KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110224

Mangsa gores menang dapat semula duit dgn bantuan ALLAH

Baru 4 hari sudah saya cerita mengenai kisah saudara kepada ibu saya telah menjadi mangsa gores dan menang dengan kerugian lebih RM20,000.00. Satu keajaiban yang amat hebat, ibu saya baru telefon sebentar tadi, katanya saudaranya telah dapat hampir kesemua duitnya yang diambil oleh sindiket gores dan menang tanpa sebarang pergaduhan, ianya diselesaikan dalam suasana yang baik, iaitu suasana menang-menang. Pelikkan.

Apabila ditanya siapa yang tolong, saudara saya kata kepada orang lain, ALLAH yang tolong. Itu saja. Setelah membuat laporan polis, kemudian dengan melakukan solat hajat yang dibantu sanak saudara, ianya mudah selepas itu.

Pelik kan, saya sendiri terkejut. Tapi , itulah kebesaran ALLAH, ALLAH boleh menggerakkan hati sesiapa saja, yang baik, yang zalim, yang penipu, yang perasuah, untuk tunduk dengan arahanNya.

Salah seorang emak saudara saya yang melakukan solat hajat itu adalah seorang yang lurus bendul, buta huruf, ilmu tak tinggi, sentiasa merendah diri, kalau pergi rumahnya dilayan tetamu sungguh-sungguh.

Orang yang macam ni jangan kita pandang rendah, orang macam ni, siapa tahu doa mereka cepat dimakbulkan ALLAH.

Lagi satu ialah doa orang yang dizalimi, walaupun mereka ini orang kafir, ALLAH akan makbulkan doa mereka.

Negara kita dilanda pelbagai musibah sekarang, dengan kes buang bayi, sumbang mahram, dadah, jenayah, ragut, penipuan gores dan menang serta macam-macam lagi.

Sebijak mana kita, setinggi mana ijazah kita, ingat apa-apa yang kita buat, hendaklah sentiasa kita bergantung harap kepada ALLAH. Dan jangan sesekali kita memandang rendah, memandang hina mereka yang tiada kelayakan, tiada ijazah, tiada jawatan, entah-entah mereka ini lebih rapat, lebih dekat di sisi ALLAH.

Malah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar sendiri merasa kaget ada orang yang lebih hebat daripada mereka yang doanya diterima ALLAH , iaitu Uwais bin al-Qarni. Alangkah hebatnya Uwais bin al-Qarni ini , walaupun beliau bukanlah lulusan Universiti Al Azhar.

Kisah bagaimana saudara saya ditipu sindiket gores dan menang sebelum ini di http://waghih.blogspot.com/2011/02/bernazar-sedekah-untuk-mangsa-penipuan.html


Uwais rindu bertemu Rasulullah
Utusan Malaysia 1 Dis 2010

TERDAPAT seorang pemuda tinggal di negeri Yaman. Pemuda itu bernama Uwais bin al-Qarni. Beliau berasal daripada keluarga yang miskin. Beliau bekerja sebagai pengembala unta. Unta-unta itu adalah milik abangnya yang terletak di sebuah tempat bernama Qarni.

Selain itu, Uwais juga membuat kerja-kerja sampingan seperti membersihkan kebun orang dan memetik buah kurma. Rezeki yang diperolehinya itu, hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Ayahnya sudah meninggal dunia. Uwais bergantung kasih sayang kepada ibunya yang sudah tua dan lumpuh. Beliau anak yang baik. Beliau sanggup menjaga ibunya yang lumpuh pada malam hari, sedangkan pada siang harinya, beliau sibuk mencari nafkah bagi menyara diri dan ibunya.

“Uwais adalah seorang anak yang taat dan patuh kepada ibunya. Beliau sanggup menjaga ibunya yang lumpuh dan buta. Beliau juga tidak pernah mengeluh atau menyesal mempunyai ibu seperti itu,” kata seorang penduduk yang tinggal di kampung itu.

Sikap Uwais yang sangat baik menjadi sebutan orang ramai di kampung itu. Malah, ibunya yang tua itu menjadi semakin kasih dan sayang pada anaknya itu.

Pada suatu hari, Uwais mendapat berita, Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam berperang di Bukit Uhud.

Peperangan itu dinamakan Perang Uhud. Uwais al-Qarni mendapat tahu Nabi Muhammad tercedera dalam perang itu. Malah, gigi Nabi Muhammad juga turut patah kerana diserang oleh musuh.

“Gigi Nabi Muhammad patah. Saya sepatutnya melawat Nabi Muhammad sekarang. Saya mahu merawat kesakitan beliau. Tetapi saya tidak dapat pergi ke sana,” bisik Uwais seorang diri.

Uwais sedih sendirian apabila mengenangkan kecederaan yang berlaku pada Nabi Muhammad. Kemudian, beliau mengambil seketul batu.

“Saya mahu mengetuk batu ini pada gigi saya supaya saya dapat merasakan kesakitan seperti mana yang ditanggung oleh Nabi Muhammad pada masa ini,” kata Uwais seorang diri.

Rasa cintanya kepada Nabi Muhammad tidak dapat diungkap dengan kata-kata lagi. Tanpa berfikir panjang, Uwais mengambil seketul batu dan mengetuk giginya sehingga patah. Darah mengalir keluar dan beliau merasai kesakitannya.

Uwais al-Qarni mahu berjumpa Nabi Muhammad di kota Madinah. Tetapi beliau tidak dapat pergi lama kerana dia mempunyai ibu yang sudah tua dan lumpuh. Tetapi, ibu Uwais mengizinkannya pergi berjumpa Nabi Muhammad.

“Saya Uwais al-Qarni. Saya datang mahu berjumpa Nabi Muhammad. Saya datang dari Yaman,” kata Uwais kepada Aisyah binti Abu Bakar.

“Maafkan saya, Nabi Muhammad tiada di rumah. Beliau berada di medan Perang Uhud,” jawab Aisyah.

Uwais tergamam seketika.

“Perlukah saya menunggu Nabi Muhammad pulang. Ibu saya sakit di rumah. Tiada sesiapa menjaganya,” bisik Uwais.

Akhirnya, Uwais terpaksa pulang ke rumahnya segera. Ibunya sakit di rumah. Beliau berasa kecewa kerana tidak dapat berjumpa Nabi Muhammad.

“Sampaikan salam saya kepada Nabi Muhammad dengan lafaz assalamualaikum,” kata Uwais dan beredar pergi.

Selepas berjaya melawan musuh dalam Perang Uhud, Nabi Muhammad pulang ke rumah. Seperti biasa, beliau bertanya kepada isterinya, “Adakah sesiapa mahu berjumpa saya selama saya tiada di rumah?”

“Ada. Seorang pemuda bernawa Uwais al-Qarni. Beliau datang mahu berjumpa tuan. Saya lihat beliau begitu kecewa selepas mengetahui tuan tiada di rumah,” kata Aisyah kepada Nabi Muhammad.

“Beliau memberitahu saya, beliau tidak dapat menunggu tuan kerana ibunya sakit di rumah. Tambahan pula, tiada sesiapa menjaga ibunya,” jelas Aisyah, isteri Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad tersenyum mendengar penjelasan itu.

Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada kepada sahabat yang lain, “Sekiranya kamu mahu mengenali Uwais al-Qarni, kamu dapat lihat di tengah tapak tangannya ada tanda berwarna putih”.

Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada Ali dan Umar al-Khattab, “Apabila kamu berdua berjumpa Uwais al-Qarni nanti, kamu mintalah beliau berdoa dan memohon keampunan daripada Allah. Beliau adalah penghuni langit”.

Begitulah kisah seorang sahabat yang sangat menyayangi dan mengasihi Nabi Muhammad. Seorang pemuda yang patuh dan taat kepada ibunya yang tua dan sakit lumpuh itu.


Petikan buku Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Tiada ulasan: