KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110220

Istimewa untuk orang Kendong, Kota, N.Sembilan




Tertarik dengan keluhan penduduk Kg Seri Kendong di bawah ini akan sikap segelintir pemilik tanah yang membiarkan tanah mereka semak samun menjadi hutan. Keluarga saya pun mempunyai tanah di sini. Pada mulanya memang semak samun kerana terlalu banyak nama dalam satu geran. Akhirnya bila nama tersebut disatukan dengan persetujuan jual beli maka dapatlah tanah tersebut dijaga. Istimewa Kg Seri Kendong ini ianya kawasan yang strategik dan menarik.

Berhampiran dengan tol Simpang Empat, Alor Gajah dan terkenal dengan deretan gerai lemang Kendong. Ianya berlatar belakangkan keindahan bukit bukau. Tanah di Seri Kendong ini bukanlah tanah adat, ianya adalah tanah Rizab Melayu di mana urusan jual beli adalah mudah serta mempunyai nilai yang tinggi berbanding dengan tanah adat.

Anggaplah mengusahakan tanah ini sebagai amanah dan ibadah, insyaAllah semua akan mendapat manafaat.

Bersama kita bangunkan Rembau dan Negeri Sembilan

Artikel saya sebelum ini Pembangunan Tanah Adat Perpatih untuk Perumahan Rakyat di http://waghih.blogspot.com/2010/12/pembangunan-tanah-adat-perpatih-utk.html

Pemilik gagal bangunkan tanah
Sinar Harian 18 Feb 2011

KENDONG - Kegagalan segelintir pemilik tanah membangunkan tanah anugerah yang diberikan kerajaan selepas merdeka menyebabkan tanah itu ditumbuhi semak-samun dan menjadi hutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Kendong, Bahari Thani berkata, kebanyakan tanah anugerah yang diberikan telah dimajukan dengan membina kediaman dan projek tanaman.

Menurutnya, pihak JKKK sering mendengar rungutan penduduk setempat mengenai tanah anugerah terbiar yang berada di tengah-tengah kampung menimbulkan masalah kepada mereka.

“Penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran berasa bimbang mengenai keselamatan mereka dengan kehadiran binatang buas dan berbisa seperti babi hutan serta ular,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Malah Bahari berkata, lebih membimbangkan apabila penduduk pernah terserempak dengan babi hutan ketika dalam perjalanan ke masjid pada waktu Subuh, selain terlibat dalam kemalangan apabila melanggar babi hutan yang berkeliaran mencari makanan.

“Binatang ini bukan sahaja mencari makanan di kawasan hutan, tetapi habis ayam dan kambing penduduk turut menjadi mangsa. Penduduk di sini bimbang jika perkara ini berterusan akan menyukarkan mereka untuk menternak,” katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan diharapkan dapat membuat operasi mengemas kini status tanah anugerah bagi memastikan semua tanah dibangunkan dengan betul dan mengenal pasti pemilik tanah.

“Saya juga berharap masalah ini dapat ditangani segera kerana perkara ini sudah lama dibangkitkan penduduk dan mereka mahukan penyelesaian berhubung masalah babi hutan dan tanah anugerah berkenaan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8767377.asp

Tiada ulasan: