Kena halau di rumah sendiri
24 Ogos 2015
SENAWANG - Bagaikan
retak menanti belah. Begitulah nasib 17 keluarga di Taman Desa Duranta, di
sini, yang dipaksa mengosongkan kediaman masing-masing menjelang 11 September
depan.
Mereka sendiri tertanya-tanya, di manakah silapnya sedangkan
rumah dihuni dibeli secara sah melalui agensi berkaitan yang menguruskan
pinjaman perumahan untuk penjawat awam.
Justeru, penduduk terlibat yang majoritinya bekerja sebagai
guru berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam hal ini untuk membela
nasib mereka.
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas masalah dialami, Sinar
Harian bertemu sendiri dengan penduduk terlibat, semalam.
Wakil penduduk, Muhammad Yusri Yusuf, 42, berkata,
segala-galanya bermula pada April tahun lalu.
“Hampir enam tahun menetap di sini, tak pernah timbul
masalah. Tapi semuanya berubah bila kami terima satu bungkusan yang dikirim
secara pos.
“Rupa-rupanya, dalam bungkusan tu terkandung surat arahan
daripada pemilik tanah yang mahu kami keluar dari kawasan ni,” katanya.
Menurutnya, perkara itu amat mengejutkan, apatah lagi
selepas mendapati mereka semua seakan-akan ditipu oleh pemaju selama ini.
“Kami rujuk dan teliti balik dokumen perjanjian jual beli
rumah. Masa tu baru kami sedar, nama pemilik tanah langsung tak sama dengan
nama pemilik tanah sebenar.
“Sejak hari tu, hidup kami kelam-kabut. Macam-macam agensi
kerajaan kami dah pergi, termasuklah yang uruskan pinjaman perumahan kakitangan
awam di Putrajaya. Tapi semuanya tak berhasil,” katanya.
Muhammad Yusri memberitahu, penduduk juga pernah naik turun
Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, dari April tahun lalu hingga 16 Jun lepas,
melibatkan lapan prosiding.
“Kami diberi masa sehingga 31 Ogos nanti untuk mengosongkan
rumah, sebelum dilanjutkan kepada 11 September atas budi bicara tuan tanah.
“Sebagai langkah alternatif, kami juga diberi pilihan untuk
membeli lot tanah daripada pemilik berdasarkan terma dan syarat bakal
ditetapkan kelak,” katanya yang merancang hendak berjumpa dengan peguam kepada
pemilik tanah pada Khamis ini untuk berbincang.
Ahmad Tajol Aros Abd Kadir, 47, berkata, penduduk akur
dengan keputusan mahkamah dan mengakui pemilik tanah sememangnya mempunyai hak
mutlak dalam perkara berkenaan.
“Masalahnya sekarang dari segi kewangan. Kalau diambil kira
komitmen ditanggung dan faktor usia, memang susah kami nak buat pinjaman lagi.
“Kalau boleh lulus sekali pun, memang tak mampu nak bayar.
Sebab pinjaman sedia ada tetap kena dilangsaikan walaupun rumah ni akan
terlepas dari tangan kami,” katanya yang menjelaskan penduduk membayar sekitar
RM1,300 hingga RM2,000 sebulan melalui pemotongan gaji.
Dalam pada itu, pesara, Muhammad Ja’afar, 59, lebih runsing
apabila memikirkan dirinya yang bakal kehilangan rumah berharga RM275,000
dibeli secara tunai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan