Artikel saya sebelum ini Ijazah Kedoktoran Parang Melayu di http://waghih.blogspot.com/2010/11/ijazah-kedoktoran-parang-melayu.html
Rahsia parang Zamri tajam
Kosmo 27 Mac 2011
Cicit Mat Tukang, seorang pandai besi di Negeri Sembilan, menggunakan paku landasan kereta api untuk membuat parang.
"KALAU nak uji ketajaman parang, jangan rasa dengan jari. Itu pantang kerana mata parang akan cepat tumpul dan berkarat.
"Seelok-eloknya lelas mata parang pada kuku, jika rasa kesat dan ada kesan takik, maknanya mata parang sudah tajam," ujar Ahmad Basri Mukmin, 54.
Dia yang juga seorang penyembelih lembu adakalanya memperuntukkan masa hampir sejam untuk mengasah parang terutama ketika musim Hari Raya Korban dan cuti sekolah.
"Penyembelihan binatang korban memerlukan mata parang yang benar-benar tajam. Saya sendiri menggunakan empat jenis batu asah berlainan gred dalam proses mengasah.
"Selain memastikan ketajaman, teknik mengasah yang betul juga dapat menjamin mata parang agar sentiasa berkilat dan tidak mudah tumpul," katanya yang sudah lebih 10 tahun diberi tanggungjawab menyembelih binatang korban di kawasan kejiranannya di Kuala Langat, Selangor.
Ahmad Basri memberitahu, bukan sembarangan parang boleh digunakan untuk menyembelih binatang.
"Besi yang digunakan untuk dijadikan mata parang juga perlu dipilih daripada jenis yang sesuai.
"Bagi tujuan sembelihan, saya hanya akan memilih mata parang yang ditempa daripada besi paku landasan kereta api kerana sifatnya yang tahan lasak dan tidak mudah patah atau sompek," ujarnya yang menempah parang khusus untuk kerja-kerja penyembelihan, melapah dan memotong tulang daripada tukang besi dari Jelebu, Negeri Sembilan.
Menjejaki pembuat parang yang dimaksudkannya, Jurnal pergi ke Jelebu untuk melihat sendiri proses pembikinan pelbagai jenis senjata besi, terutama parang.
Kunjungan ke Kampung Mentaus yang terletak dalam mukim Sungai Durian, Jelebu, menemukan kami dengan seorang tukang besi dan tukang sarung parang yang cukup terkenal iaitu Zamri Wahid, 42.
Dianggap sebagai tukang besi tersohor di Negeri Sembilan, kepakaran Zamri menghasilkan mata parang yang licin dan halus serta kreativitinya membuat sarung parang lengkap dengan ukiran daripada tema flora seakan sudah menjadi tanda dagangan perniagaannya yang sudah mencecah usia 16 tahun itu.
ATAS: Pembakaran sempurna besi hingga terbit warna kemerah-merahan penting dalam menghasilkan mata parang yang bermutu tinggi.
"Mungkin darah tukang parang yang mengalir di tubuh saya masih kuat. Sebab itu orang di sekitar kampung ini tidak hairan jika saya pulang ke kampung dan menyambung legasi keturunan Mat Tukang," ujarnya ketika ditemui di bengkel parangnya baru-baru ini.
Menyingkap susur galur anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, Zamri merupakan cicit kepada Mat Tukang yang merupakan tukang sarung parang dan keris yang disegani bukan sahaja di sekitar Jelebu, bahkan seluruh Negeri Sembilan.
"Menurut cerita orang tua-tua, banyak hasil kerja moyang saya dibeli oleh Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Luak Jelebu.
"Saya tidak sempat berjumpa dengannya, tetapi masih dapat melihat hasil kerjanya yang saya anggap begitu halus dan berseni.
"Datuk saudara saya, anak Mat Tukang juga seorang tukang sarung parang tetapi tidak begitu aktif, namanya Tok Empat Adnan.
"Selepas Tok Empat, bapa saudara saya, iaitu cucu Mat Tukang, juga dikenali ramai dengan kepandaiannya membuat sarung parang, namanya Yusof tetapi lebih dikenali sebagai Hashim.
"Dia aktif membuat parang sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an. Orangnya masih hidup tetapi sudah tidak aktif membuat sarung parang.
"Kini, saya, generasi keempat Mat Tukang yang masih meneruskan warisan tukang besi dan pembuat sarung parang.
"Bakat turun-temurun ini nampaknya akan terus disambung oleh anak sulung saya yang juga ciut Mat Tukang iaitu Muhammad Abqari, 17," ceritanya.
Sungguhpun mewarisi darah tukang parang, Zamri tidak pernah belajar menempa besi atau mengukir sarung parang daripada generasi terdahulu.
Sebaliknya dia mempelajarinya daripada tukang parang dari Jawa dan Kelantan.
Zamri turut belajar teknik menghasilkan besi berkualiti tinggi daripada seorang penyelia warganegara Jepun ketika bekerja di kilang besi di Seremban dahulu.
TEKNIK mengasah mata parang sehingga permukaannya licin, halus dan berkilat adalah kelebihan di bengkel Zamri.
Kini Zamri menggaji lima pekerja di bawah jenama Mentaus Craft. Bermula secara kecil-kecilan, kini perniagaan parang Zamri dianggap antara yang paling berkembang di negara ini.
Selain kehalusan mata parang, keunikan hulu serta sarung parang, perusahaan yang dimulakan di belakang rumah kini sudah bertaraf komersial apabila berupaya mengeluarkan hampir 200 bilah parang sebulan.
Menjelang cuti sekolah atau Hari Raya Korban, tempahan yang diterima pula mampu mencecah dua kali ganda.
"Walaupun pengeluaran kita besar, Mentaus Craft tidak berkompromi dalam soal kualiti. Malah setiap senjata besi, tidak kira pisau, parang atau kerambit, mesti sampai ke tangan saya dahulu untuk diberi sentuhan akhir.
"Dalam proses menyepuh besi misalnya, hanya saya yang boleh melakukannya. Begitu juga dengan ukiran pada hulu dan sarung.
"Bukan tidak percaya dengan keupayaan pekerja, tetapi untuk proses paling penting ini, saya masih mahu mengekalkan sentuhan peribadi supaya pelanggan tidak keliru dengan kualiti Mentaus Craft," ujarnya yang sering dipilih untuk mewakili Negeri Sembilan dalam pameran kraf senjata di peringkat kebangsaan.
Turut berkongsi pelbagai tip penjagaan parang dalam blognya, Zamri percaya ilmu yang kerap diamalkan akan membongkar lebih banyak rahsia dan kelebihan.
"Memang penting tahu dan pandai mengasah parang, sebab satu alat yang masih dalam bentuknya, digunakan dari zaman kuno sampai sekarang ialah jenis keluarga parang," katanya.
Jelas Zamri lagi, tidak kira apa gelarannya, lembing, lading, parang, kelewang, badik, belati, pisau, kerambit, lawi ayam ataupun tumbuk lada, kegunaan besi tajam dianggap terpenting bagi orang Islam untuk menyembelih haiwan dan tidak boleh ditukar ganti.
"Bertitik-tolak daripada itu saya melihat parang mempunyai potensi untuk dijadikan produk perniagaan," jelasnya yang menjual pisau dari harga RM60 hingga RM120 manakala parang di antara RM100 ke RM500 sebilah.
Rahsia
MAN Misai adalah tukang asah parang berpengalaman di Mentaus Craft.
Melihat ketekunan Muhammad Abqari menempa mata besi di bengkel milik bapanya, nyata minat anak muda ini terhadap pembuatan parang bukan sedikit.
"Saya rasa puas bila besi yang bengkok dapat diluruskan, yang tebal dinipiskan dan yang karat dapat dilicinkan.
"Lebih menyeronokkan apabila besi yang berkarat dan tumpul dapat ditajamkan sehingga mampu memotong tulang mahupun paku tebal," katanya.
Gemarkan kerja di bahagian mata parang, Abqari bersama Abdul Rahman Samsudin atau Man Misai, 54, merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran mata parang, daripada proses membakar, mengetuk hingga mengasah.
"Proses membuat parang bermula dengan membakar besi hingga warnanya merah menyala. Bagi tujuan membuat parang beberapa jenis besi boleh digunakan antaranya besi bearing, papan chain saw, paku rel kereta api. Lain jenis besi, lain pula jenis kemerahannya.
"Sesudah itu, besi dikeluarkan dari dapur bara sebelum ditempa atau diketuk dengan tukul bagi mendapatkan bentuk parang yang diinginkan sebelum permukaannya diratakan menggunakan mesin pengasah pisau atau grinder.
"Selepas diketuk, mata parang akan melalui proses sepuh bertujuan mengeraskannya. Mata besi yang panas akan dimasukkan ke dalam air tanah liat," ujar Abqari.
Sambungnya lagi, untuk menghasilkan sarung dan hulu parang pula, bapanya akan menggunakan kayu yang berkualiti yang diambil di sekitar kampung.
"Ada juga pelanggan inginkan kayu tertentu. Jika sukar diperolehi, kita akan beli.
"Kayu-kayu tersebut kemudian dikorek di bahagian dalamnya mengikut saiz mata parang dan kemudian dua lapisan kayu tersebut akan dicantum menggunakan gam bagi membentuk sarung.
"Selepas itu, bahagian luarnya akan diukir mengikut motif atau idea tertentu sebelum digosok dengan kertas pasir dan disapu dengan bahan pengilat.
"Setelah sarungnya siap, besi parang akan dimasukkan ke dalam kayu yang telah dibentuk sebagai hulu dan akhir sekali mata parang itu akan diasah menggunakan batu asah sehingga ia tajam," jelas Abqari.
Tidak hanya dijual untuk kegunaan harian, parang keluaran Mentaus Craft juga dijual sebagai cenderahati.
"Jangan terkejut kerana ramai juga yang menempah parang untuk dijadikan hantaran perkahwinan," ujar Zamri.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan