KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20071007

Wanita Tua Selamatkan Masjid Tertua N.Sembilan

Ku kira wanita diusianya kebanyakkannya akan hanya duduk di rumah, beramal ibadah, melayani cucu. Buat apa susah-susahkan dirinya yang tua diumur persaraan untuk sibuk-sibuk membantu saudara baru, membantu golongan tua, membantu anak-anak yatim, membantu anak-anak mangsa HIV, alangkah lebih baik duduk diam-diam saja dirumah.

Namun tidak bagi Pn Hajjah Norizan Hj Zakaria, Timbalan Presiden II Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan sebuah pertubuhan Sukarela yang banyak membantu saudara baru , membantu golongan tua, membantu anak-anak yatim, membantu anak-anak mangsa HIV, membantu golongan tua di Negeri Sembilan.

Apabila ada kes kematian saudara baru yang tiada siapa hendak menuntut mayatnya di hospital hinggakan 2-3 hari, beliau memanggil rakan-rakan untuk menguruskan jenazah saudara baru.

Begitu banyak permasalahan saudara baru yang sering dilepas pandang oleh kita semua.

Menarik sekali ialah apabila sebuah masjid yang tertua di Negeri Sembilan hampir “dirobohkan” akibat kemajuan. Tahukah kita masjid tertua yang hampir dirobohkan ini dan bagaimana ianya diselamatkan?

Masjid tersebut ialah Masjid Wali atau Masjid Tok Muar berhampiran pekan Kuala Pilah. Ianya hampir dirobohkan apabila pihak pemaju menggunakan taktik licik menggali tanah disekeliling masjid, jika kerja tanah disekeliling masjid tersebut tidak dihentikan sudah pasti masjid tersebut akan roboh secara tidak langsung akibat tanah runtuh.

Penduduk setempat yang tidak tahu siapa untuk dihubungi maka mereka menghubungi Pn Hajjah Norizan. Dengan izin Allah, Pn Hajjah Norizan telah dapat menyelamatkan masjid tertua di Negeri Sembilan.

Dan Alhamdulillah Masjid Tok Muar ini telah dibaik pulihkan dengan bantuan orang ramai dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Masjid Tok Muar ini sekarang dijadikan pusat aktiviti untuk program saudara baru di Negeri Sembilan ini.

Menurut Pn Hajjah Norizan ini, kebanyakkan saudara baru ini begitu ghairah untuk mengamalkan ajaran Islam yang dipelajari. Mereka sering keliru kenapa ajaran Islam suruh lain, tetapi orang Melayu Islam mengamalkan sebaliknya.

Antaranya saudara baru ini ada bertanya kenapa Islam menyatakan merokok itu makruh atau ada yang mengatakan haram, tetapi mereka lihat orang Melayu yang paling ramai hisap rokok, malah ustaz pun ada yang hisap rokok ? Macamana nak jawab ?

Satu soalan lagi ialah saudara baru ini belajar apabila masuk waktu solat, haruslah disegerakan solat. Tetapi berlaku sebaliknya apabila dalam mesyuarat, ketua-ketua jabatannya orang Melayu Islam, tetapi mesyuaratnya tidak habis walaupun lagi 10 minit nak habis waktu solat ? Macamana nak jawab ?

Sehubungan dengan itu Pn Hajjah Norizan menyeru kepada semua umat Islam agar turun padang melakukan kerja-kerja kebajikan dan kerja-kerja amal, kerana terlalu banyak perkara yang kita terlepas pandang, yang kita selalu ambil mudah, tetapi perkara enteng inilah yang mungkin akan menyusahkan kita diakhirat nanti. Kalau ditanya apa peranan kita di dunia membantu saudara baru , apa kita nak jawab ? Kalau ditanya apa peranan kita di dunia membantu golongan tua , apa kita nak jawab ? . Kalau ditanya apa peranan kita di dunia membantu anak-anak mangsa HIV , apa kita nak jawab ? Sedangkan mereka itu berada disekeliling kita, di kejiranan kita, di taman kita, di kampung kita, di daerah kita, di negeri kita.

Blog Yayasan Kasih Sayang http://yksns.blogspot.com