KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20061030

Kedai 7 11 Rembau ada jual arak ?

Aidil Fitri yang baru berlalu kami sekeluarga beraya di Pantai Timur. Semasa 1 Syawal saya menerima beberapa SMS yang bertanyakan kenapa kedai 7 11 di Rembau, Negeri Sembilan ada jual arak, sedangkan beberapa kedai 7 11 tempat lain yang majoritinya Melayu tiada menjual arak ? Saya belum sempat singgah di 7 11 di Rembau, tetapi saya perhatikan 7 11 di Senawang dekat Taman Tasik Jaya dan di Muadzam Shah, Pahang memang tiada menjual arak.

Pengirim SMS berkata, bila dia tanya pada pekerja 7 11 Rembau kenapa jual arak, dia kata sebab tiada bantahan dari penduduk setempat. Penduduk setempat boleh buat bantahan dan hantar surat ke pihak pengurusan 7 11 dan pihak berkuasa tempatan (Majlis Daerah Rembau) katanya.

Oleh itu disarankan kepada semua warga Rembau agar membuat bantahan samada melalui jawatankuasa bertindak, NGO, AJK Masjid dan Surau, individu, PIBG dan sebagainya agar membuat bantahan agar 7 11 Rembau tidak menjual arak.

Malah tindakan ini boleh diambil dimana-mana tempat di Malaysia atas alasan penduduk sekitar adalah majoriti Melayu. Yang penting semua kena bangkit dan bertindak, jangan serahkan hal ini kepada pihak tertentu sahaja.

Bangkitlah bangsaku !

20061016

Orang ramai diseru jayakan Rumah AMAL BUNDLE

Projek Rumah AMAL “BUNDLE” atau pun AMAL SHOP adalah merupakan pusat pengumpulan dan pengagihan pakaian baru dan terpakai untuk keperluan keluarga miskin, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa musibah serta mereka yang sedang bermusafir.

Idea penubuhan Rumah AMAL “BUNDLE” timbul apabila didapati ramai orang yang ingin memberi sumbangan pakaian baru dan terpakai kepada mereka yang memerlukan tetapi tiada tempat pengumpulan dan pengagihan yang khusus, ianya hanya timbul apabila
berlaku malapetaka atau bencana alam.

Oleh itu Rumah AMAL “BUNDLE” ini perlu diadakan sepanjang masa, memandangkan sebenarnya disekeliling kita ini masih ramai yang memerlukan bantuan terutamanya pelajar-pelajar miskin serta anak-anak yatim.

Dalam pada itu sesi Mini Rumah AMAL “BUNDLE” telah diadakan pada 15 Oktober 2006 yang lalu di Sekolah Agama Rakyat Gedung Lalang 162, Ampangan , Seremban dimana seramai lebih kurang 60 orang pelajar-pelajar miskin dan anak-anak yatim sekitar Ampangan diraikan dalam majlis pengagihan duit raya dan pakaian baru dan terpakai kepada mereka. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pn Norwani Ahmat mewakili Nisa N.Sembilan, Sdr Sufian Ibrahim mewakili Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan, Sdr Zulkefly Mohamed Omar mewakili Teras Pengupayaan Melayu dan Sdr Hakki Bawai mewakili syarikat korporat.

Untuk menjayakan Rumah AMAL “BUNDLE” atau AMAL SHOP ini di Negeri Sembilan, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan bercadang untuk mengadakannya di sekitar Senawang atau Seremban memandangkan kawasan ini mempunyai banyak rumah atau kedai kosong memandangkan kadar permintaan rumah atau kedai di sini adalah kurang. Justeru itu Yayasan Amal menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai rumah atau kedai kosong yang dalam keadaan baik dan tidak digunakan
untuk tujuan apa-apa agar dijadikan Rumah AMAL “BUNDLE”.

Dengan adanya Rumah AMAL “BUNDLE” pengumpulan serta pengagihan pakaian baru dan terpakai kepada mereka yang memerlukan dapat dijalankan sepanjang tahun tanpa perlu menunggu waktu-waktu perayaan.

Disamping itu Sdr Sufian juga menyeru kepada orang ramai yang ingin memberi sumbangan pakaian ini sebaiknya yang baru atau sekiranya ianya pakaian terpakai hendaklah dalam keadaan yang nampak baru, tidak koyak, tidak lusuh, bersih dan dilipat dengan
baik atau digantung menggunakan penyangkut baju.

Sekiranya sambutan Rumah AMAL “BUNDLE” menggalakkan ianya bukan hanya akan dijadikan pusat pengumpulan dan
pengagihan pakaian, ianya akan diperluaskan kepada buku-buku, keperluan alat tulis, permainan kanak-kanak dan sebagainya.

Kepada mana-mana pihak yang ingin menjadikan rumah atau kedai mereka kepada Rumah AMAL “BUNDLE” atau AMAL
SHOP di Seremban atau Senawang bolehlah menghubungi Sdr Rozmal Malakan Naib Pengerusi Yayasan Amal Cawangan N.Sembilan di talian 012-2267406 atau melalui e-mel rozmal@yahoo.com

20061014

Idil Fitri ini jangan lupa ratusan anak yang ayah mereka dibunuh

Dalam kita bergembira menyambut kedatangan hari lebaran, janganlah kita lupa ratusan mungkin ribuan anak-anak orang Melayu yang beragama Islam yang begitu ramai di Selatan Thailand menjadi yatim kerana ayah mereka mati dibunuh akibat pergolakan di sana.

Justeru itu atas dasar tanggungjawab saudara seagama, atas dasar bangsa serumpun, atas dasar keperihatinan dan keakraban Rasulullah saw terhadap anak-anak yatim, Yayasan Pembangunan Ummah merayu kepada umat Islam di Malaysia agar dapat menghulurkan bantuan semampu agar anak-anak yatim ini dilayan sepertimana dengan anak-anak yatim di Malaysia ketika Ramadhan dan Idil Fitri.

Mungkin sepinggan nasi berlaukkan daging sudah cukup untuk mereka ini. Mungkin sehelai baju baru untuk dipakai sepanjang tahun sudah cukup untuk mereka ini. Mereka bukannya mahu beraya atau berbuka puasa di hotel-hotel mewah. Mereka bukannya mahu 2-3 pasang baju raya, mereka bukannya mahu dibelikan mercun dan bunga api. Apa yang penting mereka mendapat asas makanan seadanya dan pendidikan yang sempurna.

Mereka yang prihatin serta ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi Sdr Aminudin di talian 019-6510167

20061011

Kuih Moden Industri Kampung Lenggeng

Isnin 9 Okt 2006 terbelilah saya kuih London Almond lepas program buka puasa di Sekolah Agama Rakyat Gedung Lalang 162, Ampangan. Cuma beli satu balang 50 biji harganya RM 16. Bawa balik rumah dalam masa 24 jam habis dimakan oleh anak-anak lepas waktu berbuka, moreh dan sahur. Tak tahulah apa keistimewaannya , isteri saya terus order 8 balang.

Sesiapa yang berkenan Kuih Moden Industri Kampung berjenama “Biskut Kak Long Muslimat Lenggeng” bolehlah menghubungi Sdr Zulkefly Mohamed Omar 019-2818816 untuk mengetahui lebih lanjut kuih-kuih dan biskut-biskut lain yang dijual. Ianya kuih-kuih moden yang diusahakan secara tradisional oleh kakak dan isteri beliau.

Selamat Bertarawih, Bertaddarus, Berqiamulllail, Berbuka, Bersahur dan Selamat Hari Raya Idil Fitri

20061009

Ingin merasai sendiri keperitan hidup umat Islam Kemboja ?

Anda ingin merasai sendiri keperitan hidup umat Islam di Kemboja serta membantu umat Islam di sana ? Melihat sendiri bagaimana umat Islam di sana hanya makan daging setahun sekali , itupun melalui sumbangan ibadah korban dan aqiqah. Melihat sendiri bagaimana umat Islam di sana yang berketurunan Melayu yang hanya makan nasi berlaukkan garam. Melihat bagaimana anak-anak mereka berkongsi-kongsi Al Quran untuk mengaji. Walaupun hidup dalam kesusahan dan penuh kedaifan tetapi mereka masih bahagia dengan Islam yang ada pada diri mereka.

Sekiranya anda sendiri ingin menyampaikan bantuan kepada umat Islam di sana maka andalah bolehlah menyertai Misi Relief ke Kemboja anjuran Yayasan Amal Malaysia pada 25 hingga 28 November 2006. Perbelanjaan untuk seorang adalah sekitar RM 1000, penginapan dan makan minum bukanlah hotel lima bintang, anda mungkin terpaksa tidur di masjid yang berlantaikan tanah beratapkan langit atau mungkin tidur di pondok-pondok.

Anda bolehlah menyampaikan sendiri sumbangan yang anda kumpulkan di kalangan sahabat handai serta rakan taulan samada dalam bentuk wang ringgit, makanan, buku, Al Quran, sejadah, telekung kepada saudara-saudara seagama dan sebangsa di Kemboja.

Jika anda tidak berkesempatan untuk bersama anda juga bolehlah menaja sesiapa untuk ke sana serta memaklumkan program ini kepada rakan-rakan.

Disamping itu mereka yang ingin mengambil bahagian dalam ibadah aqiqah di sana kadarnya hanyalah RM 150 untuk satu bahagian. Dengan hanya RM 150 berpuluh-puluh keluarga Islam di sana dapat makan nasi berlaukkan daging. Atau anda tiada siapa untuk diaqiqahkan anda masih berpeluang untuk memberi satu bahagian atas niat sedekah.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Relief Kemboja sila hubungi Sdr Jamaludin Elias AJK Yayasan Amal Pusat 019-6644796.

Mereka yang ingin pergi ke sana sila sediakan RM 1000, wang saku serta serahkan nama penuh, No Kad Pengenalan dan No Paspot kepada Sdr Jamaludin Elias.

Untuk maklumat lanjut mengenai Yayasan Amal sila ke laman web berikut www.amalmalaysia.net

Fatwa Main Mercun dan Meriam Buluh Ketika Ramadhan

Setiap kali kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat kedengaran pada malam hari tanggal 1 Ramadhan lagi dentuman meriam buluh dan mercun, sahut menyahut antara satu taman ke satu taman, antara satu kampung ke satu kampung, antara satu jalan ke satu jalan dan seterusnya. Malah dentuman meriam buluh dan mercun ini ada kalanya dihalakan atau dimainkan berhampiran dengan surau atau masjid ketika jemaah sedang bertarawih.

Dari manakah budaya bahawa sudah menjadi kewajipan meriam buluh dan mercun mesti dimainkan apabila masuk tanggal 1 Ramadhan hinggalah ke 30 Syawal ? Apakah tidak boleh bermain meriam buluh atau mercun ini diluar bulan Ramadhan dan Syawal ? Sudahlah ianya menyalahi undang-undang negara, membahayakan mereka yang bermain serta orang awam yang lalu lalang, ianya dianggap pula sebagai satu kemestian untuk memeriahkan bulan Ramadhan dan Syawal. Sedangkan bulan Ramadhan sepatutnya dimeriahkan dengan memperbanyakkan amal ibadah kita kepada Maha Pencipta, memperbanyakkan kebajikan membantu sesama manusia serta mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran.

Jika sekiranya kerajaan negeri Selangor dan mungkin kerajaan negeri lain mengeluarkan pekeliling melarang mana-mana masjid atau surau mengadakan sesi tazkirah kerana dianggap mengganggu jemaah yang bertarawih. Maka sepatutnyalah Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan-Jabatan Agama negeri mengeluarkan fatwa atau pekeliling mengenai pendirian mereka dalam hal bermain meriam buluh dan mercun ini. Malah ianya bukan terhad kepada mereka yang bermain, termasuklah hukum bapa yang membeli mercun atau memberi duit kepada anak-anak mereka untuk bermain mercun, disamping hukum orang-orang Islam yang menjual mercun ini, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini yang sepatutnya menggalakkan umat Islam berjimat cermat dan tidak mengganggu orang ramai.

Untuk mengelakkan pertembungan antara budaya dan ibadah ini, mungkin ada baiknya pihak yang berkaitan dengan kebudayaan dan pelancongan contohnya supaya budaya bermain bunga api diadakan pada sambutan Hari Kemerdekaan contohnya yang tiada pertembungan antara budaya dan agama-agama lain.

Justeru itu tugas pengawalan bermain mercun dan meriam buluh ini bukan hanya dibebankan kepada pihak polis semata-mata, pihak berkuasa agama yang sepatutnya lebih ke hadapan dalam menangani masalah ini yang semakin menjadi-jadi saban tahun.

Jika tazkirah ketika tarawih boleh dilarang, kenapa tidak dikeluarkan larangan bermain mercun dan meriam buluh, serta pembaziran-pembaziran lain ketika Ramadhan seperti berbuka puasa di hotel-hotel mewah dan seterusnya.

20061008

Tazkirah Khas Palestin 13 Okt Senawang

Assalamualaikum wrt wbt,

Sempena Ramadhan Al Mubarak , muslimin dan muslimat semua di jemput hadir ke program berikut :

Tazkirah Khas Palestin
Jumaat 13 Oktober 2006
Selepas Solat Tarawih dan Witr , 9.15 mlm
Di Surau Taman Alamanda, Senawang

Oleh :
Dr Zainurrashid Zainuddin
Doktor Pakar Hospital Seremban, Pensyarah International Medical University, Sukarelawan Yayasan Aman Palestin

20061005

3R di Masjid Senawang ? Tak boleh jadi ni ! :-(

3R – Remaja Rai Ramadhan
Sebuah bengkel khas untuk remaja pada bulan Ramadhan 1427 H

Terbuka kepada semua remaja berusia antara 12 – 17 tahun

Sabtu – Ahad , 14 – 15 Oktober 2006
Di Masjid Bandar Baru Senawang, Senawang, N.Sembilan

Sesi beramah mesra dengan pesakit di hospital, menonton video, sembahyang, bertaddarus dan berbuka bersama kawan-kawan, aktiviti dalam kumpulan, pengisian Islam yang menarik dan pelbagai lagi.

Anjuran : Pertubuhan Jamaan Islah Malaysia NS (JIM NS)

Yuran Cuma RM 10 sahaja

Untuk pendaftaran sila SMS atau hubungi Pn Jawiah Darmawan 012-3279161 atau Cik Nadzirah Ahmad Basri 012-9637644.

Sesi pendaftaran Sabtu 14 Oktober 2006 8 pagi di Masjid Bandar Baru Senawang

Pelajar lelaki perlu bawa kelengkapan untuk bermalam di masjid seperti pakaian persalinan, tuala, alatan mandi dan sebagainya (pelajar perempuan tidak akan bermalam di masjid). Keperluan lain : Surau Al Ma’thurat, Al Quran, Alat tulis, Telekung.

Pelajar perempuan tidak akan bermalam di masjid dan boleh pulang ke rumah pada hari Sabtu 10.30 malam. Ibu bapa diminta mengambil anak-anak mereka. Mereka diwajibkan kembali semula ke masjid keesokan harinya pada jam 8 pagi. Program akan berakhir jam 2 ptg Ahad 15 Oktober 2006

20061003

Peluang Kongsi Harta Dengan Anak-Anak Yatim

Semua harta dan wang ringgit yang kita milikki hasil titik peluh keringat siang dan malam serta perit jerih belajar di menara gading adalah milik Allah yang Maha Kaya. Ianya hanyalah pinjaman di dunia yang fana ini. Kini kita berpeluang untuk berkongsi harta dan wang ringgit yang dipinjamkan ini dengan anak-anak yatim dan pelajar-pelajar miskin, mudahan-mudahan Allah akan meggantikannya dengan harta yang kekal milik kita dengan berlipat kali ganda di akhirat, alam yang kekal abadi selama-lamanya

Adalah dimaklumkan Nisa' NS akan mengadakan " Program Sayangi Kami" yang mana dalam program ini anak-anak yatim dan pelajar-pelajar miskin di sekitar Negeri Sembilan akan menerima sumbangan sama ada berbentuk wang ringgit dan barangan hasil sumbangan orang ramai dan para dermawan.

Penyerahan sumbangan ini akan diadakan pada hari Isnin 16 Oktober 2006 jam 3 petang di Gedung Lalang 162, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

Justeru itu, pihak Nisa mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan bagi membantu meringankan penderitaan anak yatim dan pelajar miskin ini bagi sama-sama merasai kegembiraan menyambut Ramadhan dan Hari Lebaran.

Sebarang pertanyaan untuk sumbangan barangan boleh menghubungi Puan Norwani (O13-3851202), Cik Jazilah (019-3073100) atau Cik Hanadiah (013-2069775)

Sumbangan boleh disalurkan ke
NISA’ NEGERI SEMBILAN
No.835, Jalan Sri Pulai 38,
Taman Sri Pulai 3, 70200 Seremban, Negeri Sembilan

20061001

Jangan biarkan orang bukan Islam diseksa di Malaysia

Pengakuan oleh Shah Kirit bin Kakula Govinci yang memeluk Islam di Malaysia sejak 1996
“ Semasa saya bukan beragama Islam, saya ada ramai kawan-kawan di sekolah mahupun di tempat kerja. Saya sangat rapat dengan mereka tetapi tidak ada seorang pun daripada mereka yang berdakwah kepada saya secara sistematik dengan adanya susulan. Di sini saya nak bertanya, suka ke melihat saya mati dalam keadaan kafir ? Nauzubillah. Kalau tidak suka, kenapakah tidak ada orang-orang Islam yang berdakwah kepada saya dahulu ? Kami yang bukan beragama Islam juga dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kami juga sebenarnya dahagakan kebenaran. Oh, kenapakah sikap orang-orang Islam ini kurang semangat untuk menyampaikan kebenaran kepada mereka yang beragama lain, tanpa berkira kita bangsa apa pun ? Bukankah kita bermoyang kepada Nabi Adam as ? Bukankan kita semuanya bersaudara?”

Demikianlah pengakuan Shah Kirit yang memeluk Islam pada tahun 1996 yang pada asalnya kerana hendak berkahwin dengan gadis Melayu.

Cerita ini diabadikan dalam bentuk cerita dan nasyid dalam Album Xifu & The Algebra yang berjudul “Hijrah : Mengapa Saya Memeluk Islam?”

Antara yang menjayakan album ini ialah gandingan ustaz, pendakwah dan artis antaranya Xifu Muadz, Hafiz William, Ustaz Maszlee Malik, Nash Lefthanded, Dayang Ku Intan, Alex Koh dan beberapa yang lain. Album ini adalah Edisi Terhad.

Mereka yang ingin mendapatkan album ini bolehlah menghubungi :
Northpoint MGT
74-1&2 Jalan 1/76D
Desa Pandan, 55100 Kuala Lumpur
Hotline : 012-9417144
E-mail : xifu_a@yahoo.com
Website : www.myxifu.com

Di Negeri Sembilan bolehlah menghubungi Xifu Shamsul 019-6532973, e-mel skamalidz@yahoo.com