Artikel dari Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan http://www2.ns.gov.my
Apabila kaum perempuan meninggalkan kampung, maka tanah akan terbiar dan sistem kekeluargaan atau kekerabatan yang menjadi ikatan yang kukuh dalam masyarakat tani Negeri Sembilan menjadi longgar dan terungkai. Daripada faktor-faktor di atas, dapatlah kita merumuskan bahawa perubahan zaman telah menuntut perubahan kepada adat tradisi agar ianya seiring dengan keperluan semasa.
ADAT PERPATIH SEMAKIN TERPINGGIR
Posted on October 9, 2010 by multimedia
Adat perpatih adalah tulang belakang tradisi masyarakat dan budaya adat di Negeri Sembilan. Ianya diamalkan semenjak turun-temurun dari lapisan generasi terdahulu, bak kata pepatah tak luput dek hujan tak lekang dek panas. Adat ini banyak memberi keistimewaan kepada kaum perempuan, terutama dalam masalah nasab dan pembahagian harta. Mentaliti masyarakat luar selalunya pesimis (kecewa) kepada adat perpatih kerana ianya digambarkan secara negatif, seolah-olah kaum lelaki tidak berkuasa ke atas harta-benda di bumi Minangkabau tersebut. Sepatutnya mereka mengkaji dahulu apakah sangkaan ini benar, bak kata adat: kata adat banyak kiasan, ditunjuk dia tetapi bukan, bergulung pendek, panjang terentang, tak faham kalau tak direnungkan.
Setelah beberapa kurun adat perpatih ini diamalkan di Negeri Sembilan, zaman mutakhir ini kita dapati ianya semakin dilupakan terutama generasi baru yang lahir di sekitar tahun 60-an ke atas. Rata-rata anak watan Negeri Sembilan tidak memahami adat perpatih, mereka hanya tahu menyebut nama sahaja tetapi inti pati dan pengajarannya tidak diketahui secara mendalam.
Seorang tokoh veteran Adat Perpatih, Datuk Seri Utama Abdul Samad Idris menyatakan di dalam artikelnya yang bertajuk “Sejarah Adat Merentas Zaman” bahawa sebahagian besar rakyat Negeri Sembilan tidak mendalami adat perpatih, apatah lagi anak-anak muda yang lama merantau sehingga melupakan asal-usul adat warisan. Malahan pemuka-pemuka adat sendiri ramai yang tidak mengetahui secara mendalam susur galur adat perpatih, teras adat serta sistem adat perpatih yang tiga iaitu adat yang sebenar adat, adat yang beradat dan adat yang diadatkan.
Profesor Madya Norhalim Ibrahim membuat kesimpulan bahawa kaum perempuan Negeri Sembilan tidak lagi menjaga dan mengambil berat kepada rumah pusaka dan sawah padi yang menjadi tonggak kekuatan adat perpatih. Ini kerana mereka telah berhijrah ke bandar-bandar atau ke negeri lain untuk bekerja di sektor kerajaan atau swasta.
Apabila kaum perempuan meninggalkan kampung, maka tanah akan terbiar dan sistem kekeluargaan atau kekerabatan yang menjadi ikatan yang kukuh dalam masyarakat tani Negeri Sembilan menjadi longgar dan terungkai.
Menurut beliau, pembahagian harta mengikut nasab ibu telah diamalkan oleh penduduk watan Negeri Sembilan sejak 600 tahun lalu sebelum kedatangan orang Minangkabau Sumatera. Dengan itu adat yang mempunyai adat persamaan ini mudah diterima oleh penduduk tempatan.
Di antara sebab-sebab musnahnya tulang belakang adat perpatih di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh beberapa faktor iaitu :
Pertama, lesunya aktiviti pertanian, khususnya sawah padi di Negeri Sembilan. Tanah adat yang dipegang milik oleh kaum perempuan selain tidak dikerjakan telah menjadi kering-kontang disebabkan oleh aktiviti pembalakan, pembinaan lebuh raya,serta perparitan yang tidak sempurna dan penanaman kelapa sawit sebagai gantian kepada padi yang begitu meluas. Penanaman kelapa sawit yang memenuhi sebahagian besar tanah-tanah sawah di Negeri Sembilan telah menjadi penyumbang utama kepada kepupusan adat perpatih.
Kedua, pertumbuhan sektor perusahaan yang pesat menarik penduduk watan merebut peluang meninggikan taraf hidup. Penerimaan kemudahan asas seperti jalan raya,paip air, kesihatan dan pendidikan mengubah pola ekonomi dan organisasi sosial serta nilai budaya masyarakat. Peluang pekerjaan di bandar menarik para belia bekerja makan gaji.
Ketiga, pola penggunaan yang mengutamakan pendapatan tunai bagi memenuhi keperluan dan kemudahan hidup menjadikan masyarakat desa keluar mencari pekerjaan.
Keempat, amalan demokrasi moden dalam pemilihan pemimpin atau ketua dalam perundangan dan pentadbiran birokratik telah mencabar sistem politik tradisi Negeri Sembilan yang bersandar kepada “bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.” Peranan buapak dan datuk lembaga menjadi tidak penting dengan adanya ketua kampung, penghulu, pegawai daerah dan wakil rakyat.
Kelima, pendidikan kini telah menjadi harta pusaka yang baru bagi masyarakat adat perpatih selain daripada sawah dan rumah pusaka. Kejayaan individu dalam bidang pendidikan dan bidang pekerjaan yang diperoleh menjadi kebanggaan bersama ahli keluarga. Dengan ini pendidikan diutamakan walaupun mengorbankan dan menjual harta pusaka yang ada.
Keenam, perubahan nilai yang terserap dalam masyarakat adat sehingga membelakangkan nilai-nilai budaya yang diamalkan turun-temurun. Hal ini berlaku kerana terikut-ikut dengan budaya barat yang diperlihatkan melalui televisyen, radio, Internet, majalah, akhbar dan bahan media massa yang lain.
Ketujuh, sebahagian daripada sistem adat perpatih menyulitkan masyarakat seperti kahwin suku, menurut adat sesiapa yang berkahwin dengan seseorang yang sama suku akan dikenakan denda seekor kerbau. Ini juga menyebabkan generasi muda mencari jalan mudah dengan membelakangi sistem adat ini.
Kelapan, pembukaan tanah-tanah pertanian baru oleh Felda menyebabkan kemasukan orang-orang luar ke Negeri Sembilan. Dengan kemasukan orang luar yang terlalu ramai yang mengamalkan Adat Temenggung atau lainnya, telah menyebabkan Adat Perpatih bercampur aduk dengan Adat Temenggung atau adat-adat lain yang menyebabkan ianya dilupakan sedikit demi sedikit.
Kesembilan, para ibu bapa yang tidak mengambil berat untuk menurunkan ajaran adat perpatih kepada anak-anak menyebabkan generasi baru tidak minat untuk mendalaminya apatah lagi untuk mengamalkannya. Sebahagian masyarakat hanya mengamalkan adat ketika upacara perkahwinan sahaja.
Kesepuluh, kebanyakan peraturan adat perpatih dalam bentuk perbilangan dan bersifat lisan, juga memberi kesan kepada kepupusannya kerana pengajarannya apabila berpindah dari satu generasi kepada satu generasi ianya mudah terdedah kepada tokok-tambah atau semakin berkurangan.
Kesebelas, pendapat sebahagian alim ulama yang menyatakan terdapat percanggahan di antara syariat dengan sebahagian dari adat perpatih seperti pembahagian harta pusaka benar yang dikhususkan kepada anak perempuan sahaja. Di dalam syariat Islam, istilah pusaka benar tidak wujud di dalam ajarannya.
Tetapi di dalam masalah harta pencarian suami, ianya adalah sesuai dengan Islam. Prof. Madya Dr. Nadzan Haron di dalam kertas kerjanya Pelaksanaan Peraturan Adat dalam Sistem Adat Pentadbiran Tanah, beliau membicarakan tentang tanah pusaka, tanah carian bujang dan tanah carian suami isteri. Penjelasan ini amat penting untuk menghilangkan kekeliruan kepada jejaka luar adat perpatih yang ingin menyemenda atau berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan.
Harta hak milik terbahagi kepada dua jenis, pertama, harta pusaka benar dan keduanya ialah harta carian. Tanah pusaka benar memang jelas iaitu tanah yang diwarisi oleh kaum perempuan dalam sesuatu suku, tanah pusaka benar ini tidak dibenarkan dijual atau digadai tanpa syarat-syarat tertentu.
Manakala dalam konsep hak milik harta carian bujang atau carian sendiri, ia adalah hak milik bebas yang membolehkan individu yang memiliki harta itu bebas melakukan apa jua bentuk urusan dagang. Mengenai harta carian suami isteri pula sebarang bentuk transaksi atau jual beli hendaklah mandapat persetujuan bersama. Sekiranya berlaku perceraian atau pertikaian ke atas harta carian suami isteri, biasanya ianya diselesaikan mengikut hukum Islam.
Dalam masalah harta carian suami isteri ini, hukum adat menyatakan carian bahagi, dapatan tinggal, bawaan kembali. Ianya bererti, harta yang dicari semasa hidup akan dibahagi sama rata jika ditakdirkan berpisah. Adapun harta dapatan iaitu harta yang didapati dari pusaka akan ditinggalkan kepada pewaris asal. Manakala harta bawaan iaitu harta yang dibawa dan didapati sebelum perkahwinan akan diambil oleh yang empunya harta tersebut.
Dengan ini tiada sebab orang luar untuk merasa takut atau bimbang kepada harta mereka, sama ada dicari semasa bujang atau selepas berkahwin dibolot oleh isteri dan balik sehelai sepinggang apabila ditakdirkan berlaku perceraian. Si isteri hanya mengambil haknya sahaja dan menyerahkan semula semua hak suami.
Daripada faktor-faktor di atas, dapatlah kita merumuskan bahawa perubahan zaman telah menuntut perubahan kepada adat tradisi agar ianya seiring dengan keperluan semasa.
Sumber : http://www2.ns.gov.my/adat_perpatih/?p=53
1 ulasan:
point nombor 1 sampai 9 menunjukkan penulis artikel tu sendiri pun tak faham adat pepatih. iaitu peranan ketua2 adat. adat pepatih tidak berkisar pada tanah dan rumah spt pandangan proffesor tu. ia lebih pada sistem masyarakat.
point nombor 10, ada sedikit kesilapan. sebenarnya ada undang2 adat yg direkodkan.
point nombor 11, hasil dari kesilapan ketua2 adat sendiri. seperti yg di katakan Tan Sri Abd Samad Idris. harus difahami adat perpatih ni bersifat dynamic. Tan Sri Abd Samad Idris mungkin lebih maklum hal ni. sila rujuk balik asal usul adat pepatih yg mana Dato Pepatih menyatakan "adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah". pernyataan ini sendiri (dan beberapa lagi pernyataan Dato Pepatih) menafikan semua bentuk adat yg bertentangan dgn Islam. (tetapi ada juga kerana asimilasi kebudayaan dgn penduduk asal).
Dalam isu pusaka, sila rujuk sejarah (dongeng?) bagaimana ini berlaku.
Catat Ulasan