KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20151008

Jom Melabur, Jom Bantu




Asrama kian uzur

Melaka , 8 Okt 2015  -: Pengurusan Madrasah An Nuriah Ad Diniah di Sungai Udang, Tanjung Kling, di sini, yang juga antara sekolah agama persendirian di negeri itu meminta kerjasama orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembinaan asrama pelajar perempuan yang semakin uzur.

Bangunan dua tingkat yang dibina menggunakan kayu sekitar tahun 1950-an digunakan sebagai asrama bagi menampung 50 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun walaupun strukturnya dianggap sudah tidak selamat untuk diduduki.

Ketua Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Madrasah An Nuriah Ad Diniah Mohd Herwan Mohd Khalil berkata, atas faktor keselamatan, pelajar perempuan terbabit dipindahkan ke blok pengajian madrasah itu yang dijadikan sebagai asrama sementara, minggu lalu.

“Jika dana sudah cukup, kami jangka bangunan asrama baru akan siap sepenuhnya dalam tempoh empat bulan saja. Kos keseluruhan pembinaan asrama baru itu dijangka menelan belanja RM250,000.

“Asrama sedia ada akan dirobohkan bagi membolehkan bangunan baru dibina di atas tapak sama. Kami berharap orang ramai sudi menghulurkan wakaf, sumbangan, derma atau infaq bagi membiayai kos pembinaannya nanti,” katanya.

Madrasah itu diasaskan oleh ulama terkenal di negeri itu, Abdul Wahid Othman atau lebih dikenali dengan nama Tuan Guru Haji Wahid pada 1940.

Daripada keseluruhan 180 pelajar lelaki dan perempuan di peringkat menengah mengikuti pengajian di situ, termasuk yang berulang-alik dari rumah, 10 adalah anak yatim manakala 20 lagi daripada keluarga miskin.

Proses pembelajaran mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan manakala hal ehwal pentadbiran pula dikendalikan lima kakitangan pengurusan.

Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Herwan di talian 013-6440709 atau pejabat madrasah 06-3519807.

(Kemaskini : Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank , no akaun 154101211713 , atas nama Lembaga Pengurusan Madrasah Annuriah Addiniah)


Tiada ulasan: