KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20151017

Diserang penyamun depan rumah di Taman Warisan Puteri

Diserang penyamun depan rumah di Taman Warisan Puteri
17 Oktober 2015



SEREMBAN - Barang kemas hadiah perkahwinan sejak 30 tahun lalu merupakan antara barang yang dilarikan penjenayah dalam kejadian samun di Precint 9, Taman Warisan Puteri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, mangsa kerugian lebih RM30,000 dalam kejadian samun berkenaan.

Pasangan suami isteri bersama anak buahnya itu disamun sebaik tiba di rumah selepas melawat ahli keluarga yang sakit di sebuah hospital swasta, di sini.

Mangsa, Aini Abu Bakar, 56, berkata, ketika kejadian, dia dan anak buahnya, Rosmawati Ahmad, 46, menaiki kereta jenis Toyota Unser, manakala suaminya, Ramli Mohd Yusof, 60, memandu kereta jenis Perodua Myvi.

“Sebaik tiba di rumah, kami letakkan kereta di laman rumah. Suami saya pula meletakkan keretanya di luar pagar.

“Secara tiba-tiba datang dua lelaki menaiki sebuah motosikal dengan bertopi keledar penuh menyerang kami dan mengacukan parang di leher,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai warga tempatan dan berusia lingkungan 20-an itu mengarahkan mereka menyerahkan barang berharga.

“Penjenayah pertama menahan suami saya di luar dengan memecahkan cermin kereta dan mengacu parang di leher. Penjenayah itu turut merampas telefon bimbit, dompet dan kunci kereta.

“Manakala penjenayah kedua menyerang saya dan Rosmawati dengan meletakkan parang di bahagian leher. Rantai leher dan gelang tangan kami ditarik dengan kuat dan beg tangan saya turut dibawa lari,” katanya ketika ditemui di rumah anak buahnya itu, semalam.

Aini berkata, kejadian berlaku amat pantas dan penjenayah terbabit terus melarikan diri selepas mengambil barang berharga.

“Saya kerugian seutas rantai leher dan gelang tangan emas bernilai lebih RM15,000 dan beg tangan yang mengandungi duit bernilai RM250 serta dokumen peribadi.

“Anak buah saya pula kerugian dua utas rantai leher dan gelang tangan bernilai lebih RM15,000,”katanya.

Dia sekeluarga bagaimanapun bersyukur kerana tidak dicederakan dan hanya mengalami kerugian wang tunai dan barang kemas sahaja.

“Barang kemas makcik sangat berharga kerana ini hadiah perkahwinan yang makcik simpan sejak 30 tahun lalu. Yang penting kami sekeluarga selamat.

“Mujur penjenayah itu tak masuk ke dalam rumah kerana kakak makcik berada di dalam dan dia tidak sihat,” katanya.

Aini bagaimanapun melahirkan rasa kecewa kerana taman perumahan itu kerap berlaku kejadian samun dan rompak meskipun mempunyai pengawal keselamatan.

“Kami bayar RM50 setiap bulan kepada syarikat keselamatan. Rumah kami hanya 100 meter sahaja dari pondok keselamatan.

“Apa gunanya makcik bayar setiap bulan tetapi keselamatan kami tetap terancam apabila orang luar boleh masuk sesuka hati,” katanya.

Tiada ulasan: