KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20151005

‘Rimasnya pasar malam depan rumah’



Apa perasaan kita jika tapak pasar malam di depan pagar rumah kita, setiap hari Sabtu dan ianya telah berlarutan lebih 19 tahun? Harap Majlis Perbandaran Seremban serta Kerajaan Negeri dapat menyelami perasaan penduduk di sini.

‘Rimasnya pasar malam depan rumah’
5 Oktober 2015



SENAWANG - Penduduk di Jalan 1 Taman Kobena, di sini, sudah tidak mampu bersabar berikutan tapak pasar malam yang betul-betul terletak di hadapan rumah mereka setiap malam Sabtu sejak bertahun-tahun lamanya.

Kewujudan pasar malam itu bukan saja menyebabkan suasana kurang selesa penduduk terutama soal kebersihan kawasan setiap kali selepas pasar malam selesai, malah menyusahkan penduduk yang terpaksa mengalihkan kereta mereka ke tempat lain.

Difahamkan, peniaga pasar malam tersebut sebelum ini sudah diberi notis daripada penganjur agar tidak lagi berniaga di situ, bagaimanapun ia masih berjalan seperti biasa sehingga menyebabkan penduduk kebingungan.

Seorang penduduk, Remali Jamaludin, 63, berkata, setiap kali Sabtu, jalan hadapan rumah mereka terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada peniaga pasar malam.

“Semua laluan untuk masuk ke rumah kami ditutup. Kami terpaksa keluarkan kereta dan alihkan ke lorong belakang.

“Pernah suatu masa dulu kereta penduduk dicalarkan hanya kerana diletakkan di depan rumah ketika pasar malam berlangsung.

“Lebih parah, majlis kenduri kahwin juga terganggu kerana ada peniaga tetap teruskan berniaga walaupun tahu ada majlis kenduri,” katanya.

Sulaiman Zainal Abidin, 53, pula berkata, suasana pasar malam yang bising mengganggu mereka sekeluarga, terutama bunyi generator yang dipasang.

“Bukan itu saja, asap bakar ayam percik dan sate juga merebak ke dalam rumah sampai baju disidai di luar pun bau asap," katanya.

Menurutnya, penduduk juga tidak dapat membayangkan sekiranya berlaku hal kecemasan untuk membolehkan jentera bomba dan ambulans masuk.

Perkara itu turut diakui Abd Rasif Wan Tik, 72, yang telah menetap di taman perumahan itu lebih 19 tahun lalu.

Menurutnya, penduduk banyak mengalah dengan peniaga bagi mengelakkan tercetusnya pergaduhan.

Namun, katanya, sampai bila mereka perlu bertahan dengan keadaan seperti itu.

“Masa hujung minggulah anak cucu akan datang ke rumah tetapi apabila ada pasar malam, anak-anak terpaksa letakkan kereta jauh. Selepas 11 malam baru mereka boleh letakkan kereta di depan rumah.

“Itu belum lagi dengan keadaan kotor, berminyak dan bau busuk disebabkan air kotoran dibuang dalam longkang depan rumah kami. Memang tidak selesa,” katanya.

Abd Rasif berkata, sudah banyak aduan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk laporan polis dibuat sejak awal tahun lalu, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan.

“Sekarang ini kami sendiri tak tahu peniaga berniaga di bawah penganjuran siapa pula. Mungkin ada pihak yang mempunyai kepentingan mengambil kesempatan meneruskan pasar malam ini," katanya yang berharap siasatan lanjut perlu dilakukan berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: