KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20101003

Polis stress kerja, 3 juta rakyat Malaysia sakit mental

Apabila pembangunan fizikal terlalu dikejarkan, pencapaian kerja terlalu ditekankan, inilah jadinya. 3 juta rakyat Malaysia sakit mental, kes bunuh diri semakin meningkat. Polis di Malaysia juga tidak terkecuali mengalami sakit mental dan stress. Kembalilah kepada Islam sepenuhnya. Berbuat baiklah kepada ibu bapa, isteri, anak-anak, sanak saudara dan jiran tetangga.

Keadaan politik yang ada di Malaysia sekarang ini menambahkan lagi stress semua pihak.

Artikel 3 juta rakyat Malaysia sakit mental dan makin ramai bunuh diri di http://waghih.blogspot.com/2010/04/makin-ramai-orang-remaja-1malaysia.html

Berita Harian 4 Oktober 2010
Stres kerjaya polis perlu rawatan segera

Khidmat kaunselor, ganjaran lebih sesuai diharap pulihkan imej pasukan

TEKANAN atau stres di kalangan anggota polis bukanlah sesuatu yang asing. Banyak kajian membuktikan kerjaya polis terdedah kepada elemen yang menyumbang kepada stres. Di Malaysia, isu stres kurang diambil berat, sedangkan ia penyumbang utama kepada segala masalah dalam profesyen kepolisan.

Tugas polis sejak dulu lagi begitu luas dan pelbagai, daripada mendaftar kelahiran (satu ketika dulu pendaftaran surat beranak dilakukan oleh polis) sehinggalah merekodkan kematian. Pendek kata dalam bahasa mudah – ‘dari surat beranak sampai surat mati’ - semuanya diuruskan polis. Hans Selye, seorang penyelidik terkemuka dunia mengenai stres berkata; “Tugas polis adalah tugas yang paling memberi tekanan di Amerika Syarikat (AS), melangkaui tekanan kerja yang dialami pengawal lalu lintas udara.”

Pakar kriminologi membahagikan stres membabitkan anggota penguat kuasa kepada tiga; fizikal, fisiologikal dan psikologikal. Stres fizikal disebabkan faktor luaran seperti mengangkat barang berat, bekerja di bawah panas terik, menyelam mencari bahan bukti dalam air berlumpur, kotor, bernajis dan sebagainya.

Jenis stres kedua pula disebabkan perubahan fisiologikal akibat kecederaan, tekanan, penyakit serta dahaga atau lapar, manakala Stres psikologikal diakibatkan tindak balas terhadap ancaman, kejian dan tekanan masyarakat, harga diri, banyak hutang dan sebagainya.

Kerjaya kepolisan termasuk dalam kategori ‘Psychological Distress and Extra - Role Performance’, iaitu bekerja tidak tentu masa di mana kesannya mengganggu kesihatan dan kehidupan seharian.

Contohnya, pegawai penyiasat akan menghadapi stres jika berdepan ‘role conflict’ apabila orang yang disiasat atau ditangkap itu adalah mereka yang berpengaruh, ahli keluarga atau kawan rapat. Kadangkala jemu bertugas kerana sering dikehendaki melaksanakan tugas luar jangka atau dirujuk sebagai ‘sudden alertness and energy’.
Tekanan dihadapi apabila menerima arahan orang berpengaruh di luar pasukan yang mengatasi etika kerja atau peraturan sehingga menyebabkan suspek terpaksa dilepaskan, siasatan dihentikan atau tiada pendakwaan. Tanggungjawab menjaga nyawa orang lain membahayakan diri sendiri serta keluarga juga menyebabkan polis tertekan.

Anggota polis stres menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan dalam situasi ini, senjata adalah alat berbahaya apatah lagi jika perlu membawanya pulang selepas selesai bertugas. Kejadian rakan sekerja membunuh diri juga meningkatkan stres ejen penguat kuasa.

Polis juga banyak mengalami masalah keluarga yang menyebabkan mereka menghadapi stres berpanjangan. Di AS, hasil kajian beberapa universiti mendapati 60 hingga 70 peratus kadar perceraian di sana membabitkan polis kerana stres dalam kerjaya.

Ada juga ‘post traumatic stress disorder’ apabila rakan sekerja mati ditembak, termasuk dalam keadaan menyayat hati seperti dibunuh dengan kejam. Ia boleh menyebabkan mereka mengalami trauma psikologikal selepas kejadian berlaku, kadangkala menyebabkan stres sehingga terpaksa berhenti kerja.

Berdasarkan ‘strain theory’, iaitu teori sosiologikal terkini yang dipelopori Robert Agnew pada 1992, kadangkala mereka yang ketegangan atau stres, menjadi putus asa sehingga terbabit dalam perbuatan tidak beretika, melanggar undang-undang dan melakukan jenayah, semata-mata untuk mengurangkan atau lari daripada stres.

Desakan pihak tertentu supaya siasatan kes disiapkan cepat boleh menyebabkan penyiasat menghadapi stres yang boleh mengganggu dan menjejaskan kualiti kertas siasatan. Tugas penyiasatan memerlukan masa, ketekunan dan bukan semudah seperti ditonjolkan dalam drama di televisyen.

Stres dalam kerjaya kepolisan juga boleh berlaku kerana sering dilabel perasuah. Setiap kali menahan seseorang di tepi jalan untuk pemeriksaan, ada saja prasangka buruk, sedangkan mereka menjalankan tugas. Tidak wajar menuduh seluruh pasukan korup, sedangkan perlakuan negatif hanya membabitkan segelintir.

Tugas polis bukan sekadar menyiasat tetapi juga memberikan keterangan di mahkamah. Penangguhan perbicaraan sesuatu kes akan meningkatkan stres bukan saja kerana menunggu giliran untuk memberi keterangan, malah juga ‘seksa’ apabila berdepan peguam bela yang berpengalaman dan digeruni.

Di Malaysia, masyarakat jarang memuji polis, sedangkan mereka menjaga ketenteraman dan keselamatan sehingga kita selesa untuk bergerak di mana-mana dan pada bila-bila masa. Saya pernah tinggal di Detroit, bandar paling tinggi kadar jenayah di AS dan sepanjang dua tahun di sana, tidak berani bebas berjalan kerana takut disamun.

Polis juga diharap berjaya dalam pendakwaan kes, sedangkan sebenarnya wujud pengasingan kuasa. Tugas polis hanyalah menjalankan siasatan, mengumpul data atau maklumat, manakala pendakwaan dilakukan Pejabat Peguam Negara. Namun, tanggungjawab polis hanya berakhir selepas kes habis dibicarakan di mahkamah.

Ketika saya masih bertugas di Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM), pihak Peguam Negara menetapkan supaya bukti yang dikumpul perlu mencapai 90 peratus, barulah ‘diizinkan’ untuk proses pendakwaan dan ia meningkatkan stres untuk mencari bukti yang kukuh supaya tidak timbul masalah ketika perbicaraan.

Jika tertuduh orang kaya, berpengaruh dan mampu melantik peguam bela yang handal sehingga menang perbicaraan atau jika kes dibuang kerana saksi berpaling tadah atau bersembunyi, polis atau ejen penguat kuasa seperti SPRM akan stres dan kecewa disebabkan usaha keras mengumpul bukti yang memakan masa dan kos tinggi, berakhir dengan sia-sia.

Kadangkala kurangnya pengalaman pegawai atasan menyebabkan arahan diberi kepada pegawai bawahan tidak relevan dan kurang tepat. Kesannya akan merugikan masa dan meningkatkan lagi stres pegawai bawahan berkenaan, tetapi dalam mana-mana agensi, pegawai atasan sentiasa betul atau 'the boss is always right’.

Ada juga ejen penguat kuasa menjadi mangsa pilih kasih, kurang mendapat sokongan pihak atasan walaupun bekerja bertungkus lumus dan cemerlang. Kadangkala polis juga menghadapi masalah untuk berkembang disebabkan kerenah birokrasi atau ‘red tape’, tiada autono-mi atau dalam sesetengah kes apabila orang tertentu mencampuri siasatan.

Stres juga dihadapi polis kerana kekurangan anggota sedangkan penduduk semakin ramai, masalah dan kes semakin bertambah, gaji yang diterima pula rendah. Ini mungkin antara faktor menyebabkan mereka stres dan mungkin terjerumus ke dalam gejala rasuah atau jenayah lain seperti mencuri atau merompak.

Kelengkapan tidak mencukupi, tidak terkini dan tiada peruntukan menyelenggara dan membaiki peralatan termasuk kenderaan juga menjejaskan tugasan polis, sekali gus meningkatkan stres kerana tidak dapat menyempurnakan tugas dalam tempoh ditetapkan dan memenuhi jangkaan masyarakat yang mahu kes disiapkan dalam tempoh singkat.

Kurang yakin dengan kemampuan diri juga punca stres di kalangan anggota polis, selain menghadapi suspek yang lebih cerdik serta boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga pegawai penyiasat. Jika OKT dibebaskan oleh mahkamah, akan timbul rasa kecewa dan takut kerana khuatir disaman oleh pihak yang tidak puas hati.

Bagi mengatasi stres dalam kalangan ejen penguat kuasa, perlu ada khidmat kaunseling dan kaunselor pula hendaklah betul-betul layak dan pakar. Pihak pengurusan harus melebihkan sokongan moral dan berlaku adil kepada anggota bawahan. Kenaikan pangkat harus berdasarkan merit dan kurangkan kerenah birokrasi.

Beri peluang kepada anggota bawahan bukan saja berbincang mengenai hal kerja malah juga keperluan peribadi. Hidupkan kembali tradisi lama bersukan di kalangan anggota, bukan sekadar golf yang hanya disertai pegawai atasan dan yang berkemampuan.

Bagi kerajaan pula, pertimbangkan insentif lain contohnya keutamaan atau diskaun membeli rumah serta lain-lain kemudahan seperti dilaksanakan di Singapura dan Hong Kong sebagai penghargaan kepada agensi penguat kuasa yang banyak berkorban kepada negara.

Penulis ialah pakar kriminologi serta Ketua Pegawai Eksekutif Akhbar & Associates merangkap Pengarah Institute Crime & Criminology HELP University dan Pemeriksa Poligraf Bertauliah.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Streskerjayapolisperlurawatansegera/Article

Tiada ulasan: