parang yang baik kualiti tak perlu diasah untuk sembelih berpuluh ekor lembu. Bukankah itu yang dianjurkan Nabi, parang hendaklah paling tajam kalau nak sembelih binatang ?
Sebelum ni saya terjumpa blog pembuat parang di Jelebu iaitu di http://zamri-tukangparang.blogspot.com/
Rupanya ada lagi anak Melayu Negeri Sembilan yang boleh menghasilkan parang yang berkualiti dengan seni yang cantik.
Ada sesiapa tahu maklumat, no telefon En Anizam Mohd. Deris, pembuat parang di Kuala Pilah ?
Puas saya cari dalam laman web tak ada. Dalam laman web MARA tak ada, laman web KEMAS tak ada, laman web Kementerian Kesenian tak ada, laman web Menteri Besar Negeri Sembilan tak ada, laman web Majlis Agama Islam Negeri Sembilan tak ada.
*******************
Anizam tukang parang
Utusan Malaysia
KUALA PILAH 11 Sept. 2008 - Setiap kali Hari Raya Aidifitri menjelang, seorang tukang parang di daerah ini, Anizam Mohd. Deris, 38, pasti bertungkus-lumus menyiapkan parang-parang yang ditempah pelanggan.
Menurut beliau, sebanyak 50 bilah parang khusus bagi kegunaan menyembelih haiwan dan melapah daging perlu disiapkan sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.
Jelas Anizam, kadangkala beliau terpaksa bekerja hingga ke malam bagi menghasilkan sekurang-kurangnya dua bilah parang dalam masa sehari.
''Memanglah penat... namun permintaan pelanggan mesti saya penuhi," kata beliau ketika ditemui di bengkel pertukangan parang miliknya di Rumah Rakyat Ampang Tinggi dekat sini hari ini.
Ujarnya, di luar musim perayaan jumlah parang yang ditempah lazimnya antara 20 dan 30 bilah sebulan.
Anizam berkata, seni pertukangan parang mula dipelajarinya sejak lapan tahun lalu semasa masih bekerja sebagai pemandu lori.
Jelasnya, pada ketika itu, dia berguru dengan seorang tukang parang berpengalaman yang hanya dikenali sebagai Haji Razal.
Beliau terdorong untuk belajar seni pertukangan parang setelah tertarik dengan kehalusan reka bentuk hulu serta sarung parang yang dihasilkan oleh gurunya yang kini telah pun meninggal dunia.
''Arwah datuk saya juga merupakan seorang tukang parang yang mahir. Jadi, 'darah tukang parang' memang telah sedia mengalir di dalam tubuh saya.
''Mungkin itu juga salah satu faktor yang menyebabkan saya begitu berminat berkecimpung dalam bidang ini," jelas beliau.
Setelah yakin dengan kemahiran yang dimiliki, pada 2006, Anizam nekad meninggalkan pekerjaan sebagai pemandu lori untuk menceburi bidang pertukangan parang secara sepenuh masa.
Menurut bapa kepada dua anak lelaki ini, berkat sokongan dan dorongan keluarga menjadikannya cekal menjalani kehidupan sebagai tukang parang.
''Bidang ini juga memberi kepuasan kepada diri saya lebih-lebih lagi setelah berjaya menyiapkan parang seperti yang dikehendaki pelanggan," ujarnya.
Beliau juga tidak keberatan untuk menurunkan ilmu pertukangan parang kepada sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya agar kemahiran tersebut tidak terus pupus ditelan zaman.
Kata Anizam lagi, seseorang yang ingin bergiat dalam bidang pertukangan parang perlu mempunyai minat yang mendalam serta bersemangat kental.
Selain itu, ujarnya, individu berkenaan juga hendaklah memiliki sifat sabar dan daya kreativiti yang tinggi.
''Maklumlah, sebilah parang mengambil masa tidak kurang daripada tiga jam untuk disiapkan hulu dan sarungnya. Selain memakan masa yang panjang, prosesnya juga agak rumit dan teliti.
''Jika sifat-sifat tersebut tiada dalam diri, sudah tentu kita cepat rasa jemu serta mudah putus asa," jelas beliau.
Di samping itu, Anizam berpandangan sokongan dan insentif kerajaan juga perlu bagi memartabatkan lagi industri pertukangan parang di negeri ini.
Beliau percaya, selain untuk kegunaan harian, parang juga berpotensi dikomersialkan sebagai salah satu produk kraf tangan atau perhiasan dalaman.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm
Parang hiasan lebih susah
Kosmo 8.10.2008
Bermula dengan hanya melihat jirannya membuat parang, Anizam akhirnya kini menjadi seorang pembuat parang terkenal di Kuala Pilah.
KEMODENAN yang dikecapi negara ini tidak pernah menghalang masyarakat Melayu untuk terus menggunakan parang melakukan pelbagai kerja seharian terutama di kawasan desa.
Kegunaan parang banyak membantu masyarakat Melayu melakukan kerja seharian seperti memotong kayu, membelah kelapa, melapah daging sewaktu majlis kenduri dan pelbagai lagi kerja seharian.
Tampak senang digunakan tetapi pembuatannya bukan satu perkara mudah lebih-lebih lagi ia dibuat secara tradisional.
Paling cepat membuat sebilah parang yang lengkap dengan sarung dan hulunya mengambil masa selama sehari.
Malah, pembikinnya juga harus mempunyai sikap penyabar untuk menghasilkan parang bermutu tinggi dan cantik selain mempunyai pengalaman serta daya kreativiti tinggi.
Kelebihan ini dimiliki seorang pembikin parang di Rumah Rakyat Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Anizam Mohd Deris, 38, kerana kemampuannya menghasilkan parang bermutu tinggi.
Menurut Anizam, beliau mula menunjuk minat dalam seni pembuatan parang pada tahun 2000 apabila melihat pembikin parang yang tersohor berdekatan kawasan rumahnya begitu mahir serta penyabar dalam menghasilkan sebilah parang. "Saya banyak memerhatikan seni pembuatan parang sebelum mula berjinak-jinak membuat parang untuk kegunaan sendiri serta ahli keluarga yang lain.
"Pada waktu itu, saya tidak mempunyai masa kerana terikat dengan tugas sebagai pemandu lori dan menjadikan pembuatan parang sebagai hobi pada masa lapang," katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau nekad berhenti daripada menjadi pemandu lori pada tahun 2006 untuk meneruskan minatnya dalam pembuatan parang dengan lebih serius agar khazanah tradisional itu tidak luput ditelan dek zaman.
"Semua orang boleh membuat parang tetapi membuat parang yang baik dan tahan lama adalah tugas yang memerlukan kesabaran, minat mendalam serta kemahiran tinggi kerana jika tidak memiliki ciri-ciri ini kita akan cepat bosan sehingga melakukan kerja dengan sambil lewa.
"Untuk menghasilkan sebilah parang yang berkualiti, saya bekerja tanpa menentu masa di bengkel setiap hari apabila menerima tempahan daripada pelanggan," katanya.
Katanya, terdapat kira-kira 20 hingga 30 tempahan bilah parang yang diperoleh dalam masa sebulan dan ia akan meningkat setiap kali menjelang musim perayaan terutama pada Hari Raya dan juga Hari Raya Korban.
Namun begitu, katanya, disebabkan kekurangan masa dan hanya membuat parang seorang diri beliau hanya mampu menyiapkan 20 bilah parang dalam masa sebulan.
"Walaupun mempunyai pengalaman membuat parang tetapi saya tidak mampu menyiapkan lebih sebilah sehari kerana banyak perkara rumit lain terpaksa dilakukan seperti membuat sarung dan hulunya.
"Caj yang dikenakan pula berbeza-beza antara RM70 hingga RM150 mengikut kualiti kayu serta hasil rekaan dikehendaki oleh pelanggan-pelanggan," katanya.
Ujarnya lagi, untuk membuat hulu dan sarung parang, beliau akan menggunakan kayu kemuning, kemuning hitam, sepetir, angsana dan pokok rhu.
Katanya, pelanggan-pelanggan yang menempah bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi ada juga yang datang dari Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.
Selain daripada membuat parang sembelih dan melapah daging, beliau turut mendapat tempahan parang hiasan daripada pelanggan-pelanggannya.
Tambah beliau, membuat parang hiasan lebih rumit kerana memerlukan daya kreativiti yang tinggi serta kesabaran kerana untuk menyiapkannya ia mengambil masa dalam dua hari bergantung kepada kehalusan seni ukiran dikehendaki.
Katanya, pemilihan kayu juga memerlukan pemerhatian yang baik untuk melihat 'bunga' kayu berkenaan sesuai dijadikan sebilah parang cantik serta berkualiti tinggi.
"Paling merumitkan dalam pembikinan sebilah parang adalah semasa hendak menghaluskan hulu dan sarung parang berkenaan kerana mengambil masa yang lama untuk melakukannya.
"Kadangkala saya terpaksa juga berjaga malam untuk menyiapkan parang hiasan kerana kekangan masa," katanya.
Walaupun, membuat parang mengambil masa, beliau tidak pernah jemu dengan kerja itu kerana ia adalah mata pencariannya untuk menyara isteri serta dua anak.
"Saya minat serta seronok dengan pekerjaan yang dilakukan ditambah pula dengan sokongan keluarga, apatah lagi apabila dapat menyiapkan tempahan mengikut tarikh dijanjikan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap suatu hari nanti dapat mengembangkan lagi perniagaan membuat parang yang selama ini menjadi sumber rezeki kepada keluarganya.
"Selagi terdaya saya akan terus melakukan pekerjaan yang diminati ini kerana tidak ramai generasi muda ingin menceburi bidang pembuatan parang. "Saya juga berharap kerajaan akan membantu serta memberi sokongan kepada pembuat-pembuat parang di negara ini agar generasi baru tidak terlupa tentang keindahan seni pembuatan parang," katanya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1008&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm
1 ulasan:
Assalamualaikum Tuan kok ado tukang 2 parang sekitar gombau tampin somban kongsi no tipun eh atau alamat nyo buleh ko
Catat Ulasan