KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150813

Darjah kehormat Undang Luak Johol tak diiktiraf



Ini adalah satu sebab kenapa saya menyarankan agar semua wakil rakyat dan ahli parlimen di Negeri Sembilan ini perlu mahir dalam Adat Perpatih termasuk wakil rakyat bangsa Cina dan India. Mahir, tidak semesti mengamalkannya. Saya belum mendapat maklumat lanjut kes di bawah ini. Dari sudut adat, Undang Luak boleh menganugerahkan gelaran, cuma gelaran itu hanya terpakai di luak atau daerah itu saja.

Adat bersaudara, saudara dipertahankan.
Adat berkampung, kampung dipertahankan
Adat bersuku, suku dipertahankan.
Adat bernegeri, negeri dipertahankan.
Sepakat pangkal selamat. Sengketa pangkal celaka.
Hilang adat kerana janji. Hilang pusaka kerana buatan.


Darjah kehormat Undang Luak Johol tak diiktiraf
12 Ogos 2015

Kerajaan Negeri Sembilan tidak mengiktiraf darjah kehormat yang diberikan oleh Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abd. Ghani pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kehormat dan Penghargaan 2015 pada 10 Ogos lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan tersebut adalah tidak selaras dengan Perkara 26 Bab 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berhubung dengan kehormatan dan kebesaran-kebesaran.

"Ini adalah pendirian kerajaan negeri kerana mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan bahawa pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan cuma boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.  

"Sehubungan itu, adalah dimaklumkan Kerajaan Negeri Sembilan dengan ini tidak mengiktiraf darjah kehormat yang diberikan dalam majlis berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan berkenaan diurus dan dilaksana sepenuhnya oleh Balai Undang Luak Johol.

Katanya beliau membuat kenyataan rasmi ini supaya tidak ada orang yang terkeliru dan salah faham.  – Bernama

Tiada ulasan: