KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150813

Pernah menangis di pejabat JKM



Ada sesiapa yang sudi ambil nenek ini sebagai nenek angkat? Ada sesiapa tahu alamat nenek ini?

Pernah menangis di pejabat JKM
13 Ogos 2015


SEREMBAN -  Tatkala insan lain seusianya sedang menghabiskan masa dengan berehat atau berada di rumah sambil bermain bersama cucu, seorang warga emas di sini, sibuk bekerja mengemas barang di sebuah kedai kasut di Seremban 2, di sini.

Normah Nordin, 86, juga seakan lali apabila terpaksa mengerah kudrat yang semakin tidak berapa kuat untuk turun naik bas ke tempat kerja demi mencari sesuap nasi.

Semuanya itu dilakukan bukan untuk mengisi masa lapang, sebaliknya disebabkan kesempitan hidup dihadapi.

Menurut Normah,  lima tahun lalu, dia pernah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, bagaimanapun bantuan itu dihentikan pada awal Januari 2014 tanpa sebab.

Ketika menceritakan kenangan pahit yang berlaku pada Febuari 2014 itu, air matanya sedikit bergenang, namun belum sempat membasahi pipi, air matanya itu disapu dengan tangan.

Menurutnya, semasa itu, dia berada di sebuah bank untuk mengeluarkan duit bantuan JKM seperti biasa.

Bagaimanapun, luluh hatinya apabila diberitahu pegawai bank terbabit bahawa tiada wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Seakan tidak percaya dengan apa yang diberitahu, Normah terpaksa menggagahkan diri menaiki bas menuju ke pejabat JKM Daerah Seremban di Seremban 2 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Masa tu nenek ada RM5 saja. Nenek berjalan, panjat  tangga pejabat JKM tu nak cari pegawai sebab nak tanya kenapa bantuan bulanan nenek tak masuk.

“Sampai kat pejabat JKM, ada pegawai beritahu bantuan nenek terpaksa diberhentikan sementara. Tapi tak beri apa-apa alasan.

“Bila nenek tanya kenapa hentikan bantuan, mereka juga tak ada jawapan. Orang JKM tu cuma minta nenek bersabar dan tunggu surat susulan dari mereka," katanya.

Lebih menyedihkan lagi, dia terpaksa meraih simpati sehingga menangis di pejabat JKM kerana tidak mempunyai tambang untuk balik ke rumah.

"Nasib baik ada kakitangan di situ simpati dengan nenek. Dia beri sedikit duit untuk dibuat tambang balik," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Desa Rhu, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Normah berkata, sehingga semalam, tiada sepucuk surat JKM pun yang sampai ke rumahnya.

Menurutnya, hampir tiga kali dia berulang alik ke pejabat JKM untuk mendapatkan jawapan, namun semuanya hampa.

Akibatnya, katanya, dia kini sudah putus harapan dan hanya berdoa kepada Tuhan semoga ada limpahan rezeki lain buat dirinya.

“Walaupun nenek sakit (lemah jantung, kencing manis dan darah tinggi), tapi syukur kerana Tuhan berikan kesihatan tubuh badan yang masih baik dan kuat  untuk berjalan demi mencari rezeki.

“Gaji nenek ikut hari. Kalau tak kerja, tak adalah duit belanja. Sebab itulah nenek kena pergi kerja, sebab kita hari-hari nak makan,” katanya.

Tiada ulasan: