KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20101013

Malaysia perlu Ambulan Udara, penting bila Kemalangan

Saya pernah menulis isu kepentingan Ambulan Udara di Malaysia pada Disember 2007. Dah berapa kali terhantuk dah, tak juga terngadah-ngadah kita ni. Bangau oh Bangau juga yang popular di Malaysia ini sejak dulu, kini dan harapnya tidaklah selama-lamanya.

************
Selasa Oktober 12, 2010
Sudah Tiba Masanya Malaysia Mempunyai Ambulans Udara

KUALA LUMPUR: Isu kelewatan ambulans yang didakwa tiba selepas tiga jam nahas ngeri di Kilometer 223 Projek Utara-Selatan (PLUS) Ahad lepas perlu dilihat secara serius kewajaran Malaysia menggunakan helikopter sebagai ambulans udara.

Selain dapat mengatasi masalah kelewatan berikutan kesesakan lalulintas , penggunaan ambulans udara adalah cara terbaik untuk menyelamatkan mangsa terutama yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan kadar yang lebih pantas.

Dengan peralatan yang lengkap, seperti sebuah hospital bergerak, pastinya kerja menyelamat awal dapat dilakukan dengan lebih sempurna sebelum sampai ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Komander Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Chuah Ghee Lye berkata sudah tiba masanya Malaysia mempunyai ambulans udara sendiri sepertimana yang dimiliki oleh negara-negara maju antaranya Amerika Syarikat.

"Cadangan penubuhan ambulans udara itu sesuatu yang sangat baik kerana ia sangat membantu dalam mempercepatkan penghantaran mangsa ke hospital selain mendapat rawatan awal di dalam ambulans udara tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.
Beliau berkata walaupun kos penubuhan ambulans udara sangat tinggi, namun harus dilihat kegunaannya untuk jangka masa panjang serta keberkesanannya terutama dalam menangani situasi cemas seperti kemalangan yang berlaku di Kilometer 223, PLUS pada Ahad lepas.

"Kerajaan atau Kementerian Kesihatan mungkin sudah menilai dari insiden-insiden yang telah berlaku sebelum ini untuk melihat perkara ini dengan lebih serius.

"Tidak semestinya kerajaan sahaja, pihak swasta juga saya lihat boleh membantu dengan mewujudkan ambulans udara mereka sendiri yang boleh digerakkan ketika kecemasan," katanya.

Beliau berkata buat masa ini bantuan PDRM melalui unit udara sangat terhad kerana boleh digerakkan sebagai pesawat pengangkut sahaja kerana tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk menjalankan kerja menyelamat.

"Terpulang kepada kerajaan untuk menetapkan siapa yang perlu lead the team, jika diberikan tanggungjawab itu kepada kami (polis), kami akan melaksanakannya sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Noordin Razak berkata kewujudan ambulans udara sangat dinanti-nantikan terutama dalam meningkatkan kecekapan dalam operasi menyelamatkan mangsa.

Beliau berkata pihaknya sedia membantu terutama dalam menyalurkan idea serta tenaga perubatan yang mahir dalam melakukan kerja-kerja menyelamat.

"Memang amat memerlukan ambulan udara untuk mempercepatkan lagi misi menyelamatkan mangsa terutama dalam kes membabitkan kemalangan jalan raya.

"Sekiranya kerajaan berhasrat mewujudkan ambulans tersebut, PBSM sedia membantu kerana kita mempunyai anggota yang ramai serta berpengalaman luas dalam kerja-kerja menyelamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Mengulas tentang kelewatan seperti yang didakwa anggota keluarga mangsa nahas kemalangan Ahad lepas, Noordin berkata ia berpunca daripada sistem perhubungan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan melalui talian 999 yang agak lewat menyebabkan bantuan kecemasan lambat digerakkan.

"Kelewatan ambulans ke tempat kejadian sepatutnya tidak boleh dipersalahkan kerana kita menerima maklumat lambat seperti kejadian yang berlaku baru-baru ini di mana kejadian berlaku pukul 6.45 petang tapi kita terima maklumat pukul 10 malam.

"Orang awam yang ada di tempat kejadian minta bantuan dengan 999...tapi kita terima maklumat daripadanya (999) lambat dan menyebabkan bantuan juga lambat ," katanya.

Keluarga salah seorang mangsa nahas yang terkorban berkata, ambulans hanya tiba kira-kira pukul 9.30 malam sedangkan kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang.

Dalam kejadian Ahad lepas, seramai 12 orang terbunuh, manakala kira-kira 40 orang dilaporkan cedera termasuk parah dalam kemalangan ngeri membabitkan dua buah bas, sebuah van dan tiga kereta yang berlaku pada pukul 6.50 petang.

Bas ekspres Delima tersebut dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas serta melanggar pembahagi lebuh raya lalu melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas serta menghempap dua buah kereta. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/12/mstar_berita/20101012194917&sec=mstar_berita

Negara memerlukan ambulan udara

Pada 25 Disember 2007 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi telah melakukan penerbangan ihsan membawa dua pesakit iaitu seorang anggotanya dan seorang awam, masing-masingnya dari Labuan dan Kuching, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan pesawat C130H.

Ini bukanlah kali pertama TUDM melakukan penerbangan ihsan, malah penerbangan ihsan sebelum ini turut menggunakan pesawat lain seperti helikopter Nuri juga pesawat Caribou serta beberapa pesawat lain seusia helikopter Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatannya.

Baru-baru ini juga semasa banjir besar melanda negeri Pahang, helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah turut digunakan untuk melakukan penerbangan ihsan.

Sudah sampai masanya negara Malaysia pada zaman aero angkasa serta zaman mengangkasakan bangsa mencari jalan terbaik untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan kesihatan untuk penduduknya

Justeru itu ambulan udara adalah amat perlu pada ketika ini. Di negara-negara maju ambulan udara sudah menjadi lumrah dalam perkhidmatan kesihatan mereka, samada yang dimilikki kerajaan mahupun yang dimilikki swasta, samada dari jenis helikopter mahupun kapalterbang.

Pesawat dari agensi lain seperti tentera adalah sebenarnya tidak sesuai untuk melakukan penerbangan ihsan kerana ianya tidak dilengkapi peralatan perubatan yang sesuai, melainkan ianya harus dipersiapkan oleh pihak hospital apabila hendak melakukan penerbangan ihsan.

Malah ianya adalah tidak kos efektif untuk menggunakan helikopter Mi-171 Jabatan Bomba dan Penyelamat yang besar dan pesawat pengangkut C130H TUDM untuk melakukan penerbangan ihsan.

Bukan itu sahaja, sekiranya negara dilanda musibah sudah pasti helikopter dan pesawat milik Jabatan Bomba dan Penyelamat dan TUDM akan digunakan sepenuhnya untuk tugas mencari dan menyelamat.

Sekiranya negara kita mampu membeli jet pejuang Sukhoi serta menghantar angkasawan menaiki Soyuz, mengapa tidak kita maju setapak lagi dengan menyediakan ambulan-ambulan udara samada dalam bentuk helikopter, pesawat ringan atau pesawat penumpang yang dapat memberikan perkhidmatan kesihatan setaraf negara maju ?

http://waghih.blogspot.com/2007/12/negara-memerlukan-ambulan-udara.html

Tiada ulasan: