KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20151022

Rumah dihuni semakin uzur



Rumah dihuni semakin uzur
22 Oktober 2015


REMBAU – Seorang pekerja cuci kereta masih menaruh harapan agar mereka enam sekeluarga dapat memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dimohon sejak lebih lima tahun lalu.

Kamal Mohammad, 49, berkata, rumah yang didiami kini adalah rumah pusaka yang berusia lebih 40 tahun.

Menurutnya, sebelum ini, dia menetap di Johor kerana bekerja di sebuah kilang di sana, namun pada 2009, dia mengambil keputusan untuk menetap di kampung memandangkan kos sara hidup di sana terlalu tinggi.

"Ketika itu, anak sulung saya, Nor Syafiqah, 13, pula perlu jalani rawatan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali di hospital kerana ada masalah darah sejak kecil.

"Dengan ekonomi pada masa itu, saya tak mampu untuk terus tinggal di Johor,” katanya di sini, semalam.

Tambah Kamal, dia tidak mempunyai wang simpanan untuk membina sendiri rumah dan terpaksa  tinggal di rumah pusaka itu walaupun keadaannya sangat uzur dan atap di bahagian dapur pula bocor.

Malah, katanya, walaupun rumah itumempunyai tiga buah bilik, namun ia tidak dapat digunakan berikutan papan dindingnya hampir terkopak.

"Dengan pendapatan RM40 sehari, saya perlu sara isteri dan juga empat orang anak yang berusia 4 hingga 13 tahun. Malah, Nor Syafiqah masih lagi menerima rawatan susulan dan 22 September lalu, dia baru saja jalani pembedahan membuang limpa dan hempedu.

"Mujur anak-anak dapat bantuan bulanan persekolahan JKM sebanyak RM300 sebulan. Malah, Nor Syafiqah juga dapat bantuan perubatan Baitulmal empat bulan sekali," katanya.

Justeru itu, kata Kamal, dia sangat berharap supaya pihak berkaitan dapat meluluskan permohonannya dengan segera.


Tiada ulasan: